Tok Kenali Yang Dikenali (Part 2)

Assalamualaikum w.b.t…

Sambungan daripada kisah Tok Kenali yang lepas. Boleh baca kisah ini di sini.

Sepanjang pengajiannya di bumi Mekah, Tok Kenali telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, semuanya itu dihadapi dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Allah s.w.t.

Bayangkan para pembaca, dengan berbekalkan wang yang serba kekurangan, kira-kira RM22 dapat menampung hidup Tok Kenali di Bumi Mekah selama 22 tahun. Berbekalkan semangat ingin menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain, maka Tok Kenali terus bertahan di Bumi Mekah.

 

Asal Usul Nama Serambi Mekah

Masjidil Haram menjadi tempat tinggal Tok Kenali. Oleh sebab itu, antara sebab Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah kerana orang alim ini.

Beliau menetap di serambi Mekah semasa pengajiannya di sana. Hal ini berlarutan selama 7 bulan. Maka, diambil peristiwa ini sebagai nama timangan Negeri Kelantan yang merupakan negeri kelahiran Tok Kenali.

Namun, kehidupannya sedikit berubah apabila beliau bermunajat kepada Allah s.w.t. memohon pertolongan semoga dimurahkan rezeki. Akhirnya, kehidupannya sedikit sebanyak berubah. Beliau menjadi tukang masak bagi perkelahan-perkelahan kawan-kawannya.

Dengan duit yang diperolehi, dapatlah beliau menyewa rumah dan membeli kitab.

 

Kaedah Pembelajaran Tok Kenali

Antara rutin Tok Kenali yang menarik minat para pelajar di sana ialah beliau seakan-akan tidur semasa mendengar kuliah. Kelihatannya, beliau menunduk kepala dan menutup mata. Ini menyebabkan rakan-rakannya menyangka bahawa beliau tertidur semasa belajar. Sebenarnya, bukan itu yang berlaku. Tok Kenali mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza.

Beliau akan mengulangkaji pelajarannya sebelum pergi ke kelas tersebut. Beliau akan merujuk beberapa kitab terlebih dahulu. Dengan maklumat awal yang diperolehi ini, membolehkannya menghadam dengan baik pelajaran yang akan disampaikan oleh gurunya.

Di dalam kelas, beliau tidak menulis dan tidak melihat. Beliau hanya mendengar sambil menutup mata. Beliau mendengar dengan sepenuh perhatian.

 

Kealimannya Diuji

Kealiman Tok Kenali sudah diketahui oleh kebanyakan rakan-rakannya di Kelantan. Namun, sebaliknya di Bumi Mekah. Beliau tidak begitu dikenali oleh rakan-rakannya. Kehidupannya yang serba kekurangan menyebabkan beliau dipinggirkan daripada aktiviti mereka.

Sampailah pada suatu hari, beliau ditanya oleh gurunya tentang 3 soalan. Semua rakan-rakan sepengajiannya yang lain tidak dapat menjawab. Tetapi dia yang kelihatan tertidur itu dapat menjawabnya dengan betul dan tepat.

Semenjak itu, beliau menjadi tarikan para guru dan para pelajar. Berduyun-duyun para pelajar yang mula berguru dengannya.

Pada suatu ketika, beliau diajak bermusafir dengan salah seorang gurunya ke Mesir. Setibanya di Mesir, gurunya disambut dengan begitu meriah oleh orang Arab Mesir. Dalam suatu majlis, gurunya itu ditanya dengan beberapa soalan. Lantas, gurunya meminta Tok Kenali yang menjawab semua soalan tersebut.

 

Pulangnya Seorang Alim

Setelah lama berkelana di Bumi Mekah. Kira-kira 22 tahun, Tok Kenali pulang membawa himpunan khazanah ilmu untuk diajarkan kepada orang ramai. Beliau mula membuka pondok Tok Kenali. Di sini, beliau mencurahkan pelbagai ilmu kepada masyarakat setempat.

2 tahun kemudian, beliau dipanggil berkhidmat di Masjid Muhammadi di Kota Bharu. Sebuah tempat yang terkenal dalam penyebaran ilmu agama. Di sini, ilmunya dikenali dan ketokohannya dikagumi.

Selain itu, Tok Kenali banyak berjasa dalam perkembangan pendidikan di Bumi Kelantan. Walaupun beliau mempunyai latar belakang pengajian pondok, beliau tidak pernah menyekat perkembangan pengajian arus perdana yang ada sekarang ini. Sebarang usaha memandaikan rakyat disokong dengan padu tanpa berbelah bahagi.

 

Menghembus Nafas Terakhir

Setelah 65 tahun berkelana di bumi Allah s.w.t. ini, Tok Kenali telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Ahad, 19 November 1933M. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali, Pasir Puteh, Kota Bharu. Ianya menjadi tempat persinggahan Almarhum Sultan Kelantan pada ketika itu.

Demikianlah sedikit kisah seorang pemimpin agama yang hebat dan dikenali oleh semua pihak. Beliau dikenali sebagai simbol penggerak pendidikan di Bumi Kelantan. Dalam dirinya terzahir segala sifat terpuji yang boleh diikuti bagi orang yang berakal.

Perginya Tok Kenali meninggalkan ruang kosong yang besar dalam masyarakat. Beliau menjadi rujukan masyarakat dalam segala aspek. Semua lapisan masyarakat bermula daripada Sultan hinggalah rakyat jelata yang miskin menaruh harapan kepadanya.

Semoga beliau ditempatkan di tempat orang-orang yang terpuji. Amiin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s