Selamat Bertemu Kembali Malaysia

( Selamat Bersua Kembali Malaysia)

Assalamualaikum w.b.t…

Percutian di Malaysia selama hampir 2 bulan sudah hampir berakhir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya akan meninggalkan bumi tercinta ini. Segala-galanya sudah siap sedia untuk dibawa ke Maghribi.

Banyak sungguh kenangan yang saya kutip sepanjang percutian yang penuh bermakna ini. Terasa dada penuh dengan kobaran semangat yang meluap-luap. Seakan-akan seperti seorang peninju hebat yang sudah bersedia untuk beraksi di dalam gelanggang.

Masih teringat di benak fikiran. Semangat seperti ini pernah saya alami sebelum berangkat ke bumi Maghribi. Semangat itu datang dengan harapan daripada ibu bapa yang ingin melihat anaknya ini berjaya dalam bidang agama. Sokongan dan doa daripada rakan-rakan yang saya kasihi juga menambah kekuatan diri ini untuk terus menimba ilmu.

Kini, semangat itu datang kembali. Penuh dengan tenaga dan kuasa. Menunggu masa untuk dilepaskan. Alhamdulillah, lafaz puji kepada Ilahi yang mampu saya ungkapkan. Semoga saya lebih bersedia untuk masa hadapan yang lebih mencabar.

Masih ingat artikel saya tentang cabaran tempoh hari? Baca, jangan tak baca!

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan daripada rakan-rakan yang budiman yang saya tidak sempat menjenguk dan menziarahinya. Waktu sungguh pantas. Ingatkan 2 bulan itu lama, tetapi sebenarnya cepat berlalu. Itulah petanda dunia sudah tua dan di akhir usianya.

Percutian ini adalah bekalan saya untuk menempuh cabaran yang lebih hebat pada tahun hadapan. Banyak perkara menunggu. Final year, tesis master, persiapan kahwin dan alam kerjaya yang mencabar. Semuanya memerlukan komitmen yang tinggi daripada insan kerdil ini.

Melihat sejarah hidup orang lain yang tidak berjaya telah menyebabkan saya takut dan insaf bahawa hari tak selalunya cerah dan indah. Kehidupan orang lain adalah cermin bagi diri yang ingin mengambil teladan. Ini yang saya dapat kutip sepanjang percutian kali ini. Belajar sejarah hidup orang lain. Pasti ada mutiara-mutiara kehidupan yang boleh dipelajari.

Manakala, kejayaan hidup orang lain yang terdekat dengan hidup saya pula telah memberikan inspirasi yang kuat untuk membina kehidupan seperti itu. Umpama meminum kopi panas di malam hari yang sejuk dan mendamaikan. Pasti bertenaga untuk melakukan kerja-kerja yang ada.

Insya Allah, saya akan bertolak ke Maghribi pada hari Jumaat bersamaan 28.09.2012 dengan Air Asia. Dijangka sampai ke Maghribi pada keesokan harinya. Insya Allah, menumpang di rumah Syeikh Ayman di Casablanca.

Pasti saya akan merasa rindu dengan tanah, udara, dan persekitaran di Malaysia. Sungguh berbeza dengan Maghribi. Kedua-duanya memberi makna yang berbeza. Semoga kita bersua kembali wahai Malaysia!

Kembalinya saya selepas ini adalah sebagai tanda membalas budi kepada rakyat Malaysia. Di sini saya mengenal dunia dan di sini jualah saya akan meninggalkan dunia ini. Insya Allah, saya mahu mati di tanah air tercinta. Mati sebgai orang yang berbakti dan bukan mati yang tiada erti.

Moga-moga, saya mampu menggalas amanah mendatang di bumi tercinta ini. Amanah mendidik, keluarga dan kerjaya pastinya memerlukan tenaga yang lebih dan secara konsisten. Bukan hangat-hangat tahi ayam!

 

Arrazi

22.09.2012

UIA Gombak, Selangor.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s