Salah Tanggapan

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, baru hari ini dapat online di rumah menggunakan broadband maxis. Mula-mula saya menjangkakan, internet di Malaysia, khususnya di kampung saya ini lambat. Rupa-rupanya, saya sangat-sangat silap.

Kelajuannya hampir menyamai kelajuan internet yang saya guna di Maghribi. Sangat cepat. Tidak memerlukan masa yang lama untuk loading.

Saya cuba bertanya dengan adik-adik tentang sebab kenapa kelajuan internet di kampung saya sangat laju. Maka, tahulah saya bahawa ini berlaku dengan hasil usaha YB Wakaf Bharu pada sesi kali ini, YB Che Lah. Terima kasih, saya ucapkan kepada YB Che Lah. Ianya sangat membantu saya selaku blogger dan juga pelajar dalam mencari maklumat serta berhubung dengan rakan-rakan di luar negara.

Semoga kemudahan komputer dan internet ini dapat diperluaskan lagi di kawasan-kawasan yang lain bagi membantu masyarakat dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih luas dan telus. InsyaAllah, itulah harapan saya selaku orang muda.

Akhirnya, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakan pembaca blog saya dan kaum muslimin serta saya doakan semoga amalan kita diterima oleh Allah s.w.t. dengan rahmatNya.

 

Sampai Ke Kampung Halaman

Alhamdulillah…

Setelah 15 jam perjalanan dengan Egypt Air dengan 2 kali transit, akhirnya saya sampai ke tanahair pada hari khamis yang lepas. Semga percutian ini dapat menaikkan semangat kembali untuk terus belajar dan menghabiskan pengajian peringkat master. Doakan kawan-kawan!

Banyak urusan yang telah berjaya diselesaikan dan ada beberapa urusan lagi untuk disiapkan. InsyaAllah. Moga-moga dipermudahkan urusan oleh Allah s.w.t.

Banyak perkara yang saya dapat segarkan kembali ingatannya. Kampung halaman, adik beradik dan kawan-kawan. 4 tahun berlalu, suatu tempoh yang agak lama untuk dihitung. Banyak perkara yang perlu diingatkan kembali demi perjalanan seterusnya. Antara yang paling penting adalah kesusahan ibu bapa dalam memberikan pendidikan kepada saya. Sangat mengharukan dan sukar untuk diceritakan. Mungkin, setiap pembaca ada pengalaman masing-masing.

Kepulangan kali ini sangat bersejarah bagi saya. Baliknya untuk melihat majlis perkahwinan kakak yang akan bernikah pada hari khamis depan dan juga melawat pusara nenek yang baru meninggal beberapa bulan yang lepas. Semoga Allah meletakkannya di kalangan orang yang terbaik. Amiin.

 

Azizulhasni Awang Tetap Juara

The pace bike leads the field in the Men's Keirin Track Cycling First Round heat on Day 11 of the London 2012 Olympic Games at Velodrome on August 7, 2012 in London, England.

Assalamualaikum w.b.t…

Masih terasa bahang final acara lumba basikal bagi Men’s Keirin yang melibatkan jaguh negara, Azizulhasni Awang. Walaupun beliau berada di tempat keenam selepas tamat perlawanan, namun beliau tetap juara di hati saya dan seluruh rakyat Malaysia.

Dia adalah juara dan wira Malaysia pada usaha dan kegigihannya dalam melayakkan dirinya sebaris dengan juara-juara dunia di peringkat akhir dalam acara tersebut. Mungkin, juara pada pingatnya, beliau tidak tetapi pada semangat dan keyakinannya, beliau adalah juara.

Majulah buat anda, wahai wira Malaysia, Azizulhasni Awang!

Buat sesiapa yang terlepas menonton acara ini, bolehlah menonton ulangannya di link ini.

Permulaannya, Azizulhasni bermula agak tidak baik. Beliau cuba mendapatkan tempat pertama dalam mengekori motor kayuh, namun, dipertengahannya, beliau berjaya membuat pintasan yang baik dan berada di tempat pertama. Beberapa saat kemudian, dipintas oleh pelumba Great Britain dan pelumba-pelumba lain.

Di saat akhir, kelihatan Azizul kepenatan. Saya juga tidak pasti kenapa? Barangkali, ada sesuatu yang silap. Semoga Azizul dapat memperbaikinya di masa akan datang.

Bagi yang ingin mengetahui keputusannya, sila ke link ini.

Majalah Niaga Sumber Inspirasi Usahawan Internet

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar sidang pembaca yang budiman? Semoga anda berada dalam limpahan rahmat Allah s.w.t.

Kali ini, saya ingin membuat sedikit review tentang sebuah majalah usahawan internet yang baik dan bermanfaat bagi para pembaca. Apa yang mengembirakan lagi, ianya sebuah majalah percuma dalam bentuk ebook.

Pada masa ini, majalah usahawan dalam bahasa Melayu agak kurang dan belum mencapai tahap yang boleh menyelesaikan pelbagai persoalan yang terbelenggu di pemikiran usahawan-usahawan kita. Oleh itu, penerbitan Majalah Niaga ini memang memenuhi permintaan usahawan Melayu terutamanya usahawan internet.

Perkembangan teknologi telah memberikan impak yang besar terhadap hasil jualan sesuatu syarikat. Syarikat yang bijak menggunakan teknologi ini pasti memperoleh laba yang banyak. Apa yang menyedihkan, syarikat-syarikat usahawan Melayu tidak banyak yang menggunakan kesempatan ini ataupun menggunakannya secara total dengan segala aplikasi yang ada.

Majalah ini cuba membongkar ruang-ruang yang lompong dan semakin berkembang pesat seperti jualan di ebay, facebook dan web site percuma dan berbayar. Selain itu, pelaburan dalam bidang yang korporat seperti pelaburan hartanah dan juga logam iaitu emas dan perak juga diberikan penekanan.

Kita bakal memperoleh tips-tips daripada para jutawan Malaysia yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Mereka banyak memberikan tips-tips rahsia yang sukar untuk dijumpai di tempat-tempat lain.

Ayuh, kongsikan artikel ini bersama rakan-rakan anda dan tambahkan pengetahuan anda tentang bidang usahawan terutamanya usahawan internet.

Link: http://www.majalahniaga.com/

Non-Muslim Sukakan Islam

 

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar sidang pembaca yang budiman?

Kali ini, saya ingin berkongsi cerita pelik tapi benar. Ceritanya tentang orang bukan Islam sukakan amal ibadat dalam Islam.

Ada yang sukakan berhijab, solat, puasa dll. Malah, mereka bukan sahaja suka, mereka juga mencubanya. Benar, peristiwa ini berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat.

Cuba baca ceritanya di sini: link

Persoalannya, apakah yang menyebabkan mereka suka kepada amalan ini?

Apabila mereka berhijab, mereka lebih dihormati oleh lelaki. Mereka tidak lagi dipandang seperti benda dan barang perhiasan. Sebelum ini, mereka dilihat oleh lelaki di bahagian-bahagian tertentu yang menarik perhatian lelaki, namun, kini mereka dipandang di bahagian muka sahaja. Apabila bercakap, orang lelaki hanya memandang muka sahaja tanpa meliar ke bahagian-bahagian lain.

Apabila mereka solat, mereka merasakan sangat dekat dengan Allah s.w.t. Seolah-olah tiadanya halangan di antaranya dengan Allah s.w.t. Malah, mereka sanggup mengatakan Islam adalah agama yang benar dengan ibadat ini sahaja.

Apabila mereka berpuasa, mereka berasa lebih tenang dan lebih cergas daripada biasa. Tubuh badan mereka lebih sihat dan bertenaga.

Kesimpulannya, mereka suka beribadat dengan cara Islam. Bayangkan, jika mereka memeluk Islam dan mengamalkan ibadat-ibadat ini, tentunya mereka menjadi pemeluk agama Islam yang lebih berkualiti daripada kita. Ayuh, kita sebarkan dakwah kepada mereka yang bukan Islam.

Sepanjang membaca komen-komen mereka yang bukan Islam ini, mereka tidak memeluk Islam kerana banyak faktor, antaranya:

1 Mereka takutkan suasana yang mengelilingi mereka yang dipenuhi dengan orang Kristian. Mereka takut diapa-apakan oleh orang-orang tersebut.

2 Tiada sokongan dan bantuan daripada komuniti Islam. Untuk mengislamkan orang bukan Islam adalah mudah tetapi untuk memahamkan mereka tentang Islam inilah yang memakan masa bertahun-tahun.

Apabila membaca rungutan mereka ini kerana tidak dapat memeluk Islam kerana faktor-faktor persekitaran seperti ini menyebabkan saya sedih. Betapa bersyukurnya saya dilahirkan dalam agama Islam daripada kecil lagi.

Semoga Allah s.w.t. memberikan mereka hidayah dan kekuatan untuk berhijrah dan menganut agama Islam.

Peace to all!

Prestasi Blog

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana perkembangan blog yang agak memberansangkan sejak akhir-akhir ini.

Blog saya telah masuk ke dalam alexa ranking dunia dan Malaysia. Ranking dunia pada kedudukan 4,883,297 dan ranking Malaysia pada kedudukan 24,924. Satu kedudukan yang memuaskan hati saya setelah berpenat lelah menulis dan mencari bahan untuk dijadikan entri pada blog ini.

Bukanlah ingin mengejar kedudukan alexa ini sebaliknya hanyalah sebagai pembakar semangat untuk terus menulis dan menulis. Bagi saya, saya melihat ranking alexa dan kemasukan viewer setiap hari dalam blog merupakan penanda aras sejauh mana kita memberikan kepada masyarakat mengikut keperluan mereka. Memang tidak dapat dinafikan, adanya blogger yang menaikkan trafik mereka dengan bahan-bahan lucah serta gosip-gosip artis yang tidak berfaedah malah menambahkan keburukan kepada masyarakat, namun, ramai lagi blogger yang benar-benar ikhlas dan berprinsip dalam membuat sesuatu entri. Dan saya mohon berada dalam golongan mereka ini.

Sebelum ini, blog saya tidak dapat dikesan dalam alexa ranking ini. Itupun disebabkan oleh kemalasan saya menulis entri selama setahun. Huh, lama tu! Alhamdulillah, selepas berperang dengan perasaan malas itu, dapatlah kembali meneruskan penulisan blog ini.

Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung blog saya yang telah memberikan sokongan kepada penulisan saya ini. Semoga Allah s.w.t. membalas segala jasa kalian.

Saya juga ingin mengajak kalian menjadi blogger dengan berkongsi idea anda kepada masyarakat. Platform sudah banyak. Tinggal lagi usaha anda sahaja.

InsyaAllah, saya akan cuba membuat beberapa perubahan besar dalam blog saya dalam masa terdekat ini. Semoga mempermudahkan segala urusan. Amiin.

127 Hours (2010)

Assalamualaikum w.b.t…

Sedikit review tentang sebuah filem yang menarik untuk ditonton oleh masyarakat kita. 127 Hours merupakan sebuah filem yang berdasarkan kisah benar yang dialami oleh Aron Ralston yang terperangkap di celahan gunung-ganang disebabkan oleh himpitan batu besar ke atas tangannya. Dia berada dalam situasi tersebut selama 127 jam iaitu 5 hari lebih.

Pengarah filem ini ialah Danny Boyle. Peristiwa yang dikisahkan dalam filem ini berlaku pada bulan April 2003 di Blue John Canyon, Utah.

Apa bila menonton filem ini, saya teringat pesanan Baginda Nabi s.a.w. yang menyuruh kita bermusafir atau berjalan jauh dengan berkumpulan dan sekurang-kurang bilangan dalam kumpulan adalah 3 orang. Dalam peristiwa ini, barulah kita sedar kepentingan bergerak secara berkumpulan. Nikmat adanya rakan taulan yang akan membantu kita ketika kita susah dan kesempitan.

Pengalaman saya mengembara ke eropah juga banyak menyedarkan saya tentang hakikat ini. Berjalan di negara yang kita tidak faham bahasanya seperti France menyebabkan kita memerlukan rakan. Janganlah dipandang remeh hal ini.

Aron Ralston berkata selepas kejadian tersebut: ” Call your parents, let them know you love them. Commit to things. And if you’re inclined to disappear, let the people who love you know where you are. Why? Because when you’re caught between a rock and a hard place; these are the only things that matter”.

Maklumkan kepada keluarga dan orang tersayang. Biar mereka tahu di mana anda berada. Kerana mereka semua sayangkan anda. Itu mesej yang ingin dibawa dalam filem ini.

Saya kira, filem ini adalah filem berkos rendah. Cukup dengan watak hero sahaja sudah dapat menggambarkan cerita ini. Kepada pengarah filem, jika mahu mengarah filem yang berkos rendah, tirulah filem seperti ini. Walaupun menceritakan tentang kecelakaan yang menimpa pengembara di celahan gunung, namun ianya mampu memberikan mesej yang jelas.

Perkara yang tidak saya lupakan dalam filem ini ialah apabila hero terpaksa meminum air kencingnya sendiri demi memastikan dirinya boleh hidup selama 5 hari tersebut. Selain itu, adegan memotong tangan sendiri kerana tidak mampu untuk mengeluarkan tangannya yang tersepit juga menjadi adegan yang sangat mengerikan. Namun, itulah kenyataan, andainya kalian berada di tempat tersebut. Nauzubillahi min zalik!

Link menonton secara online:

http://www.putlocker.com/file/CB1F653998ACB508

Selamat menonton!

Poligami Itu Pahit-Pahit Manis

Assalamualaikum w.b.t…

Bagaimana para pembaca dengan puasa Ramadhan dan amal ibadat yang lain? Semoga terus semangat beribadat kepada Allah s.w.t.

Apa pendapat kalian tentang poligami? Boleh lontarkan di runagkan komen di bawah. Saya berkeinginan untuk mendengar komen anda tentang isu panan ini.

Ini pandangan saya secara peribadi tentang perkara ini dan buat masa ini.

Poligami itu pahit-pahit manis. Saya tidak bersetuju dengan mereka yang berpandangan poligami itu manisnya seperti perkataannya iaitu « bermadu ». Kenapa ? Bukankah saya orang lelaki dan orang lelaki suka kepada bermadu ?

Tidak semua yang suka bermadu. Ada yang melambangkan berpoligami ini sebagai satu tanda ketidaksetiaan, kekurangan yang berlaku pada isteri dll. Saya tidak rasa begitu tentang poligami. Saya menghormati pasangan yang berpoligami. Mereka mempunyai hak untuk menguruskan rumah tangga mereka mengikut syariat Allah s.w.t. Dan poligami adalah termasuk dalam syariat Allah s.w.t.

Poligami itu pahit-pahit manis kerana cabarannya besar dan dugaannya luar biasa. Bukan semua yang mampu berhadapan dengannya. Kata-kata orang, isu keadilan antara pasangan dan isu pemilikan harta. Semua ini merupakan isu besar apabila berpoligami. Pening kepala dibuatnya jika tidak diuruskan dengan baik. Sebab itu ia pahit-pahit manis.

Ramai yang melihat poligami daripada sudut keinginan batin yang tidak dapat dilunaskan serta nafsu-nafsu besar yang lain. Sebenarnya, itu perkara subjektif dan tidak boleh kita sebagai ‘penonton’ untuk beranggapan demikian. Ianya sama seperti kita beranggapan, “dia ni buat baik tapi niatnya buruk”. Siapa kita hendak mempersoalkan rumah tangga orang lain?

Saya hanya melihat poligami sebagai jalan penyelesaian kepada gejala-gejala sosial yang melanda kaum ibu tunggal dan gadis-gadis yang sukar mendapatkan jodoh. Selain daripada masalah yang dihadapi oleh isteri dalam melahirkan zuriat serta memberi kepuasan kepada suami dalam hubungan kelamin. Ianya jalan penyelesaian dan bukannya pilihan dan ‘suka-suki’.

Penyelesaian ini diperlukan apabila adanya konflik dan masalah. Jika tiada, kenapa kita terhegeh-hegeh mencari yang lain. Kerana terhegeh-hegeh inilah yang menyebabkan kita tidak jelas dengan tujuan berpoligami.

Ianya juga salah satu jalan dakwah yang berkesan. Lihat perbuatan Rasulullah s.a.w. dalam berpoligami serta tujuannya. Jelas, ianya berkait rapat dengan dakwah dan pembelaan terhadap wanita-wanita yang lemah.

Saya juga ingin mempersoalkan usaha-usaha menulis buku atau pertubuhan bagi memudahkan teknik berpoligami. Andainya usaha itu hanya sekadar memberi tips kepada suami agar ‘mengayat’ isteri supaya menerima keputusannya berpoligami, maka saya fikir ianya usaha yang tidak murni. Sepatutnya, kita perlu menyediakan bakal-bakal pemoligami yang adil dan baik dan bukannya menyediakan teknik ini dan itu kepada yang tidak mampu. Suami yang tidak mampu berpoligami, jangan berpoligami. Ianya hanya mengeruhkan keadaan.

Saya kira, para isteri jelas dengan hukum dan syariat Allah s.w.t. ini. Tidak semua benda yang kita suka, kita dapat memilikinya. Ada seseorang yang sukakan seorang perempuan tetapi akhirnya perempuan tersebut berkahwin dengan lelaki lain dan begitulah sebaliknya sebagaimana dengan kisah dalam novel pendek saya Cinta Syurga.

Dan tidak semua yang kita suka dapat kita memilikinya secara penuh. Kadang-kadang kita perlu berkongsi dengan orang lain. Namun, perkongsian ini tentulah dengan adab dan kaedahnya.

Nasihat saya kepada para isteri yang bakal dimadukan dan telah dimadukan, bantulah suami kalian dalam menjalankan tugasnya sebagai suami dengan adil dan saksama. Suami yang hebat datangnya daripada isteri yang hebat.

Bersabarlah kerana sesungguhnya Allah itu suka orang-orang yang bersabar. Kesabaran diperlukan bagi mengharungi poligami. Suami kalian juga perlu bersabar melayan kerenah ‘madu-madunya’ dan kalian juga perlu bersabar mengharungi situasi ini. Jika sebelum berkahwin, kalian boleh bersabar, kenapa tidak setelah berkahwin?

Kesimpulannya, saya melihat poligami ini sebagai jalan penyelesaian yang perlu diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat. Jangan dipandang serong amalan ini. Ianya adalah syariat Allah s.w.t. Hukum-hakamnya ada di dalam kitab-kitab fiqh lama dan baru.

Semoga kita diberi kelapangan dada untuk menjalankan perintah-perintah Allah s.w.t. Peringkat seterusnya adalah pelaksanaan hukum hudud dan qisas. Dimanakah kita dalam hal ini?

Juara Olimpik Mesti Luar Biasa

Assalamualaikum w.b.t…

Kejohanan Olimpik London 2012 sedang hangat berlangsung. Sudah 4 hari kejohanan tersebut berlangsung dan China sedang mendahului dari sudut pengutan pingat emas.

Seorang juara mesti luar biasa. “Dia” mesti berbeza dengan orang lain. Ada ciri-ciri istimewa yang menjadikan dia seorang juara.

Saya ingin memetik kata-kata Datuk Mohid Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan (KBS):

“Menyentuh soal disiplin pula, perkara ini sangat penting untuk jadi seorang juara. Makan tak boleh seperti orang biasa, tidur tak boleh macam orang biasa. Untuk jadi seorang juara dunia, pelumba kita mesti lakukan perkara yang berbeza dengan orang lain. Kalau mereka lihat, orang biasa tidur pukul 12 tengah malam, mereka pun nak tidur pukul 12 tengah malam, kalau mereka lihat orang makan di kedai mamak, mereka pun nak makan di kedai mamak”

Jelas bukan, disiplin sang juara perlu ketat. Lebih-lebih lagi jika bersaing di arena Olimpik yang membariskan jaguh-jaguh dunia dalam setiap acara.

Saya pernah menyebut, segala kejayaan ini bermula dengan disiplin. Tanpa disiplin, manusia tidak akan berjaya. Hadirlah ke ceramah motivasi, mendapat jurulatih yang hebat serta peralatan yang terbaik, semuanya tiada makna jika anda tidak berdisiplin. Oleh itu, disiplin sang juara mesti luar biasa.

Oleh itu, saya mengira, peserta kejohanan ini yang mampu berpuasa dan dalam masa yang sama dapat melakukan aksi yang cemerlang adalah atlit yang benar-benar luar biasa. Kenapa kita sanggup menjalani latihan yang berat demi sesebuah kejohanan sedangkan demi kejohanan “amalan akhirat” kita tidak mahu berlatih dan mengikuti persiapan yang ketat?

Maka, saya nasihatkan semua atlit Malaysia di Kejohanan Olimpik London 2012 agar terus berpuasa sehingga anda benar-benar tidak mampu. Jika anda berbuka, maka tunjukkanlah adab terhadap orang yang berpuasa dengan tidak makan dan minum di khalayak ramai.

Tunjukkan peribadi kita sebagai atlit Muslim!

Berhari Raya Di Kampung

Assalamualaikum w.b.t…

Mungkin kalian pelik, kenapa saya menulis entri ini, sedangkan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini masih lambat lagi. Sebenarnya, saya ingin memaklumkan kepulangan saya dengan lebih awal kepada kenalan dan rakan saya di Malaysia.

Sudah hampir 4 tahun berada di perantauan, dan tahun ini merupakan detik indah kerana dapat pulang berpuasa dan berhari raya dengan keluarga. 4 tahun adalah tempoh yang lama bagi saya. Cukup rindu kepada ayah dan ibu serta ahli keluarga.

Doakan kepulangan saya dalam keadaan selamat dan sejahtera. Saya akan bertolak pada sekitar 1 petang daripada Lapangan Terbang Casablanca menggunakan Egypt Air. Transit di Mesir selama 2 jam dan kemudian berlepas semula ke KLIA. Pulang bersama dengan seorang junior, Ahnaf yang juga berasal dari Kelantan. Perjalanan kami memakan masa lebih daripada 20 jam. Wow, tempoh yang agak lama tu! Macam manalah nanti kat dalam flight tu?

Dijangka sampai ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa sekitar jam 11 malam. Sanggupkah abah datang ambik ni? Letih juga menunggu ni.

Semasa beli tiket, saya dapat harga yang murah iaitu sekitar RM 2800 pergi dan balik. Oklah, harganya.

Semoga dengan kepulangan ini dapat mengubat sedikit rindu bagi meneruskan kembali tahun pengajian terakhir peringkat master. Tahun depan adalah tahun genting bagi saya. Perlu menulis tesis, membuat persiapan untuk bekerja dan persiapan untuk berk…. (rahsia!).

Semoga semuanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Amiin.