Tok Kenali Yang Dikenali (Part 2)

Assalamualaikum w.b.t…

Sambungan daripada kisah Tok Kenali yang lepas. Boleh baca kisah ini di sini.

Sepanjang pengajiannya di bumi Mekah, Tok Kenali telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, semuanya itu dihadapi dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Allah s.w.t.

Bayangkan para pembaca, dengan berbekalkan wang yang serba kekurangan, kira-kira RM22 dapat menampung hidup Tok Kenali di Bumi Mekah selama 22 tahun. Berbekalkan semangat ingin menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain, maka Tok Kenali terus bertahan di Bumi Mekah.

 

Asal Usul Nama Serambi Mekah

Masjidil Haram menjadi tempat tinggal Tok Kenali. Oleh sebab itu, antara sebab Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah kerana orang alim ini.

Beliau menetap di serambi Mekah semasa pengajiannya di sana. Hal ini berlarutan selama 7 bulan. Maka, diambil peristiwa ini sebagai nama timangan Negeri Kelantan yang merupakan negeri kelahiran Tok Kenali.

Namun, kehidupannya sedikit berubah apabila beliau bermunajat kepada Allah s.w.t. memohon pertolongan semoga dimurahkan rezeki. Akhirnya, kehidupannya sedikit sebanyak berubah. Beliau menjadi tukang masak bagi perkelahan-perkelahan kawan-kawannya.

Dengan duit yang diperolehi, dapatlah beliau menyewa rumah dan membeli kitab.

 

Kaedah Pembelajaran Tok Kenali

Antara rutin Tok Kenali yang menarik minat para pelajar di sana ialah beliau seakan-akan tidur semasa mendengar kuliah. Kelihatannya, beliau menunduk kepala dan menutup mata. Ini menyebabkan rakan-rakannya menyangka bahawa beliau tertidur semasa belajar. Sebenarnya, bukan itu yang berlaku. Tok Kenali mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza.

Beliau akan mengulangkaji pelajarannya sebelum pergi ke kelas tersebut. Beliau akan merujuk beberapa kitab terlebih dahulu. Dengan maklumat awal yang diperolehi ini, membolehkannya menghadam dengan baik pelajaran yang akan disampaikan oleh gurunya.

Di dalam kelas, beliau tidak menulis dan tidak melihat. Beliau hanya mendengar sambil menutup mata. Beliau mendengar dengan sepenuh perhatian.

 

Kealimannya Diuji

Kealiman Tok Kenali sudah diketahui oleh kebanyakan rakan-rakannya di Kelantan. Namun, sebaliknya di Bumi Mekah. Beliau tidak begitu dikenali oleh rakan-rakannya. Kehidupannya yang serba kekurangan menyebabkan beliau dipinggirkan daripada aktiviti mereka.

Sampailah pada suatu hari, beliau ditanya oleh gurunya tentang 3 soalan. Semua rakan-rakan sepengajiannya yang lain tidak dapat menjawab. Tetapi dia yang kelihatan tertidur itu dapat menjawabnya dengan betul dan tepat.

Semenjak itu, beliau menjadi tarikan para guru dan para pelajar. Berduyun-duyun para pelajar yang mula berguru dengannya.

Pada suatu ketika, beliau diajak bermusafir dengan salah seorang gurunya ke Mesir. Setibanya di Mesir, gurunya disambut dengan begitu meriah oleh orang Arab Mesir. Dalam suatu majlis, gurunya itu ditanya dengan beberapa soalan. Lantas, gurunya meminta Tok Kenali yang menjawab semua soalan tersebut.

 

Pulangnya Seorang Alim

Setelah lama berkelana di Bumi Mekah. Kira-kira 22 tahun, Tok Kenali pulang membawa himpunan khazanah ilmu untuk diajarkan kepada orang ramai. Beliau mula membuka pondok Tok Kenali. Di sini, beliau mencurahkan pelbagai ilmu kepada masyarakat setempat.

2 tahun kemudian, beliau dipanggil berkhidmat di Masjid Muhammadi di Kota Bharu. Sebuah tempat yang terkenal dalam penyebaran ilmu agama. Di sini, ilmunya dikenali dan ketokohannya dikagumi.

Selain itu, Tok Kenali banyak berjasa dalam perkembangan pendidikan di Bumi Kelantan. Walaupun beliau mempunyai latar belakang pengajian pondok, beliau tidak pernah menyekat perkembangan pengajian arus perdana yang ada sekarang ini. Sebarang usaha memandaikan rakyat disokong dengan padu tanpa berbelah bahagi.

 

Menghembus Nafas Terakhir

Setelah 65 tahun berkelana di bumi Allah s.w.t. ini, Tok Kenali telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Ahad, 19 November 1933M. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali, Pasir Puteh, Kota Bharu. Ianya menjadi tempat persinggahan Almarhum Sultan Kelantan pada ketika itu.

Demikianlah sedikit kisah seorang pemimpin agama yang hebat dan dikenali oleh semua pihak. Beliau dikenali sebagai simbol penggerak pendidikan di Bumi Kelantan. Dalam dirinya terzahir segala sifat terpuji yang boleh diikuti bagi orang yang berakal.

Perginya Tok Kenali meninggalkan ruang kosong yang besar dalam masyarakat. Beliau menjadi rujukan masyarakat dalam segala aspek. Semua lapisan masyarakat bermula daripada Sultan hinggalah rakyat jelata yang miskin menaruh harapan kepadanya.

Semoga beliau ditempatkan di tempat orang-orang yang terpuji. Amiin.

Tok Kenali Yang Dikenali (Part 1)

( Muhammad Yusuf Bin Ahmad @ Tok Kenali)

Assalamualaikum w.b.t…

Malam ini adalah malam curahan idea. Berbekalkan keberkatan tempat ilmu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, beserta dengan menumpang di bilik seorang sahabat yang baik dan peramah, Hafis Firdaus, saya menulis dan terus menulis.

Daripada satu artikel kepada artikel yang lain. Penuh dengan isi dan bahan. Tanpa rasa penat dan letih. Benarlah kata-kata hukama’ tempat belajar ini adalah tempat yang berkat. Segala-galanya mudah dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Rindu rasanya dengan tempat seperti ini. Sudah 2 bulan meninggalkan medan ilmu untuk bercuti. Saya benar-benar rindukan medan ilmu itu.

Siapa Tidak Kenal Dengan Tok Kenali?

Ini persoalan yang tidak memerlukan jawapannya kerana ianya jelas lagi bersuluh. Tok Kenali ialah ulama besar daripada Kelantan, bumi Serambi Mekah. Banyak perkara sebenarnya yang ingin saya kongsikan dengan anda tentang Tok Kenali.

Nama sebenarnya adalah Muhammad Yusuf Bin Ahmad. Anak tunggal daripada sepasang suami isteri iaitu Ahmad dan Fatimah. Ketika kecil, Tok Kenali dipanggil Awang Kenali.

Asal Usul Awang

Gelaran “Awang” adalah gelaran untuk orang-orang baik. Malah, gelaran ini juga untuk orang yang dikasihi oleh masyarakat. Kalau di Kelantan, orang-oran tua masih memanggil kanak-kanak dengan panggilan ini. Manja dan mesra.

Ia suatu pengiktirafan orang-orang tua terhadap orang yang dipanggilnya. Buat pengetahuan, panggilan “Awang” ini bukan sahaja digelarkan kepada Tok Kenali, malah ayahnya juga dikenali sebagai “Awang”.

Asal Usul Tok Kenali

Tok Kenali dilahirkan dalam keluarga miskin tetapi ilmuwan. Datuknya adalah orang alim di kampungnya. Daripada datuknya inilah, Tok Kenali menimba banyak ilmu-ilmu kehidupan serta agama. Tok Kenali belajar akhlak dan budi bicara datuknya. Datuknya terkenal seorang alim yang pandai memujuk hati-hati yang gelap dan diselubungi dengan dosa-dosa untuk kembali ke pangkal jalan. Semua itu dengan kata-kata hikmah dan akhlak yang tinggi.

Ayahnya meninggal dunia pada usianya yang muda iaitu sekitar 5 tahun. Selepas itu, datuknya yang mengasuh dan mendidiknya dengan bantuan nenek dan ibunya, Fatimah.

Kembara Tok Kenali Di Medan Ilmu

Sejarah hidupnya di medan ilmu sangat menarik. Penuh dengan dugaan dan cabaran yang tidak pernah putus-putus. Namun, dihadapinya dengan penuh sabar. Itulah adat menuntut ilmu.

Ketika kecil, beliau diajar oleh datuknya mengaji al-quran. Melalui datuknya, Tok Kenali mengenal huruf-huruf al-quran dan pandai membaca dan menulis. Selain itu, Tok Kenali sangat mahir mengira. Kemahirannya dalam usia yang muda itu melangkaui kemampuan remaja-remaja pada masa itu. Seawal umur lima tahun, Tok Kenali sudah mampu mengajar kanak-kanak yang lebih tua daripadanya membaca al-quran.

Ketika umurnya menginjak remaja, beliau telah dilantik menjadi jurukira oleh Tok Penghulu di kampungnya. Satu pencapaian yang hebat! Boleh berbakti kepada ibu bapa pada usia muda lagi.

Sewaktu Masjid Muhammadi dibina, Tok Kenali banyak mendatangi halaqah-halaqah yang dianjurkan di masjid ini. Masjid ini menjadi kebanggaan bagi umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu. Masjid ini dikunjungi oleh pecinta-pecinta ilmu yang datang daripada segenap pelusuk alam untuk belajar ilmu agama. Kelantan terkenal sebgai pusat ilmu selepas itu.

Sepanjang pembelajarannya di Kota Bharu, beliau telah belajar dengan beberapa orang ulama seperti Tuan Haji Wan Ismail, Tuan Guru Haji Ibrahim dari Penambang iaitu Mufti Kelantan, Syeikh Muhammad Ali Bin Abdul Rahman dan Tuan Guru Haji Taib. Segala cabang ilmu-ilmu asas dipelajarinya daripada ulama-ulama ini.

Apa yang hebatnya, Tok Kenali pergi ke Masjid Muhammadi yang jauhnya 20 kilometer daripada rumahnya dengan berjalan kaki ayam setiap hari. Bayangkan kawan-kawan, Tok Kenali berjalan dengan hanya berkaki ayam sahaja dengan jarak 20 kilometer.

Apabila ditanya oleh rakannya, kenapa berkaki ayam? Beliau berkata ingin cepat sampai ke Masjid Muhammadi. Satu rahsia tentang Tok Kenali ini, beliau berjalan dengan cepat sekali. Ini petua orang yang hebat. Mereka berjalan laju. Cuba perhatikan orang Jepun dan orang Eropah. Mereka berjalan laju. Jadi, berjalanlah laju-laju.

Dipendekkan cerita, Tok Kenali ingin menimba ilmu di Mekah. Maka, beliau mengembara ke Mekah dengan kapal dagang selama enam bulan perjalanan. Asalnya, perjalanan biasa memakan masa 3 bulan sahaja. Namun, kerana tiang kapal tersebut patah maka, terkandaslah mereka di tengah-tengah lautan selama 3 bulan.

Dengar sahaja cerita ini mengingatkan saya tentang kemudahan yang kita ada pada hari ini. Semuanya cukup lengkap dengan segala kemudahan. Perjalanan jauh pun sudah singkat tetapi kita masih lagi tidak mampu ke depan. Semakin hari semakin jauh ketinggalan. Tidak tahu di mana silapnya. Renungkanlah wahai kawan-kawan! Jangan tenggelam dengan kemudahan dan kesenangan.

Jumpa lagi!

Arrazi,

Blogger Sambilan,

22 September 2012

Mahallah Solahuddin, UIA Gombak.

Kunjungan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang Ke Bumi Maghribi

Assalamualaikum w.b.t…

Semalam, saya berkongsi tentang Program Konvokesyen PMMM 2012. Kali ini, saya ingin berkongsi tentang pertemuan mahasiswa Maghribi dengan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang beserta delegasinya.

Pertemuan yang tidak diatur ini berakhir pada pukul 6.30 petang. Kediaman mahasiswi Rabat menjadi tempat pertemuan kami.

Walaupun pertemuan itu singkat, namun, ianya padat dengan hikmah yang kami kutip dalam memahami kesederhanaan dan kesungguhan ulama bagi mengubah masa depan rakyat. YB Tuan Guru membuat satu kesimpulan yang baik dalam menerangkan perubahan yang berlaku dalam dunia Islam pada masa kini.

Kesedaran Islam boleh wujud di mana-mana, samada daripada sistem barat ataupun daripada sistem Islam. Cuba kita perhatikan, daripada sistem manakah yang melahirkan Presiden Mesir, Dr Mohamed Mursi? Pemikir Islam, Malik Bin Nabi? dll. Kesimpulannya, mereka lahir daripada sistem barat tetapi mempunyai pemikiran yang hebat dalam Islam.

Selain itu, YB Tuan Guru mengingatkan tentang kepentingan sejarah dalam memahami masyarakat dan perkembangan yang berlaku di dalamnya. Sejarah bukan semata-mata kisah yang berlaku pada masa lampau, sebaliknya ianya merupakan cermin bagi generasi sekarang dalam melakukan perubahan. Jika gagal kita membaca cerminan ini, maka gagallah kita untuk membina tamadun yang lebih kukuh dan berjaya daripada masa lalu.

( YB Tuan Guru sedang memberikan taujihat kepada para mahasiswa dan mahasiswi)

(Bergambar kenangan dengan YB Tuan Guru dan delegasi)

( Bersama dengan senior dan wartawan Harakah, Abg Nazri)

Begitulah, sedikit coretan berkenaan dengan kunjungan yang penuh dengan keberkatan ini. Moga-moga usaha yang kerdil ini dibalas oleh Allah s.w.t. dengan ganjaran yang melimpah ruah.

Wassalamualaikum w.b.t…

Imam Abu Ishaq As-Syirazi Dan Karyanya

 

Assalamualaikum w.b.t…

Semoga rakan-rakan pembaca sihat walafiat…

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit bahan rujukan utama dalam mazhab syafie yang dikarang oleh Imam Abu Ishaq As-Syirazi. Semoga ianya bermanfaat buat para pembaca yang bercadang untuk menekuni mazhab syafie dari sudut hukum hakam.

Sebelum kita membincangkan tentang rujukan utama dalam mazhab syafie ini, sebaiknya kita perlu membezakan antara “masdar” dan “marji” . Masdar atau Rujukan Utama adalah kitab yang dikarang oleh pengasas dan mereka-mereka yang hampir dengan zamannya. Manakala Marji’ atau Rujukan Sekunder merupakan kitab yang dikarang oleh ulama’ selepasnya sehinggalah ke hari ini. Takrifan ini disepakati oleh Dr. Farid Al-Ansori Rahimahullah. Selain itu, ada juga ulama yang menyebut takrif lain. Mereka mengatakan Masdar ini merupakan buku yang tidak menaqalkan daripada mana-mana kitab dan sumbernya datang daripada pengarang sendiri. Manakala, marji’ adalah kitab yang mengambil maklumat-maklumat yang dihimpun itu daripada pengarang-pengarang lain.

Beliau ialah  Ibrahim Bin Ali As-Syirazi Al-Fairuz Abazi (daripada Bahasa Parsi yang bermaksud besar). Dilahirkan pada 393H. Beliau pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya dan baginda s.a.w. memanggilnya: “Ya Syeikh!”. Dan beliau begitu gembira dengan nama ini sehinggakan beliau berkata: “Maka Rasulullah s.a.w. telah menamakan aku sebagai Syeikh”.

Apa yang menariknya berkenaan dengan Imam Syirazi ini, beliau pernah berkata tentang hidupnya yang sangat menekuni pembelajaran. Beliau berkata: “ Aku mengulang setiap pelajaran aku sebanyak 100 kali. Jika terdapat dalam sesuatu masalah syair maka akau akan menghafal semuanya”.

Meninggal dunia pada hari ahad pada 21 Jamadil Awwal dan ada yang mengatakan pada Jamadil Akhir di Baghdad, Iraq. Seseorang telah melihatnya dalam tidur dan beliau memakai pakaian putih dan ditanyalah kepada beliau: “Apakah ini (pakaian putih)?” Maka ia berkata: “Kemuliaan ilmu”.

Imam As-Syirazi mempunyai dua buah karya yang sangat agung dalam fiqh mazhab Syafie. Kitab yang saya maksudkan adalah Kitab Al-Muhazzab Dan Kitab At-Tanbih. Namun di Malaysia, hanya kitab Al-Muhazzab yang terkenal manakala kitab At-Tanbih tidak begitu popular.

Couverture

Kitab Al-Muhazzab telah disyarahkan oleh kebanyakan ulama’ dan syarahan yang paling popular adalah daripada Imam Nawawi yang diberi nama : Kitab Majmu’. Namun, Imam Nawawi tidak sempat menyempurnakannya sehinggalah datangnya Syeikh Muti’I yang menyempurnakan kitab ini yang diberi nama : “Takmilah Majmu’” sebanyak 23 jilid.

Link download: http://al-mostafa.info/data/arabic/depot3/gap.php?file=i002831.pdf

Kitab yang kedua adalah Kitab At-Tanbih yang juga menjadi rujukan para ulama’ malah disyarah oleh 40  orang ulama. Syarahan dan hasyiyah yang begitu banyak ini menunjukkan nilai ilmu yang dikumpulkan oleh Imam Syirazi dalam kitabnya ini.

Link download Kitab At-Tanbih: http://www.archive.org/download/al_t…al_tanbeeh.pdf

Sekadar itu sahaja, perkongsian hari ini.

Ar-Razi