Tiada Yang Percuma

Kita sering mendengar ungkapan bahawa alam ini diciptakan untuk kita secara percuma. Allah s.w.t. tidak meminta apa-apa bayaran pun daripada kita.

Benarkah begitu?

Saya tidak bersependapat dengan kenyataan ini. Allah s.w.t. tidak menyediakan ini secara percuma tanpa meminta bayaran apa-apa pun. Semuanya ini dicipta dan disediakan untuk kita dengan bayaran. Bayarannya apa? Bayarannya adalah kita menjadi HAMBA YANG BERIMAN DAN BERTAKWA.

Jika kita tidak membayar dengan ini, pastinya Allah s.w.t. akan mengazab dengan azab seksa yang pedih. Kita diseksa kerana kita alpa. Alpa daripada memenuhi tuntutan Allah s.w.t.

Tahukah kita, bahawa setiap yang kita miliki akan dihisab satu persatu di hadapan Allah s.w.t.? Bermula daripada tubuh badan yang dianugerahkan kepada kita sehinggalah masa, umur dan kesihatan yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t.

Semuanya ada nilai dan setiap yang bernilai itu pasti akan dihitung dan dikira.

Maka, hargailah segala yang anda miliki dan gunakanlah sepenuhnya ke arah kebaikan.

Arrazi

Teratak Nasyatilla, Fes.

Advertisements

Selamat Datang Ke Rumah Baru

Assalamualaikum w.b.t…

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Semoga Allah s.w.t. menerima amal kebaikan yang kita lakukan sepanjang setahun ini. Amiin.

Post ini tidak bermaksud jemputan ke rumah baru saya untuk hari raya. Sebaliknya, jemputan untuk para pembaca ke blog saya yang sudah mengalami sedikit perubahan daripada dulu. Perasan tak?

Haa… biar saya cerita sikit.

Saya baru sahaja membeli domain baru agar memudahkan para pembaca untuk mengingati blog saya ini. Nama yang dipilih ialah: http://arraziy.com/.

Pening kepala dibuatnya untuk memilih nama ini sebagai domain. Sebab domain arrazi.com, arrazi.com.my, arrazi.my dll sudah menjadi milik orang. Tinggal lagi nama yang saya pilih ini belum berpunya lagi. Alhamdulillah, dapat juga membeli dengan nama ini. Semoga kesungguhan menulis akan lebih meningkat lagi. Amiin.

Nilai domain ini saya beli dengan harga 18 usd untuk setahun. Insya Allah, semoga dengan modal ini dapat memberi kekuatan kepada saya untuk terus menulis dari hari ke hari.

Namun, saya masih mencari jalan penyelesaian untuk memilih hosting. Beli ke tidak? Kalau beli, nak pilih produk yang mana? Semua itu menjadi persoalan kepada saya. Apa yang penting, saya perlu membuat keputusan yang bijak. Kalau tidak, banyak masalah mendatang.

Banyak blogger yang berhadapan dengan banyak masalah ketika menggunakan hosting. Ia melibatkan website tersebut secara keseluruhan. Banyak masalah yang dihadapi oleh pembaca untuk melayari sesuatu website berkait rapat dengan hosting.

Doakan saya terus berjaya dan lebih bersemangat dalam berblog.

Mengajar Melalui Teladan

Kisahnya bermula…

Ayah dan Aiman berjalan pulang ke rumah setelah menunaikan Solat Jumaat. Di pertengahan jalan, Ayah ternampak seorang lelaki meminta sedekah. Perasaan sayu terbit.

Sambil meminpin anaknya, Aiman, Ayah menuju ke arah lelaki itu. Ayah mengeluarkan duit daripada sakunya dan memberikannya kepada lelaki tersebut. “Gunalah duit ini dengan sebaik-baiknya, dik” nasihat Ayah.

Aiman memerhatikan perbuatan ayahnya itu.

Pernahkah kita mengajar anak-anak atau adik-adik kita seperti ini? Mengajar melalui teladan. Kuasanya sungguh luar biasa. Kesan dan potensinya juga luar biasa.

Mengajar melalui teladan bermakna mengajar diri kita juga untuk mengubah diri sendiri bagi mengajar dan menasihati orang lain. Jika kita tergila-gilakan produk-produk 2 in 1 atau 3 in 1 maka inilah salah satunya. Kita berusaha mengubah diri sendiri dan kita juga berusaha mengubah diri orang lain. Beruntung bukan ?

« Tengok tu Aiman ! Jahat betul perangai Mamat tu » tuding Halim kepada Mamat dengan jari telunjuknya. Halim begitu benci dengan perangai Mamat. Dia seorang samseng sekolah dan juga dikenali sebagai samseng di kampung. Tiada kerja lain yang diketahuinya melainkan mengugut dan memukul orang.

« Apa kata, kita nasihat dia. Tak baik bercakap belakang-belakang macam ni » ajak Aiman. “Isyh, takutlah aku. Nanti tak pasal-pasal makan kaki kita nanti” Halim menolak pelawaan Aiman. Baginya, menasihati orang seperti Mamat boleh membawa padah.

Jalan penyelesaian menasihati orang yang boleh mengancam keselamatan kita adalah menasihatinya melalui teladan. Tiada siapa yang boleh mengancam kita kerana kita tidak berkata apa-apa pun. Kita hanya tunjukkan jalan untuk berbuat baik.

Hakikatnya, sukar untuk mengajar melalui teladan. Ianya sunnah Rasulullah s.a.w. Ianya juga dakwah secara berhikmah. Pastinya banyak cabaran untuk sesuatu yang terbaik.

Ok. Selamat Beramal.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Selamat Bertemu Kembali Malaysia

( Selamat Bersua Kembali Malaysia)

Assalamualaikum w.b.t…

Percutian di Malaysia selama hampir 2 bulan sudah hampir berakhir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya akan meninggalkan bumi tercinta ini. Segala-galanya sudah siap sedia untuk dibawa ke Maghribi.

Banyak sungguh kenangan yang saya kutip sepanjang percutian yang penuh bermakna ini. Terasa dada penuh dengan kobaran semangat yang meluap-luap. Seakan-akan seperti seorang peninju hebat yang sudah bersedia untuk beraksi di dalam gelanggang.

Masih teringat di benak fikiran. Semangat seperti ini pernah saya alami sebelum berangkat ke bumi Maghribi. Semangat itu datang dengan harapan daripada ibu bapa yang ingin melihat anaknya ini berjaya dalam bidang agama. Sokongan dan doa daripada rakan-rakan yang saya kasihi juga menambah kekuatan diri ini untuk terus menimba ilmu.

Kini, semangat itu datang kembali. Penuh dengan tenaga dan kuasa. Menunggu masa untuk dilepaskan. Alhamdulillah, lafaz puji kepada Ilahi yang mampu saya ungkapkan. Semoga saya lebih bersedia untuk masa hadapan yang lebih mencabar.

Masih ingat artikel saya tentang cabaran tempoh hari? Baca, jangan tak baca!

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan daripada rakan-rakan yang budiman yang saya tidak sempat menjenguk dan menziarahinya. Waktu sungguh pantas. Ingatkan 2 bulan itu lama, tetapi sebenarnya cepat berlalu. Itulah petanda dunia sudah tua dan di akhir usianya.

Percutian ini adalah bekalan saya untuk menempuh cabaran yang lebih hebat pada tahun hadapan. Banyak perkara menunggu. Final year, tesis master, persiapan kahwin dan alam kerjaya yang mencabar. Semuanya memerlukan komitmen yang tinggi daripada insan kerdil ini.

Melihat sejarah hidup orang lain yang tidak berjaya telah menyebabkan saya takut dan insaf bahawa hari tak selalunya cerah dan indah. Kehidupan orang lain adalah cermin bagi diri yang ingin mengambil teladan. Ini yang saya dapat kutip sepanjang percutian kali ini. Belajar sejarah hidup orang lain. Pasti ada mutiara-mutiara kehidupan yang boleh dipelajari.

Manakala, kejayaan hidup orang lain yang terdekat dengan hidup saya pula telah memberikan inspirasi yang kuat untuk membina kehidupan seperti itu. Umpama meminum kopi panas di malam hari yang sejuk dan mendamaikan. Pasti bertenaga untuk melakukan kerja-kerja yang ada.

Insya Allah, saya akan bertolak ke Maghribi pada hari Jumaat bersamaan 28.09.2012 dengan Air Asia. Dijangka sampai ke Maghribi pada keesokan harinya. Insya Allah, menumpang di rumah Syeikh Ayman di Casablanca.

Pasti saya akan merasa rindu dengan tanah, udara, dan persekitaran di Malaysia. Sungguh berbeza dengan Maghribi. Kedua-duanya memberi makna yang berbeza. Semoga kita bersua kembali wahai Malaysia!

Kembalinya saya selepas ini adalah sebagai tanda membalas budi kepada rakyat Malaysia. Di sini saya mengenal dunia dan di sini jualah saya akan meninggalkan dunia ini. Insya Allah, saya mahu mati di tanah air tercinta. Mati sebgai orang yang berbakti dan bukan mati yang tiada erti.

Moga-moga, saya mampu menggalas amanah mendatang di bumi tercinta ini. Amanah mendidik, keluarga dan kerjaya pastinya memerlukan tenaga yang lebih dan secara konsisten. Bukan hangat-hangat tahi ayam!

 

Arrazi

22.09.2012

UIA Gombak, Selangor.

Hiduplah Dengan Cabaran

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar para pembaca yang budiman? Semoga dalam rahmat Allah Yang Maha Luas.

Sungguh lama tidak menulis artikel. Terasa rindu untuk berjumpa dengan pembaca bagi mencoretkan sesuatu.

Setiap hari, kita didedahkan dengan pelbagai idea yang bernas dan hebat. Hanya kita perlu sedar dengan kehadirannya sahaja. Malah, mengikut kajian, kita didedahkan dengan 2 idea yang baik pada setiap hari. Dengan idea ini, mungkin kita mampu mengubah seluruh kehidupan kita. Maka, hargailah idea yang datang. Catat dan kembangkan serta praktikkan dalam kehidupan seharian.

Hidup ini penuh cabaran dan dugaan.

Itu tajuk dan perkongsian saya buat kali ini. Pasti, anda bersetuju dengan saya bukan? Anda juga berhadapan dengan hal yang sama. Iaitu berhadapan dengan cabaran dan dugaan.

Saya mula terasa diri ini sentiasa dicabar dan diuji ketika bermulanya hari saya di tanah air. Banyak permintaan daripada masyarakat yang terlalu besar buat insan kerdil ini untuk menggalasnya.

Cabaran pertama datang apabila diminta menjadi imam terawih di kampung saya. Saya bukanlah seorang hafiz al-quran. Malah, banyak hafalan yang sudah dihafal, hilang entah ke mana. Namun, diri ini juga yang ditolak ke depan. Terkapai-kapai mengulang hafalan yang lepas.

Cabaran kedua menjelma apabila berlaku perbalahan di kalangan ahli jemaah surau tersebut yang menginginkan saya menjadi imam di sana sepanjang solat terawih walhal sudah ada imam yang tetap sebelum ini di surau tersebut. Hal ini menyebabkan saya tersepit antara memenuhi kehendak ahli jemaah surau dengan menjaga hati imam tersebut. Namun, saya menolaknya dan menjauhkan diri sedikit supaya keadaan menjadi tenang kembali. Alhamdulillah, ikhtiar saya berjaya.

Begitulah, cabaran yang saya tempuhi di bulan Ramadhan yang lepas. Memang perit tetapi suatu kenangan yang indah buat saya sebagai seorang pemuda. Selepas Hari Raya Aidilfitri, banyak cabaran juga yang mendatang terutama berkaitan dengan kenduri kahwin. Saya menjadi “jung kaka” atau pekerja bagi majlis kesyukuran kakak saya dan sepupu saya. Memang penat dan meletihkan.

Saya tidak bertujuan menyebutkan semua cabaran yang saya hadapi, namun saya bercadang untuk menerangkan persediaan kita berhadapan dengan cabaran.

Cabaran Adalah Lumrah Kehidupan

Kita perlu ingat, cabaran adalah lumrah kehidupan. Ianya suatu keperluan dalam hidup. Seperti garam dalam masakan. Tanpanya, masakan menjadi tawar dan tidak berselera untuk dimakan. Begitulah kehidupan. Kita perlu berhadapan dengan cabaran. Apabila kita mempunyai mindset ini, kita akan sentiasa bersedia menghadapi cabaran kerana kita telah menjangkakannya.

Setiap perkara yang kita telah jangkakannya, kita akan mampu berhadapan dengannya. Salah satu cara untuk menyedari cabaran di hadapan adalah dengan membuat perancangan dan tahu asam garam kehidupan orang-orang yang lebih tua.

Realitinya, kita sering terlepas pandang 2 hal ini. Membuat perancangan hidup kita dan bertanya pengalaman orang-orang tua. Apabila kita tidak mementingkannya, hidup kita tidak terurus dan tiada hala tuju. Penuh sia-sia.

Bina Cabaran

Selain bersedia menghadapi cabaran, kita juga perlu membina cabaran sendiri. Bagaimana membina cabaran? Buat apa kita menyusahkan diri sendiri? Tentu ini yang akan dipersoalkan oleh kalian bukan?

Memang benar. Kita perlu hidup dalam cabaran dan tekanan yang mampu dikawal. Ingat, tekanan yang mampu dikawal. Bukan, cabaran yang tak terkawal. Nanti, gila jadinya.

Dengan kata mudahnya, kita keluar daripada zon selesa. Contoh yang mudah, anda seorang pelajar perubatan. Tentu sekali, anda akan menumpukan diri kepada pelajaran ini sahaja tanpa memikirkan bidang-bidang lain. Itu dinamakan zon selesa atau confort zone. Anda perlu keluar daripada zon ini. Anda perlu tahu juga bidang-bidang yang lain secara umum. Apabila anda keluar dan mendalami bidang lain, itu bermakna anda telah keluar daripada zon selesa anda. Tahniah, diucapkan!

Itulah contohnya. Walaupun penat, anda akan berasa manis di penghujungnya. Banyak perkembangan yang baik yang anda akan rasai selepas peng’hijrahan’ tersebut.

Saya juga mengalami hal yang sama. Saya seorang pelajar jurusan agama dalam bidang fiqh, tetapi dalam masa yang sama saya begitu berminat dengan pendidikan kewangan dan perubatan alternatif seperti rawatan resdung, berbekam dll. Banyak perubahan yang saya alami daripada sudut sikap dan cara berfikir. Memang sungguh bermakna penghijrahan ini. Selain itu, ia juga memberi kesan positif di dalam bidang yang saya dalami iaitu fiqh. Kita boleh berfikir dengan pelbagai dimensi.

Baiklah kawan-kawan yang budiman. Sekadar itu dahulu perkongsian saya buat kali ini. Semoga kalian tidak jemu bertandang ke ‘teratak’ yang serba kekurangan ini.

Selamat Berhijrah Ke Zon Cabaran Dan Dugaan!

 

Arrazi

22.09.2012

UIA Gombak Selangor.

Salah Tanggapan

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, baru hari ini dapat online di rumah menggunakan broadband maxis. Mula-mula saya menjangkakan, internet di Malaysia, khususnya di kampung saya ini lambat. Rupa-rupanya, saya sangat-sangat silap.

Kelajuannya hampir menyamai kelajuan internet yang saya guna di Maghribi. Sangat cepat. Tidak memerlukan masa yang lama untuk loading.

Saya cuba bertanya dengan adik-adik tentang sebab kenapa kelajuan internet di kampung saya sangat laju. Maka, tahulah saya bahawa ini berlaku dengan hasil usaha YB Wakaf Bharu pada sesi kali ini, YB Che Lah. Terima kasih, saya ucapkan kepada YB Che Lah. Ianya sangat membantu saya selaku blogger dan juga pelajar dalam mencari maklumat serta berhubung dengan rakan-rakan di luar negara.

Semoga kemudahan komputer dan internet ini dapat diperluaskan lagi di kawasan-kawasan yang lain bagi membantu masyarakat dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih luas dan telus. InsyaAllah, itulah harapan saya selaku orang muda.

Akhirnya, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakan pembaca blog saya dan kaum muslimin serta saya doakan semoga amalan kita diterima oleh Allah s.w.t. dengan rahmatNya.

 

Azizulhasni Awang Tetap Juara

The pace bike leads the field in the Men's Keirin Track Cycling First Round heat on Day 11 of the London 2012 Olympic Games at Velodrome on August 7, 2012 in London, England.

Assalamualaikum w.b.t…

Masih terasa bahang final acara lumba basikal bagi Men’s Keirin yang melibatkan jaguh negara, Azizulhasni Awang. Walaupun beliau berada di tempat keenam selepas tamat perlawanan, namun beliau tetap juara di hati saya dan seluruh rakyat Malaysia.

Dia adalah juara dan wira Malaysia pada usaha dan kegigihannya dalam melayakkan dirinya sebaris dengan juara-juara dunia di peringkat akhir dalam acara tersebut. Mungkin, juara pada pingatnya, beliau tidak tetapi pada semangat dan keyakinannya, beliau adalah juara.

Majulah buat anda, wahai wira Malaysia, Azizulhasni Awang!

Buat sesiapa yang terlepas menonton acara ini, bolehlah menonton ulangannya di link ini.

Permulaannya, Azizulhasni bermula agak tidak baik. Beliau cuba mendapatkan tempat pertama dalam mengekori motor kayuh, namun, dipertengahannya, beliau berjaya membuat pintasan yang baik dan berada di tempat pertama. Beberapa saat kemudian, dipintas oleh pelumba Great Britain dan pelumba-pelumba lain.

Di saat akhir, kelihatan Azizul kepenatan. Saya juga tidak pasti kenapa? Barangkali, ada sesuatu yang silap. Semoga Azizul dapat memperbaikinya di masa akan datang.

Bagi yang ingin mengetahui keputusannya, sila ke link ini.