
( Muhammad Yusuf Bin Ahmad @ Tok Kenali)
Assalamualaikum w.b.t…
Malam ini adalah malam curahan idea. Berbekalkan keberkatan tempat ilmu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beserta dengan menumpang di bilik seorang sahabat yang baik dan peramah, Hafis Firdaus, saya menulis dan terus menulis.
Daripada satu artikel kepada artikel yang lain. Penuh dengan isi dan bahan. Tanpa rasa penat dan letih. Benarlah kata-kata hukama’ tempat belajar ini adalah tempat yang berkat. Segala-galanya mudah dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Rindu rasanya dengan tempat seperti ini. Sudah 2 bulan meninggalkan medan ilmu untuk bercuti. Saya benar-benar rindukan medan ilmu itu.
Siapa Tidak Kenal Dengan Tok Kenali?
Ini persoalan yang tidak memerlukan jawapannya kerana ianya jelas lagi bersuluh. Tok Kenali ialah ulama besar daripada Kelantan, bumi Serambi Mekah. Banyak perkara sebenarnya yang ingin saya kongsikan dengan anda tentang Tok Kenali.
Nama sebenarnya adalah Muhammad Yusuf Bin Ahmad. Anak tunggal daripada sepasang suami isteri iaitu Ahmad dan Fatimah. Ketika kecil, Tok Kenali dipanggil Awang Kenali.
Asal Usul Awang
Gelaran “Awang” adalah gelaran untuk orang-orang baik. Malah, gelaran ini juga untuk orang yang dikasihi oleh masyarakat. Kalau di Kelantan, orang-oran tua masih memanggil kanak-kanak dengan panggilan ini. Manja dan mesra.
Ia suatu pengiktirafan orang-orang tua terhadap orang yang dipanggilnya. Buat pengetahuan, panggilan “Awang” ini bukan sahaja digelarkan kepada Tok Kenali, malah ayahnya juga dikenali sebagai “Awang”.
Asal Usul Tok Kenali
Tok Kenali dilahirkan dalam keluarga miskin tetapi ilmuwan. Datuknya adalah orang alim di kampungnya. Daripada datuknya inilah, Tok Kenali menimba banyak ilmu-ilmu kehidupan serta agama. Tok Kenali belajar akhlak dan budi bicara datuknya. Datuknya terkenal seorang alim yang pandai memujuk hati-hati yang gelap dan diselubungi dengan dosa-dosa untuk kembali ke pangkal jalan. Semua itu dengan kata-kata hikmah dan akhlak yang tinggi.
Ayahnya meninggal dunia pada usianya yang muda iaitu sekitar 5 tahun. Selepas itu, datuknya yang mengasuh dan mendidiknya dengan bantuan nenek dan ibunya, Fatimah.
Kembara Tok Kenali Di Medan Ilmu
Sejarah hidupnya di medan ilmu sangat menarik. Penuh dengan dugaan dan cabaran yang tidak pernah putus-putus. Namun, dihadapinya dengan penuh sabar. Itulah adat menuntut ilmu.
Ketika kecil, beliau diajar oleh datuknya mengaji al-quran. Melalui datuknya, Tok Kenali mengenal huruf-huruf al-quran dan pandai membaca dan menulis. Selain itu, Tok Kenali sangat mahir mengira. Kemahirannya dalam usia yang muda itu melangkaui kemampuan remaja-remaja pada masa itu. Seawal umur lima tahun, Tok Kenali sudah mampu mengajar kanak-kanak yang lebih tua daripadanya membaca al-quran.
Ketika umurnya menginjak remaja, beliau telah dilantik menjadi jurukira oleh Tok Penghulu di kampungnya. Satu pencapaian yang hebat! Boleh berbakti kepada ibu bapa pada usia muda lagi.
Sewaktu Masjid Muhammadi dibina, Tok Kenali banyak mendatangi halaqah-halaqah yang dianjurkan di masjid ini. Masjid ini menjadi kebanggaan bagi umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu. Masjid ini dikunjungi oleh pecinta-pecinta ilmu yang datang daripada segenap pelusuk alam untuk belajar ilmu agama. Kelantan terkenal sebgai pusat ilmu selepas itu.
Sepanjang pembelajarannya di Kota Bharu, beliau telah belajar dengan beberapa orang ulama seperti Tuan Haji Wan Ismail, Tuan Guru Haji Ibrahim dari Penambang iaitu Mufti Kelantan, Syeikh Muhammad Ali Bin Abdul Rahman dan Tuan Guru Haji Taib. Segala cabang ilmu-ilmu asas dipelajarinya daripada ulama-ulama ini.
Apa yang hebatnya, Tok Kenali pergi ke Masjid Muhammadi yang jauhnya 20 kilometer daripada rumahnya dengan berjalan kaki ayam setiap hari. Bayangkan kawan-kawan, Tok Kenali berjalan dengan hanya berkaki ayam sahaja dengan jarak 20 kilometer.
Apabila ditanya oleh rakannya, kenapa berkaki ayam? Beliau berkata ingin cepat sampai ke Masjid Muhammadi. Satu rahsia tentang Tok Kenali ini, beliau berjalan dengan cepat sekali. Ini petua orang yang hebat. Mereka berjalan laju. Cuba perhatikan orang Jepun dan orang Eropah. Mereka berjalan laju. Jadi, berjalanlah laju-laju.
Dipendekkan cerita, Tok Kenali ingin menimba ilmu di Mekah. Maka, beliau mengembara ke Mekah dengan kapal dagang selama enam bulan perjalanan. Asalnya, perjalanan biasa memakan masa 3 bulan sahaja. Namun, kerana tiang kapal tersebut patah maka, terkandaslah mereka di tengah-tengah lautan selama 3 bulan.
Dengar sahaja cerita ini mengingatkan saya tentang kemudahan yang kita ada pada hari ini. Semuanya cukup lengkap dengan segala kemudahan. Perjalanan jauh pun sudah singkat tetapi kita masih lagi tidak mampu ke depan. Semakin hari semakin jauh ketinggalan. Tidak tahu di mana silapnya. Renungkanlah wahai kawan-kawan! Jangan tenggelam dengan kemudahan dan kesenangan.
Jumpa lagi!
Arrazi,
Blogger Sambilan,
22 September 2012
Mahallah Solahuddin, UIA Gombak.