Assalamualaikum w.b.t..
Tidak pernah saya mengambil artikel orang lain dan saya pastekan di blog saya ini. Hal ini disebabkan oleh tujuan saya membuat blog adalah semata-mata melontarkan idea saya tentang sesuatu perkara selain memberikan sedikit hiburan yang berilmiah kepada rakan-rakan pembaca.
Namun, setelah membaca artikel Mentor Usahawan Berjaya saya, Irfan Khairi, saya terpanggil untuk berkongsi artikelnya yang baik tentang Pasaran dan Minat.
Jom baca!
“Perniagaan apa yang menguntungkan? Semestinya kita tahu 9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan. Tapi, tak semestinya perniagaan yang kita lakukan akan berjaya dan dapat untung. Banyak juga perniagaan di luar sana yang mengalami kegagalan.
Jadi, persoalannya, sekiranya ingin memulakan perniagaan, perniagaan apa yang boleh memberi keuntungan kepada kita?
Soalnya, bukan pada perniagaan apa yang menguntungkan, tetapi perlu memenuhi dua elemen ini, iaitu, MINAT dan PERMINTAAN

MINAT
Sebaiknya, dalam perniagaan, kita mulakan perniagaan yang kita minat. Tanya pada diri kita sendiri, apakah latar belakang kita, industri apa yang kita lakukan, apakah hobi kita, kekuatan atau kebolehan yang kita miliki atau sesuatu sememangnya menjadi minat kita.
Langkah pertama dalam memulakan perniagaan yang menguntungkan adalah melihat dalam diri kita sendiri terlebih dahulu, iaitu MINAT. Minat akan menjadikan kita lebih bermotivasi dan terus mempunyai momentum untuk berjaya dalam bidang yang kita minati.
Dengan hanya melihat keuntungan TANPA melihat pada minat, adalah salah satu sebab utama perniagaan mengalami kegagalan.
PERMINTAAN
MINAT sahaja tidak mencukupi. Pastinya kalau kita minat sesuatu, tetapi tiada permintaan untuk perniagaan tersebut, maka, pastinya perniagaan tidak akan dapat keuntungan.
Pastikan pula, langkah kedua adalah melakukan penyelidikian atau reseach atas pasaran anda. Sekiranya anda memulakan perniagaan tersebut, bagaimana pula dengan permintaannya?
Penyelidikan asas adalah dengan banyak bertanya, sama ada secara online, di forum, blog atau Facebook, ataupun tanya pada kenalan, keluarga dan rakan pejabat. Dengan hanya bertanya, berbagai-bagai maklumat pasaran kita boleh dapati mengenai perniagaan yang kita ingin jalankan.
Oleh itu, equationnya adalah;
MINAT + PERMINTAAN = PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Pastikan anda memiliki kedua-duanya!
Itu adalah pandangan Irfan Khairi. Satu pandangan yang kena dengan realiti perniagaan. Pasaran merupakan segala-galanya dalam perniagaan. Tanpa pasaran tiada perniagaan dan keuntungan, walaupun anda minat sekalipun. Ini juga yang menjadi sebab kenapa ramai orang kecundang dalam perniagaan. Mereka tidak mengkaji pasaran.
Bagaimana mahu mengetahui pasaran? Saya bagi satu formula mudah sahaja. Permintaan “keperluan” lebih tinggi daripada permintaan “kehendak”, dan permintaan “kehendak” lebih tinggi daripada permintaan “kemewahan dan bersenang lenang”.
Apa yang saya maksudkan dengan “Keperluan”? Keperluan ialah sesuatu yang diperlukan dalam hidup. Tanpanya nyawa, tubuh badan dan segala harta benda kita yang ada tidak akan selamat. Sebagai contoh, perniagaan perumahan tidak akan terhenti sampai bila-bila kerana manusia selagi ada yang dilahirkan maka memerlukan kepada rumah. Tentunya tanpa rumah atau tempat berteduh, nyawa kita, tubuh badan kita dan harta kita terancam.
Manakala kehendak pula adalah sesuatu yang kita hajatkan pada sesuatu masa tetapi tidak berhajat pada satu masa yang lain. Jadi, kehendak ini merupakan pelengkap kepada keperluan tadi. Sebagai contoh, kereta yang sesuai dengan kemampuan, telefon biasa dan sbg. Dengan kata lain, peralatan yang dalam keadaan lengkap dengan keperluan aktiviti-aktiviti kita.
Seterusnya, kemewahan dan bersenang lenang ini pula saya tafsirkan dalam bentuk yang mana manusia tidak perlu pun kepada benda tersebut tetapi oleh kerana harta yang berlebihan maka manusia mencarinya. Sebagai contoh, orang yang mencari kereta ferrari, dan bmw (jenama mewah). Tentunya semua ini tidak diperlukan. Namun, manusia mencarinya kerana tujuan masing-masing yang lebih kepada bermewah-mewahan.
Oleh itu, pasaran keperluan tentunya luas. Namun, perlukan sedikit lagi pengkajian dan pemerhatian agar tidak tersilap langkah. Manakala pasaran kemahuan pasti banyak namun perlu dilihat kerelevanannya pada sesiatu masa kerana manusia menggunakannya mengikut tahap ekonomi mereka. Akhirnya, bermewah-mewahan dan bersenang lenang pula tentunya masih ada pasaran. Namun, kajian menyeluruh perlu dilakukan kerana tanpanya usahawan boleh bankrup dan muflis.
Ok. Sekadar itu analisis saya terhadap pasaran. Semoga bermanfaat.