Azam 2014: Kembali Berblog

Assalamualaikum w.b.t.

Saya mohon maaf kepada para pembaca blog saya di sini kerana sudah lama tidak update blog ini.

Memang susah untuk memberi fokus kepada dua blog. Namun, pada bulan November lepas, blog saya di myarrazi.com telah tamat tempoh dan tidak boleh dilayari kerana saya tidak membayar bayaran domain.

Apa boleh buat? Itulah akibatnya apabila kurang serius dalam berblog.

Jadi, azam pada 2014 adalah kembali berblog. 

Bakat menulis perlu diasah dan diteruskan. Impian saya memang ingin menjadi penulis buku. Menyampaikan ilmu melalui mata pena. Semoga Allah memakbulkan doa dan impian ini.

Semoga terus bersama saya di blog ini.

Tok Kenali Yang Dikenali (Part 2)

Assalamualaikum w.b.t…

Sambungan daripada kisah Tok Kenali yang lepas. Boleh baca kisah ini di sini.

Sepanjang pengajiannya di bumi Mekah, Tok Kenali telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, semuanya itu dihadapi dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Allah s.w.t.

Bayangkan para pembaca, dengan berbekalkan wang yang serba kekurangan, kira-kira RM22 dapat menampung hidup Tok Kenali di Bumi Mekah selama 22 tahun. Berbekalkan semangat ingin menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain, maka Tok Kenali terus bertahan di Bumi Mekah.

 

Asal Usul Nama Serambi Mekah

Masjidil Haram menjadi tempat tinggal Tok Kenali. Oleh sebab itu, antara sebab Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah kerana orang alim ini.

Beliau menetap di serambi Mekah semasa pengajiannya di sana. Hal ini berlarutan selama 7 bulan. Maka, diambil peristiwa ini sebagai nama timangan Negeri Kelantan yang merupakan negeri kelahiran Tok Kenali.

Namun, kehidupannya sedikit berubah apabila beliau bermunajat kepada Allah s.w.t. memohon pertolongan semoga dimurahkan rezeki. Akhirnya, kehidupannya sedikit sebanyak berubah. Beliau menjadi tukang masak bagi perkelahan-perkelahan kawan-kawannya.

Dengan duit yang diperolehi, dapatlah beliau menyewa rumah dan membeli kitab.

 

Kaedah Pembelajaran Tok Kenali

Antara rutin Tok Kenali yang menarik minat para pelajar di sana ialah beliau seakan-akan tidur semasa mendengar kuliah. Kelihatannya, beliau menunduk kepala dan menutup mata. Ini menyebabkan rakan-rakannya menyangka bahawa beliau tertidur semasa belajar. Sebenarnya, bukan itu yang berlaku. Tok Kenali mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza.

Beliau akan mengulangkaji pelajarannya sebelum pergi ke kelas tersebut. Beliau akan merujuk beberapa kitab terlebih dahulu. Dengan maklumat awal yang diperolehi ini, membolehkannya menghadam dengan baik pelajaran yang akan disampaikan oleh gurunya.

Di dalam kelas, beliau tidak menulis dan tidak melihat. Beliau hanya mendengar sambil menutup mata. Beliau mendengar dengan sepenuh perhatian.

 

Kealimannya Diuji

Kealiman Tok Kenali sudah diketahui oleh kebanyakan rakan-rakannya di Kelantan. Namun, sebaliknya di Bumi Mekah. Beliau tidak begitu dikenali oleh rakan-rakannya. Kehidupannya yang serba kekurangan menyebabkan beliau dipinggirkan daripada aktiviti mereka.

Sampailah pada suatu hari, beliau ditanya oleh gurunya tentang 3 soalan. Semua rakan-rakan sepengajiannya yang lain tidak dapat menjawab. Tetapi dia yang kelihatan tertidur itu dapat menjawabnya dengan betul dan tepat.

Semenjak itu, beliau menjadi tarikan para guru dan para pelajar. Berduyun-duyun para pelajar yang mula berguru dengannya.

Pada suatu ketika, beliau diajak bermusafir dengan salah seorang gurunya ke Mesir. Setibanya di Mesir, gurunya disambut dengan begitu meriah oleh orang Arab Mesir. Dalam suatu majlis, gurunya itu ditanya dengan beberapa soalan. Lantas, gurunya meminta Tok Kenali yang menjawab semua soalan tersebut.

 

Pulangnya Seorang Alim

Setelah lama berkelana di Bumi Mekah. Kira-kira 22 tahun, Tok Kenali pulang membawa himpunan khazanah ilmu untuk diajarkan kepada orang ramai. Beliau mula membuka pondok Tok Kenali. Di sini, beliau mencurahkan pelbagai ilmu kepada masyarakat setempat.

2 tahun kemudian, beliau dipanggil berkhidmat di Masjid Muhammadi di Kota Bharu. Sebuah tempat yang terkenal dalam penyebaran ilmu agama. Di sini, ilmunya dikenali dan ketokohannya dikagumi.

Selain itu, Tok Kenali banyak berjasa dalam perkembangan pendidikan di Bumi Kelantan. Walaupun beliau mempunyai latar belakang pengajian pondok, beliau tidak pernah menyekat perkembangan pengajian arus perdana yang ada sekarang ini. Sebarang usaha memandaikan rakyat disokong dengan padu tanpa berbelah bahagi.

 

Menghembus Nafas Terakhir

Setelah 65 tahun berkelana di bumi Allah s.w.t. ini, Tok Kenali telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Ahad, 19 November 1933M. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali, Pasir Puteh, Kota Bharu. Ianya menjadi tempat persinggahan Almarhum Sultan Kelantan pada ketika itu.

Demikianlah sedikit kisah seorang pemimpin agama yang hebat dan dikenali oleh semua pihak. Beliau dikenali sebagai simbol penggerak pendidikan di Bumi Kelantan. Dalam dirinya terzahir segala sifat terpuji yang boleh diikuti bagi orang yang berakal.

Perginya Tok Kenali meninggalkan ruang kosong yang besar dalam masyarakat. Beliau menjadi rujukan masyarakat dalam segala aspek. Semua lapisan masyarakat bermula daripada Sultan hinggalah rakyat jelata yang miskin menaruh harapan kepadanya.

Semoga beliau ditempatkan di tempat orang-orang yang terpuji. Amiin.

Tiada Yang Percuma

Kita sering mendengar ungkapan bahawa alam ini diciptakan untuk kita secara percuma. Allah s.w.t. tidak meminta apa-apa bayaran pun daripada kita.

Benarkah begitu?

Saya tidak bersependapat dengan kenyataan ini. Allah s.w.t. tidak menyediakan ini secara percuma tanpa meminta bayaran apa-apa pun. Semuanya ini dicipta dan disediakan untuk kita dengan bayaran. Bayarannya apa? Bayarannya adalah kita menjadi HAMBA YANG BERIMAN DAN BERTAKWA.

Jika kita tidak membayar dengan ini, pastinya Allah s.w.t. akan mengazab dengan azab seksa yang pedih. Kita diseksa kerana kita alpa. Alpa daripada memenuhi tuntutan Allah s.w.t.

Tahukah kita, bahawa setiap yang kita miliki akan dihisab satu persatu di hadapan Allah s.w.t.? Bermula daripada tubuh badan yang dianugerahkan kepada kita sehinggalah masa, umur dan kesihatan yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t.

Semuanya ada nilai dan setiap yang bernilai itu pasti akan dihitung dan dikira.

Maka, hargailah segala yang anda miliki dan gunakanlah sepenuhnya ke arah kebaikan.

Arrazi

Teratak Nasyatilla, Fes.

Selamat Datang Ke Rumah Baru

Assalamualaikum w.b.t…

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Semoga Allah s.w.t. menerima amal kebaikan yang kita lakukan sepanjang setahun ini. Amiin.

Post ini tidak bermaksud jemputan ke rumah baru saya untuk hari raya. Sebaliknya, jemputan untuk para pembaca ke blog saya yang sudah mengalami sedikit perubahan daripada dulu. Perasan tak?

Haa… biar saya cerita sikit.

Saya baru sahaja membeli domain baru agar memudahkan para pembaca untuk mengingati blog saya ini. Nama yang dipilih ialah: http://arraziy.com/.

Pening kepala dibuatnya untuk memilih nama ini sebagai domain. Sebab domain arrazi.com, arrazi.com.my, arrazi.my dll sudah menjadi milik orang. Tinggal lagi nama yang saya pilih ini belum berpunya lagi. Alhamdulillah, dapat juga membeli dengan nama ini. Semoga kesungguhan menulis akan lebih meningkat lagi. Amiin.

Nilai domain ini saya beli dengan harga 18 usd untuk setahun. Insya Allah, semoga dengan modal ini dapat memberi kekuatan kepada saya untuk terus menulis dari hari ke hari.

Namun, saya masih mencari jalan penyelesaian untuk memilih hosting. Beli ke tidak? Kalau beli, nak pilih produk yang mana? Semua itu menjadi persoalan kepada saya. Apa yang penting, saya perlu membuat keputusan yang bijak. Kalau tidak, banyak masalah mendatang.

Banyak blogger yang berhadapan dengan banyak masalah ketika menggunakan hosting. Ia melibatkan website tersebut secara keseluruhan. Banyak masalah yang dihadapi oleh pembaca untuk melayari sesuatu website berkait rapat dengan hosting.

Doakan saya terus berjaya dan lebih bersemangat dalam berblog.

Mengajar Melalui Teladan

Kisahnya bermula…

Ayah dan Aiman berjalan pulang ke rumah setelah menunaikan Solat Jumaat. Di pertengahan jalan, Ayah ternampak seorang lelaki meminta sedekah. Perasaan sayu terbit.

Sambil meminpin anaknya, Aiman, Ayah menuju ke arah lelaki itu. Ayah mengeluarkan duit daripada sakunya dan memberikannya kepada lelaki tersebut. “Gunalah duit ini dengan sebaik-baiknya, dik” nasihat Ayah.

Aiman memerhatikan perbuatan ayahnya itu.

Pernahkah kita mengajar anak-anak atau adik-adik kita seperti ini? Mengajar melalui teladan. Kuasanya sungguh luar biasa. Kesan dan potensinya juga luar biasa.

Mengajar melalui teladan bermakna mengajar diri kita juga untuk mengubah diri sendiri bagi mengajar dan menasihati orang lain. Jika kita tergila-gilakan produk-produk 2 in 1 atau 3 in 1 maka inilah salah satunya. Kita berusaha mengubah diri sendiri dan kita juga berusaha mengubah diri orang lain. Beruntung bukan ?

« Tengok tu Aiman ! Jahat betul perangai Mamat tu » tuding Halim kepada Mamat dengan jari telunjuknya. Halim begitu benci dengan perangai Mamat. Dia seorang samseng sekolah dan juga dikenali sebagai samseng di kampung. Tiada kerja lain yang diketahuinya melainkan mengugut dan memukul orang.

« Apa kata, kita nasihat dia. Tak baik bercakap belakang-belakang macam ni » ajak Aiman. “Isyh, takutlah aku. Nanti tak pasal-pasal makan kaki kita nanti” Halim menolak pelawaan Aiman. Baginya, menasihati orang seperti Mamat boleh membawa padah.

Jalan penyelesaian menasihati orang yang boleh mengancam keselamatan kita adalah menasihatinya melalui teladan. Tiada siapa yang boleh mengancam kita kerana kita tidak berkata apa-apa pun. Kita hanya tunjukkan jalan untuk berbuat baik.

Hakikatnya, sukar untuk mengajar melalui teladan. Ianya sunnah Rasulullah s.a.w. Ianya juga dakwah secara berhikmah. Pastinya banyak cabaran untuk sesuatu yang terbaik.

Ok. Selamat Beramal.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Percaya Kepada Makhluk Halus

Soalan

Assalamualaikum ustaz…

Bolehkah, kalau saya tidak percaya kepada kewujudan makhluk halus? Saya fikir makhluk halus ini tidak wujud dan mengarut. Kita menjadi penakut disebabkan percaya kepada makhluk halus. Mohon komen ustaz.

 

Jawapan

Waalaikumussalam saudara. Terima kasih kerana mengajukan soalan yang baik dan tepat pada masanya. Lambakan filem-filem hantu di pasaran sekarang banyak membawa kesan negatif kepada masyarakat. Buktinya, apa yang saudara nyatakan. Masyarakat menjadi takut walaupun dalam rumah sendiri.

Baik. Saya akan cuba merungkaikan persoalan saudara dengan pecahan-pecahan soalan supaya ianya jelas dan tidak tertinggal. Di sini ada pelbagai persoalan yang boleh dikupas. Persoalan pertama, perlukah percaya kepada makhluk halus atau hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Persoalan kedua, hukum takut kepada hantu. Persoalan ketiga, kesan daripada cerita-cerita hantu yang disebarkan kepada masyarakat, samada melalui filem atau cerita daripada mulut ke mulut.

Perlukah percaya kepada makhluk halus?

Saya merujuk pandangan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din dalam masalah ini. Makhluk halus atau diistilahkan oleh orang Melayu sebagai hantu, toyol dan lain-lain adalah wujud. Mereka ini tergolong dalam kumpulan, jin dan syaitan. Jin dan syaitan pula telah dijelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudannya. Oleh itu, hal ini melibatkan tentang akidah dan wajib beriman dengan kewujudannya.

Menjadi rukun iman iaitu percaya kepada benda-benda ghaib dan ianya telah disebutkan di dalam al-quran seperti jin, syaitan, syurga dan neraka. Oleh itu, tidak mempercayai makhluk halus boleh meruntuhkan akidah kita.

Orang Arab menggelarkan makhluk halus ini sebagai Al-Asybah ( bayang-bayang). Makhluk halus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan tubuh badannya. Sebaliknya, mereka menjelmakan diri mereka dalam bentuk manusia dan binatang-binatang. Hal ini pernah berlaku ketika mesyuarat para musyrikin Quraisy apabila syaitan menyamar menjadi seorang pemimpin Quraisy bagi menghasut untuk menbunuh Baginda Nabi s.a.w.

Selain itu, makhluk halus juga boleh menjelma sebagai binatang-binatang sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis bagaimana seorang sahabat menikam seekor ular yang berada di dalam rumahnya dan sahabat tersebut meninggal dunia kerana makhluk halus bertindak balas.

Hukum Takut Kepada Makhluk Halus @ Hantu

Sifat semulajadi manusia adalah takut kepada sesuatu yang menakutkan. Dan hantu digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Maka, takut kepada hantu adalah biasa dan ianya respon semulajadi seorang manusia. Apa yang ditegah ialah, takut yang membawa kepada hilangnya takut kepada Allah s.w.t, takut kepada AzabNya dan takut digolongkan menjadi ahli neraka. Iaitu takut yang berlebih-lebihan.

Kita perlu percaya bahawa makhluk halus tidak boleh memberikan kesan melainkan dengan izin Allah s.w.t. sahaja. Apa yang berlaku, semuanya dengan izin Allah s.w.t. Segala manfaat dan mudarat datang daripadaNya.

Oleh itu, takut yang seperti ini sehingga lupa tentang kekuasaan Allah s.w.t. ke atas kita dan makhluk-makhluk halus menyebabkan iman kita menjadi rosak. maka, kita perlu berhati-hati.

Kesan Cerita Hantu

Anak-anak selalu dimomokkan dengan hantu dan perkara-perkara menakutkan apabila ibu bapa ingin melarang daripada melakukan seuatu perkara. Ini tabiat yang tidak baik. Mereka tidak perlu ditakutkan dengan benda-benda ini. Mereka perlu diterangkan akibatnya sahaja. Sebagai contoh, apabila anak-anak hendak bermain di dalam hutan, laranglah mereka dengan mengatakan hutan itu tempat bahaya. Ada pokok-pokok berduri, serangga-serangga dan lain-lain. Tidak perlulah disebut tentang adanya hantu, orang bunian dll.

Memang benar, masyarakat menjadi penakut terutamanya kanak-kanak dan remaja. Mereka hendak pergi ke tempat gelap pun kena berteman. Bukan lagi masuk hutan. Kadang-kadang dalam rumah pun boleh takut. Jadi, ibu bapa perlu bermuhasabah diri dalam mendidik anak-anak supaya mereka tidak menjadi penakut.

Akhir sekali, saya ingin mencadangkan kepada para pembaca untuk membaca buku “Menjawab Persoalan Makhluk Halus” yang ditulis oleh Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Buku yang menarik dalam mengupas persoalan ini. Selamat Membaca!

Sekadar itu dahulu, semoga ianya menjawab soalan saudara.

Selamat Bertemu Kembali Malaysia

( Selamat Bersua Kembali Malaysia)

Assalamualaikum w.b.t…

Percutian di Malaysia selama hampir 2 bulan sudah hampir berakhir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya akan meninggalkan bumi tercinta ini. Segala-galanya sudah siap sedia untuk dibawa ke Maghribi.

Banyak sungguh kenangan yang saya kutip sepanjang percutian yang penuh bermakna ini. Terasa dada penuh dengan kobaran semangat yang meluap-luap. Seakan-akan seperti seorang peninju hebat yang sudah bersedia untuk beraksi di dalam gelanggang.

Masih teringat di benak fikiran. Semangat seperti ini pernah saya alami sebelum berangkat ke bumi Maghribi. Semangat itu datang dengan harapan daripada ibu bapa yang ingin melihat anaknya ini berjaya dalam bidang agama. Sokongan dan doa daripada rakan-rakan yang saya kasihi juga menambah kekuatan diri ini untuk terus menimba ilmu.

Kini, semangat itu datang kembali. Penuh dengan tenaga dan kuasa. Menunggu masa untuk dilepaskan. Alhamdulillah, lafaz puji kepada Ilahi yang mampu saya ungkapkan. Semoga saya lebih bersedia untuk masa hadapan yang lebih mencabar.

Masih ingat artikel saya tentang cabaran tempoh hari? Baca, jangan tak baca!

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan daripada rakan-rakan yang budiman yang saya tidak sempat menjenguk dan menziarahinya. Waktu sungguh pantas. Ingatkan 2 bulan itu lama, tetapi sebenarnya cepat berlalu. Itulah petanda dunia sudah tua dan di akhir usianya.

Percutian ini adalah bekalan saya untuk menempuh cabaran yang lebih hebat pada tahun hadapan. Banyak perkara menunggu. Final year, tesis master, persiapan kahwin dan alam kerjaya yang mencabar. Semuanya memerlukan komitmen yang tinggi daripada insan kerdil ini.

Melihat sejarah hidup orang lain yang tidak berjaya telah menyebabkan saya takut dan insaf bahawa hari tak selalunya cerah dan indah. Kehidupan orang lain adalah cermin bagi diri yang ingin mengambil teladan. Ini yang saya dapat kutip sepanjang percutian kali ini. Belajar sejarah hidup orang lain. Pasti ada mutiara-mutiara kehidupan yang boleh dipelajari.

Manakala, kejayaan hidup orang lain yang terdekat dengan hidup saya pula telah memberikan inspirasi yang kuat untuk membina kehidupan seperti itu. Umpama meminum kopi panas di malam hari yang sejuk dan mendamaikan. Pasti bertenaga untuk melakukan kerja-kerja yang ada.

Insya Allah, saya akan bertolak ke Maghribi pada hari Jumaat bersamaan 28.09.2012 dengan Air Asia. Dijangka sampai ke Maghribi pada keesokan harinya. Insya Allah, menumpang di rumah Syeikh Ayman di Casablanca.

Pasti saya akan merasa rindu dengan tanah, udara, dan persekitaran di Malaysia. Sungguh berbeza dengan Maghribi. Kedua-duanya memberi makna yang berbeza. Semoga kita bersua kembali wahai Malaysia!

Kembalinya saya selepas ini adalah sebagai tanda membalas budi kepada rakyat Malaysia. Di sini saya mengenal dunia dan di sini jualah saya akan meninggalkan dunia ini. Insya Allah, saya mahu mati di tanah air tercinta. Mati sebgai orang yang berbakti dan bukan mati yang tiada erti.

Moga-moga, saya mampu menggalas amanah mendatang di bumi tercinta ini. Amanah mendidik, keluarga dan kerjaya pastinya memerlukan tenaga yang lebih dan secara konsisten. Bukan hangat-hangat tahi ayam!

 

Arrazi

22.09.2012

UIA Gombak, Selangor.

Hiduplah Dengan Cabaran

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar para pembaca yang budiman? Semoga dalam rahmat Allah Yang Maha Luas.

Sungguh lama tidak menulis artikel. Terasa rindu untuk berjumpa dengan pembaca bagi mencoretkan sesuatu.

Setiap hari, kita didedahkan dengan pelbagai idea yang bernas dan hebat. Hanya kita perlu sedar dengan kehadirannya sahaja. Malah, mengikut kajian, kita didedahkan dengan 2 idea yang baik pada setiap hari. Dengan idea ini, mungkin kita mampu mengubah seluruh kehidupan kita. Maka, hargailah idea yang datang. Catat dan kembangkan serta praktikkan dalam kehidupan seharian.

Hidup ini penuh cabaran dan dugaan.

Itu tajuk dan perkongsian saya buat kali ini. Pasti, anda bersetuju dengan saya bukan? Anda juga berhadapan dengan hal yang sama. Iaitu berhadapan dengan cabaran dan dugaan.

Saya mula terasa diri ini sentiasa dicabar dan diuji ketika bermulanya hari saya di tanah air. Banyak permintaan daripada masyarakat yang terlalu besar buat insan kerdil ini untuk menggalasnya.

Cabaran pertama datang apabila diminta menjadi imam terawih di kampung saya. Saya bukanlah seorang hafiz al-quran. Malah, banyak hafalan yang sudah dihafal, hilang entah ke mana. Namun, diri ini juga yang ditolak ke depan. Terkapai-kapai mengulang hafalan yang lepas.

Cabaran kedua menjelma apabila berlaku perbalahan di kalangan ahli jemaah surau tersebut yang menginginkan saya menjadi imam di sana sepanjang solat terawih walhal sudah ada imam yang tetap sebelum ini di surau tersebut. Hal ini menyebabkan saya tersepit antara memenuhi kehendak ahli jemaah surau dengan menjaga hati imam tersebut. Namun, saya menolaknya dan menjauhkan diri sedikit supaya keadaan menjadi tenang kembali. Alhamdulillah, ikhtiar saya berjaya.

Begitulah, cabaran yang saya tempuhi di bulan Ramadhan yang lepas. Memang perit tetapi suatu kenangan yang indah buat saya sebagai seorang pemuda. Selepas Hari Raya Aidilfitri, banyak cabaran juga yang mendatang terutama berkaitan dengan kenduri kahwin. Saya menjadi “jung kaka” atau pekerja bagi majlis kesyukuran kakak saya dan sepupu saya. Memang penat dan meletihkan.

Saya tidak bertujuan menyebutkan semua cabaran yang saya hadapi, namun saya bercadang untuk menerangkan persediaan kita berhadapan dengan cabaran.

Cabaran Adalah Lumrah Kehidupan

Kita perlu ingat, cabaran adalah lumrah kehidupan. Ianya suatu keperluan dalam hidup. Seperti garam dalam masakan. Tanpanya, masakan menjadi tawar dan tidak berselera untuk dimakan. Begitulah kehidupan. Kita perlu berhadapan dengan cabaran. Apabila kita mempunyai mindset ini, kita akan sentiasa bersedia menghadapi cabaran kerana kita telah menjangkakannya.

Setiap perkara yang kita telah jangkakannya, kita akan mampu berhadapan dengannya. Salah satu cara untuk menyedari cabaran di hadapan adalah dengan membuat perancangan dan tahu asam garam kehidupan orang-orang yang lebih tua.

Realitinya, kita sering terlepas pandang 2 hal ini. Membuat perancangan hidup kita dan bertanya pengalaman orang-orang tua. Apabila kita tidak mementingkannya, hidup kita tidak terurus dan tiada hala tuju. Penuh sia-sia.

Bina Cabaran

Selain bersedia menghadapi cabaran, kita juga perlu membina cabaran sendiri. Bagaimana membina cabaran? Buat apa kita menyusahkan diri sendiri? Tentu ini yang akan dipersoalkan oleh kalian bukan?

Memang benar. Kita perlu hidup dalam cabaran dan tekanan yang mampu dikawal. Ingat, tekanan yang mampu dikawal. Bukan, cabaran yang tak terkawal. Nanti, gila jadinya.

Dengan kata mudahnya, kita keluar daripada zon selesa. Contoh yang mudah, anda seorang pelajar perubatan. Tentu sekali, anda akan menumpukan diri kepada pelajaran ini sahaja tanpa memikirkan bidang-bidang lain. Itu dinamakan zon selesa atau confort zone. Anda perlu keluar daripada zon ini. Anda perlu tahu juga bidang-bidang yang lain secara umum. Apabila anda keluar dan mendalami bidang lain, itu bermakna anda telah keluar daripada zon selesa anda. Tahniah, diucapkan!

Itulah contohnya. Walaupun penat, anda akan berasa manis di penghujungnya. Banyak perkembangan yang baik yang anda akan rasai selepas peng’hijrahan’ tersebut.

Saya juga mengalami hal yang sama. Saya seorang pelajar jurusan agama dalam bidang fiqh, tetapi dalam masa yang sama saya begitu berminat dengan pendidikan kewangan dan perubatan alternatif seperti rawatan resdung, berbekam dll. Banyak perubahan yang saya alami daripada sudut sikap dan cara berfikir. Memang sungguh bermakna penghijrahan ini. Selain itu, ia juga memberi kesan positif di dalam bidang yang saya dalami iaitu fiqh. Kita boleh berfikir dengan pelbagai dimensi.

Baiklah kawan-kawan yang budiman. Sekadar itu dahulu perkongsian saya buat kali ini. Semoga kalian tidak jemu bertandang ke ‘teratak’ yang serba kekurangan ini.

Selamat Berhijrah Ke Zon Cabaran Dan Dugaan!

 

Arrazi

22.09.2012

UIA Gombak Selangor.

Tok Kenali Yang Dikenali (Part 1)

( Muhammad Yusuf Bin Ahmad @ Tok Kenali)

Assalamualaikum w.b.t…

Malam ini adalah malam curahan idea. Berbekalkan keberkatan tempat ilmu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beserta dengan menumpang di bilik seorang sahabat yang baik dan peramah, Hafis Firdaus, saya menulis dan terus menulis.

Daripada satu artikel kepada artikel yang lain. Penuh dengan isi dan bahan. Tanpa rasa penat dan letih. Benarlah kata-kata hukama’ tempat belajar ini adalah tempat yang berkat. Segala-galanya mudah dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Rindu rasanya dengan tempat seperti ini. Sudah 2 bulan meninggalkan medan ilmu untuk bercuti. Saya benar-benar rindukan medan ilmu itu.

Siapa Tidak Kenal Dengan Tok Kenali?

Ini persoalan yang tidak memerlukan jawapannya kerana ianya jelas lagi bersuluh. Tok Kenali ialah ulama besar daripada Kelantan, bumi Serambi Mekah. Banyak perkara sebenarnya yang ingin saya kongsikan dengan anda tentang Tok Kenali.

Nama sebenarnya adalah Muhammad Yusuf Bin Ahmad. Anak tunggal daripada sepasang suami isteri iaitu Ahmad dan Fatimah. Ketika kecil, Tok Kenali dipanggil Awang Kenali.

Asal Usul Awang

Gelaran “Awang” adalah gelaran untuk orang-orang baik. Malah, gelaran ini juga untuk orang yang dikasihi oleh masyarakat. Kalau di Kelantan, orang-oran tua masih memanggil kanak-kanak dengan panggilan ini. Manja dan mesra.

Ia suatu pengiktirafan orang-orang tua terhadap orang yang dipanggilnya. Buat pengetahuan, panggilan “Awang” ini bukan sahaja digelarkan kepada Tok Kenali, malah ayahnya juga dikenali sebagai “Awang”.

Asal Usul Tok Kenali

Tok Kenali dilahirkan dalam keluarga miskin tetapi ilmuwan. Datuknya adalah orang alim di kampungnya. Daripada datuknya inilah, Tok Kenali menimba banyak ilmu-ilmu kehidupan serta agama. Tok Kenali belajar akhlak dan budi bicara datuknya. Datuknya terkenal seorang alim yang pandai memujuk hati-hati yang gelap dan diselubungi dengan dosa-dosa untuk kembali ke pangkal jalan. Semua itu dengan kata-kata hikmah dan akhlak yang tinggi.

Ayahnya meninggal dunia pada usianya yang muda iaitu sekitar 5 tahun. Selepas itu, datuknya yang mengasuh dan mendidiknya dengan bantuan nenek dan ibunya, Fatimah.

Kembara Tok Kenali Di Medan Ilmu

Sejarah hidupnya di medan ilmu sangat menarik. Penuh dengan dugaan dan cabaran yang tidak pernah putus-putus. Namun, dihadapinya dengan penuh sabar. Itulah adat menuntut ilmu.

Ketika kecil, beliau diajar oleh datuknya mengaji al-quran. Melalui datuknya, Tok Kenali mengenal huruf-huruf al-quran dan pandai membaca dan menulis. Selain itu, Tok Kenali sangat mahir mengira. Kemahirannya dalam usia yang muda itu melangkaui kemampuan remaja-remaja pada masa itu. Seawal umur lima tahun, Tok Kenali sudah mampu mengajar kanak-kanak yang lebih tua daripadanya membaca al-quran.

Ketika umurnya menginjak remaja, beliau telah dilantik menjadi jurukira oleh Tok Penghulu di kampungnya. Satu pencapaian yang hebat! Boleh berbakti kepada ibu bapa pada usia muda lagi.

Sewaktu Masjid Muhammadi dibina, Tok Kenali banyak mendatangi halaqah-halaqah yang dianjurkan di masjid ini. Masjid ini menjadi kebanggaan bagi umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu. Masjid ini dikunjungi oleh pecinta-pecinta ilmu yang datang daripada segenap pelusuk alam untuk belajar ilmu agama. Kelantan terkenal sebgai pusat ilmu selepas itu.

Sepanjang pembelajarannya di Kota Bharu, beliau telah belajar dengan beberapa orang ulama seperti Tuan Haji Wan Ismail, Tuan Guru Haji Ibrahim dari Penambang iaitu Mufti Kelantan, Syeikh Muhammad Ali Bin Abdul Rahman dan Tuan Guru Haji Taib. Segala cabang ilmu-ilmu asas dipelajarinya daripada ulama-ulama ini.

Apa yang hebatnya, Tok Kenali pergi ke Masjid Muhammadi yang jauhnya 20 kilometer daripada rumahnya dengan berjalan kaki ayam setiap hari. Bayangkan kawan-kawan, Tok Kenali berjalan dengan hanya berkaki ayam sahaja dengan jarak 20 kilometer.

Apabila ditanya oleh rakannya, kenapa berkaki ayam? Beliau berkata ingin cepat sampai ke Masjid Muhammadi. Satu rahsia tentang Tok Kenali ini, beliau berjalan dengan cepat sekali. Ini petua orang yang hebat. Mereka berjalan laju. Cuba perhatikan orang Jepun dan orang Eropah. Mereka berjalan laju. Jadi, berjalanlah laju-laju.

Dipendekkan cerita, Tok Kenali ingin menimba ilmu di Mekah. Maka, beliau mengembara ke Mekah dengan kapal dagang selama enam bulan perjalanan. Asalnya, perjalanan biasa memakan masa 3 bulan sahaja. Namun, kerana tiang kapal tersebut patah maka, terkandaslah mereka di tengah-tengah lautan selama 3 bulan.

Dengar sahaja cerita ini mengingatkan saya tentang kemudahan yang kita ada pada hari ini. Semuanya cukup lengkap dengan segala kemudahan. Perjalanan jauh pun sudah singkat tetapi kita masih lagi tidak mampu ke depan. Semakin hari semakin jauh ketinggalan. Tidak tahu di mana silapnya. Renungkanlah wahai kawan-kawan! Jangan tenggelam dengan kemudahan dan kesenangan.

Jumpa lagi!

Arrazi,

Blogger Sambilan,

22 September 2012

Mahallah Solahuddin, UIA Gombak.

Kembara Ilmu Yang Tidak Mengenal Lelah

Assalamualaikum w.b.t…

Setelah pulang ke Malaysia bagi bercuti dan berhari raya dengan keluarga, saya ingatkan dapat la berehat dan goyang kaki di rumah. Lain yang dihajati lain pula jadinya.

Di rumah, dengan kebosanan yang ada, saya cuba menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Antara minat yang timbul ialah membaca majalah-majalah yang bermanfaat dan mencari peluang-peluang perniagaan melalui internet. Memang terbaik! Banyak info yang saya dapat sehinggakan masa yang terluang itu dirasakan pantas dan terisi.

Selain, berkunjung ke rumah sanak saudara, saya juga dapat mengingat kembali jalan dan orang-orang kampung. Ramai yang saya sudah hampir lupa. Alhamdulillah, dapat diingatkan kembali.

Apa yang paling penting, saya dapat mengingat jasa ibu dan bapa yang berpenat lelah untuk membesarkan saya dan adik-adik. Ini bekal saya untuk dibawa ke Maghribi. Harapnya, dengan ingatan ini dapat mengingatkan saya ketika leka dan alpa.

Percutian masih berbaki 24 hari. Semoga dapat mengisinya dengan perkara yang berfaedah.