Tip Kuasai Bahasa 9

Assalamualaikum rakan-rakan pembaca. Adakah anda sudah memahami 7 kaedah yang hebat yang saya terangkan? Kalau masih buntu atau anda mempunyai hujah atau kaedah anda, jom! Kongsi bersama kami.

Baik! Pada hari ini, saya akan perkenalkan guru saya yang saya kagumi kepakarannya, semangatnya dan ketekunannya dalam menyebarkan ilmu kepada seluruh para pelajarnya, samada secara langsung atau tidak langsung. Beliau ialah A.J. Hoge

Saya mendaftar sebagai ahli kepada Effortless English Club pada bulan November 2009. Bermula pada ketika itulah, saya mengenalinya. Saya belajar dengannya melalui artikel, video dan podcast. Sehingga hari ini, saya telah menerima ratusan email daripadanya.

Beliau merupakan pengasas kepada Effortless English Teaching System dan Director  bagi Effortless English Club. Dulu, beliau merupakan guru biasa dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Beliau menghadapi masalah sebagaimana guru-guru lain dalam memastikan pelajar mereka menguasai bahasa ini.

Semasa beliau mengambil Master degree dalam Teaching English, beliau Berjaya menjumpai kaedah ini hasil pengkajian selama bertahun-tahun. Kemudian, kaedah ini diaplikasikan di sekolah beliau dan natijahnya para pelajarnya dapat bercakap dengan baik B.Inggeris. Selain itu, mereka ceria dan sangat berminat dengan pembelajaran B.Inggeris.

Effortless English Club merupakan hasil usahanya. Kelab ini diasaskan sebagai sistem bantuan kepada para pelajarnya melalui medium internet. Di sini, ahli kelab akan berkongsi pandangan, luahan kejayaan hasil penggunaan kaedah ini dan banyak lagi aktiviti yang disediakan.

Jika anda berminat untuk bersama kami, daftarlah di laman ini.

http://effortlessenglishclub.com/

Sekadar itulah, perkongsian saya dalam Sembang Bahasa. Jumpa lagi di siri yang lain. Semoga anda mendapat manfaat yang berguna daripada kaedah ini. Selamat Mencuba !

Hadis Hari Ini :

عن أم المؤمنين أم عبدالله عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم : “من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد”.  رواه البخاري ومسلم

وفي رواية لمسلم:”من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد”.

Maksudnya:

“ Barangsiapa yang mengada-adakan (perkara baru) dalam urusan kami (Islam) ini perkara yang bukan daripadanya, maka ia tertolak (tidak diterima daripadanya)”          (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat daripada Muslim: “ Barangsiapa yang beramal suatu amalan yang tiada kami perintahkan ke atasnya maka ia tertolak”.

Tip Kuasai Bahasa 8

Assalamualaikum…

Apa khabar sahabat-sahabat pembaca? Moga-moga dalam keadaan sihat dan ceria semua. Baik ! Saya akan terangkan kaedah yang terakhir, terbaik dan paling cepat untuk menguasai bahasa. Apa dia ?

7. Dengar, Ulang Dan Jawab

Inilah kaedahnya. Dapat tak ? Dalam kaedah ni menerangkan, anda mestilah gabungkan tiga perkara. Bila anda dengar bahan-bahan audio yang mudah difahami, anda mestilah dengar, ulang dan jawab.

Bagaimana nak buat tu? Bukan senang kan? Memang pun, nak berjaya kena susah sikit. Begini, anda cari cerita pendek. Kemudian, minta guru bahasa anda bacakan cerita pendek tu, anda record dan setiap lima minit anda minta guru anda berhenti dan tanyakan soalan dan teruskan sehinggalah tamat cerita. Pastikan tanya soalan mudah dan boleh dijawab. Jadi, anda perlu dengar, ulang cerita tersebut dan jawab dengan pantas dan cepat.

Kenapa kaedah ini merupakan kaedah yang terbaik? Apakah implikasinya kepada kita, bila kita menggunakannya? Baik! Bila anda dengar dan ulang, anda hanya hafal apa yang anda dengar. Tetapi apabila anda dengar, ulang dan jawab, anda akan berfikir tentang bahasa. Bila anda berfikir tentang bahasa maka barulah anda boleh bercakap dengan cepat dan pantas.

Kesimpulannya, rangkumlah 3 kaedah ini dengan serentak agar anda mendapat hasil yang serentak.

Jumpa lagi! Di email yang seterusnya, saya akan perkenalkan kepada anda A.J.Hoge. Siapakah beliau? Tunggu artikel seterusnya.

Hadis Minggu Ini:

عَنْ أَنَسٍ ،عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:” لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ”. (رواه البخاري)

 

Maksudnya:

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi  saudaranya (dalam Islam) sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dia kasihi bagi dirinya ( daripada kebaikan)”.                                                                                                                    (Riwayat Al-Bukhari)

Tip Kuasai Bahasa 7

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakkatuh…

Adakah anda bersama saya? Baik! Saya cadangkan anda tetap bersama saya sehinggalah ke kaedah yang ke-7. Kenapa? Sebab saya akan terangkan kaedah yang paling hebat dan paling cepat untuk kuasai bahasa pada kaedah yang terakhir.

6. Guna Bahan Yang Sebenar

Penutur yang fasih dan lancar dalam bahasa menggunakan bahan yang asli dan sebenar. Hentikan belajar bahasa dengan buku teks, buku latihan atau CD yang dikepilkan bersama buku teks. Guna bahan yang asli.

Apakah bahan yang asli? Bahan yang digunakan oleh penutur bahasa tersebut. Kebiasaannya mereka menggunakan surat khabar, majalah, radio, televisyen, talk show dll. Oleh itu, jika anda ingin bertutur dengan cepat dan fasih, gunakanlah bahan-bahan tersebut.

Apa yang ada dalam bahan tersebut? Anda akan dapati dalam bahan-bahan tersebut, cara mereka bercakap, susunan ayat yang digunakan dan istilah-istilah yang digunakan bagi sesuatu perkara. Dengan kata lain, anda akan dapat melihat kehidupan bahasa tersebut dalam masyarakatnya.

Kesimpulannya, anda perlu belajar daripada bahan yang asli dan sebenar bagi penutur bahasa tersebut.

Anda Perlu Lihat, Apa Yang Mereka Lihat

Anda Perlu Baca, Apa Yang Mereka Baca

Wassalam…

Hadis Hari Ini:

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ؟” قَالَ:” مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ”. رواه البخاري ومسلم

Maksudnya: “Mereka berkata: Wahai Rasulullah s.a.w.! yang manakah Islam ( amalan-amalan dalam Islam) yang lebih? Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Orang yang tidak menyakiti orang Islam lain dengan lidahn dan tangannya”.                                                                                                     ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Tip Kuasai Bahasa 6

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Salam Penuntut Ilmu dan Salam Ceria buat sidang pembaca. Selamat Membaca.

Baik! Hari ini adalah hari ke-5 kita membincangkan kaedah untuk menguasai bahasa yang dipelopori oleh seorang ahli bahasa Inggeris, AJ. Hoge. Adakah anda mengenalinya? InsyaAllah, saya akan perkenalkan guru saya ini kepada anda di ruangan lain.

Kaedah yang ke-5 adalah:

5. Gunakan “Point Of View Mini-Stories”.

Faham ke? Baik! Apa maksud “point of view mini-stories”? Sudut pandangan cerita-cerita pendek. Itulah terjemahan bagi istilah tersebut. Ini bermaksud, anda perlu gunakan sudut pandangan cerita yang berbeza-beza untuk menguasai tatabahasa sesuatu bahasa.

Bagaimana ? Begini ! Anda ambil satu cerita pendek yang menceritakan keadaan sekarang. Kemudian, anda ubah cerita tersebut kepada masa yang lalu dan akan datang. Jadi anda perlu buat step by step. Minta pertolongan guru bahasa anda, atau pun mereka yang mahir dengan bahasa tersebut.

Inilah kaedah yang semulajadi untuk menguasai tatabahasa. Anda tidak perlu lagi menghafal. Sebaliknya, anda mengetahuinya melalui pratikal. Tak perlu nak hafal-hafal. Terus buat dan ingat. Hebat tak kaedah ini ? Cubalah!

Kesimpulannya, anda perlu kuasai tatabahasa dengan menggunakan sudut pandangan cerita-cerita pendek.

 

 

Hadis Hari Ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ :عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ”

(رواه البخاري وابن حبان)

Maksudnya:

“ Iman itu (mempunyai) enam puluh dan beberapa cabang dan malu itu satu daripada iman”                                                                                                                                                           (Riwayat Al-Bukhari dan Ibn Hibban)

Tip Kuasai Bahasa 5

Assalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh…

Sidang pembaca yang saya kasihi, sekarang kita berada di kaedah yang ke-4. Sebelum itu, setiap kali artikel, saya akan sertakan hadis yang ringkas agar kita dapat sentiasa melazimi dengan hadis dan menghafal hadis tersebut.

4. Mendalam dan Perlahan

Baik! Ini kaedah yang ke-4, belajar secara mendalam dan perlahan. Ini adalah ubat yang paling baik sekali bagi seorang yang pelupa. Tak perlu makan pil penguat ingatan. Kaedah ini dah cukup buat anda.

Anda perlu belajar dengan perlahan dan mendalam agar bertutur dengan lancar.

Belajar tidak mendalam, bercakap perlahan

Belajar mendalam, bercakap lancar

Ha! Mana satu yang kita nak? Nak bercakap dengan gagap ke? Atau bercakap dengan petah? Nak nampak berkeluh kesah ke? Atau nak Nampak macho? Pilihlah, kawan-kawan!

Tapi bagaimana nak belajar mendalam? Ha! Senang saja. Ulang pelajaran yang kita belajar berkali-kali. Kalau anda hebat 30 kali. 3 kali dalam satu hari.

Kesimpulannya, belajarlah perlahan-lahan (dengan tenang dan ceria) serta mendalam, nescaya anda akan bercakap dengan cepat dan lancar.

Hadis Hari Ini

عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال ” إِنَّمَا الأعمالٌ بالخَوَاتيمِ

رواه ابن حبان في صحيحه

Maksudnya: “ Sesungguhnya amalan-amalan itu (dikira) dengan kesudahannya”.

(Riwayat Ibn Hibban dalam kitab sahihnya)

 

Tip Kuasai Bahasa 4

Assalamualaikum para pembaca yang budiman, semoga anda sentiasa bersemangat untuk bersama dengan saya dalam ruangan sembang bahasa ini. InsyaAllah, saya tidak akan mengecewakan anda. Teruskan bersama saya.

Baik! Sekarang kita telah sampai kepada kaedah yang ketiga. Kaedah yang paling senang untuk dibuat dan paling melecehkan apabila dibuat berulang-ulang.

3) Dengar Dulu

Ha! Itulah kaedah yang ke-3. Dapat tak? Benar, dengar dulu, bercakap kemudian. Adakah anda ingin bercakap? Tentu bukan! Jadi anda perlu menjadi pendengar yang baik.

Tapi, nak dengar apa? Adakah semua perkara kita perlu dengar? Jawapannya, anda perlu dengar bahan-bahan yang boleh difahami. Tinggalkan bahan yang kurang difahami.

“Dengar! Dengar! Dengar!”

Inilah kaedah yang paling cepat dan mudah. Kaedah ini jarang dipakai di sekolah mahupun universiti. Kita di sekolah diajar dengan buku teks, latihan dan ujian. Semua ini menggunakan mata sahaja. Kita hanya membaca dan belajar tentang tatabahasa sesuatu bahasa sahaja. Natijahnya, kita akan berfikir tentang bahasa bukan bercakap dengan bahasa.

Oleh itu, tinggalkan buku teks (bagi menjadi penutu yang lancar) tetapi ambil bahan-bahan berbentuk audio. Dengar! Dengar! Dengar!

Okey, jumpa lagi di kesempatan yang lain dengan kaedah yang ke-4.

 

Jangan Guna Tatabahasa

Kita berjumpa lagi.

Apa khabar rakan-rakan? Masih bersemangat meneruskan teknik-teknik power lagi best ini? Jom, kita teruskan lagi!

Teknik yang seterusnya adalah:

2) Jangan belajar bahasa melalui Tatabahasa

Ok, dapat tidak maknanya? Ok, saya akan jelaskan sedikit maknanya. Untuk belajar bahasa (khususnya bercakap bahasa), jangan belajar dengan buku tatabahasa. Kenapa? Adakah saya bermaksud kita tinggalkan terus buku tatabahasa dan meminggirkan sumbangan-sumbangan ahli cendikiawan dalam bidang ni?

Baiklah, fahami baik-baik kaedah ini. Kita perlu elakkan belajar bahasa dengan buku tatabahasa. Itu point saya. Bukan suruh buang buku-buku tatabahasa yang ada di rumah kita. Kerana apabila kita belajar bahasa dengan buku tatabahasa, kita akan dapat tatabahasa sesuatu bahasa, bukan bahasa itu sendiri. Kita akan berfikir tentang bahasa Arab dan kita juga akan fikir macam mana hendak membuat ayat sebelum bercakap.

Boleh ke tidak? Kalau kita tengah bercakap dalam bahasa Arab, selepas satu-satu kita minta masa untuk buat ayat dan kita pun sambung bercakap. Boleh ke macam itu? Tentu tidak boleh kan? Sebab itu akan membuatkan orang  itu cepat bosan dengan kita. Jadi untuk bercakap dgn automatically, fastly and easily, kita kena elakkan belajar bahasa dengan cara ini.

Sekali lagi, saya nak timbulkan persoalan kepada sahabat-sahabat yang belajar Bahasa Inggeris. Berapa lama kita belajar bahasa penjajah ini? Paling kurang kita telah bermula pada umur 7 tahun. Agak-agak kita sudah boleh kuasai tak? Tentu belum lagi kan? Kalau boleh pun, tentu tersekat-sekat bukan? Jadi inilah rahsianya. Kita belajar Bahasa Inggeris dengan Grammar dan Homework yg cukup membosankan!!! (saya tidak kata jangan tidak buat homework 🙂 )

Jom! Ubah cara kita yg tidak betul ini. Saya pasti, anda tertanya-tanya, macam mana saya hendak kuasai bahasa yang betul, kalau tidak melalui Grammar atau Nahu dan Soraf? InsyaAllah, saya akan terangkan di kesempatan seterusnya…

Hafaz Ayat bukan Perkataan

Assalamualaikum  sahabat sekalian,

Perkenalan di alam maya ini merupakan salah satu keajaiban sebenarnya. Tidak pernah dibayangkan oleh orang terdahulu tetapi mampu dicapai pada hari ini. Ayuh kita perluaskan legasi kita di alam maya ini.

Ok, saya ingin mencadangkan buat rakan-rakan maya saya yang hendak menguasai apa-apa bahasa dengan 7 Teknik Power Dan Terbukti Telah Berkesan. Kaedah ini hasil kajian daripada seorang pengkaji Bahasa Inggeris, A.J. Hoge (juga merupakan guru alam maya saya melaui satu kursus di websitenya). Pada pandangan saya, kaedah ini dapat dipraktikkan dalam semua bahasa dan semua bidang ilmu yang memerlukan proses ingatan yang cepat dan berkesan.

1) Hafaz Jumlah Ayat Yang Lengkap Dan Berkualiti Jangan Perkataan Semata-mata

Point saya di sini, kita mesti hafaz jumlah ayat yang sempurna. Kenapa? Sebabnya kaedah ini, mengikut kajian pakar adalah 4x lebih cepat dan berkesan untuk menguasai bahasa daripada menghafaz sepatah dan sepatah perkataan. Selain itu juga, kita juga dapat belajar tatabahasa dengan automatik, tanpa perlu membaca buku tatabahasa bagi sesuatu bahasa.

Kenapakah kaedah ni lebih cepat daripada menghafaz perkataan?

Saya bagi contoh, kalau kita menghafaz 1000 patah perkataan bagi menghadapi ujian bahasa , dapatkah kita menggunakannya 100% dalam ujian tersebut? Dan kalau kita menghafaz jumlah perkataan sebanyak 500 jumlah ayat yang sempurna, berapa peratuskah kita dapat mengingatinya semasa ujian?

Mengikut kajian, pelajar yang menguasai bahasa dengan menghafaz jumlah perkataan yang sempurna dapat mengingatinya dengan lebih baik walaupun hanya menghafaz 500 ayat sahaja berbanding pelajar yang lain yang menghafaz 1000 patah perkataan.

Sebagai contoh, apabila kita menghafaz sepatah perkataan, kita hanya mengingati sepatah perkataan dan mengetahui satu makna sahaja. Manakala, kalau kita menghafaz satu jumlah ayat yang lengkap dan sempurna maka kita telah mengingati tatabahasanya, kaedah penggunaannya serta maknanya yang sempurna. Jadi anda dapat 3 in 1. Hebat bukan?

Saya buat satu analogi mudah. Bayangkan anda pergi ke suatu rumah yang belum anda kenali. Kemudian, anda diarahkan pergi sekali lagi ke rumah tersebut. Bagaimanakah cara mengingatinya dengan cepat? Caranya lihatlah tanda-tanda yang paling mudah dikesan seperti masjid, pasar, stesen minyak dan lain-lain. Maka, anda akan mengecam dengan mudah tempat tersebut kerana terlalu banyak tanda yang anda hafaz bagi mengesan rumah tersebut berbanding hanya menghafaz warna rumah, jenis atap ataupun no lot rumah.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng ialah pemilihan ayat yang berkualiti. Kenapa? Kerana ia memberikan nilai tambah yang lebih kepada kita. Apabila menghafaz ayat seperti ini kita telah menguasai bahasa tersebut daripada permulaan hinggalah ke penghujungnya. Sebagai contoh, Bahasa Arab. Apabila anda menghafaz Bahasa Arab daripada syair-syair Arab yang lama dan mempunyai nilai yang tinggi maka anda telah menguasai bahasa yang susah, sederhana dan senang. Maka, anda telah menguasainya dengan sempurna.

Kesimpulannya, kita perlu menghafaz ayat yang sempurna dan berkualiti, bukan sebaliknya.

Setakat itu sahaja. Nantikan sambungannya!

 

 

Tip Kuasai Bahasa

Assalamualaikum w.b.t…

Kaifa al-ahwal ya ashabi? Moga-moga semuaya sihat walafiat…

Saya tertarik dengan permasalahan orang Malaysia menghadapi kesukaran dalam menguasai apa-apa bahasa selain Bahasa Melayu.

Namun, terdapat satu fakta yang menarik yang perlu kita kaji dan perhati iaitu orang Melayu adalah bangsa yang paling petah bercakap apa-apa bahasa dunia serta mempunyai rupa paras semua bangsa di dunia. Pernah tengok orang Melayu bercakap Bahasa Arab dengan baik? Pernah tengok orang Melayu berwajah orang Mat Saleh? Haa… mesti ada tengok kan! Itulah kelebihan orang Melayu.

Sebelum saya mengajukan tip-tip ini, saya ingin membuat pengakuan dulu bahawa saya bukanlah pakar apa-apa bahasa. Namun, pengalaman berkenala di negara Arab serta berguru dengan seorang pakar B.Inggeris, A.J. Hoge telah memberikan inspirasi kepada saya menjawab permasalahan ini.

Pengalaman bersama dengan orang Arab Maghribi adalah sesuatu yang menarik dalam hidup saya. Orang Arab Maghribi terkenal dengan kesopanan dan kesantunannya. Malah, jika dibandingkan dengan bangsa Arab di negara-negara lain, orang Arab Maghribi adalah yang terbaik samada daripada sudut layanannya mahupun rupa parasnya. Rupa paras? Ya, rupa paras! Pernah dengar bukan agensi yang menguruskan perkahwinan orang Malaysia dengan wanita Maghribi di dada akhbar Malaysia. Pastinya kerana kecantikan dan kesopanan serta layanan yang terbaik daripada orang Arab Maghribi.

Selain itu, orang Arab Maghribi terkenal dengan penguasaan bahasa yang banyak. Kebiasaannya mereka dapat bercakap Bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol, Bahasa Itali dan Bahasa Inggeris. Selain itu, mereka bertutur juga dengan gaya seumpama penutur bahasa-bahasa tersebut. Maka tidak hairanlah ramai para mahasiswa yang menuntut Bahasa Perancis dan Bahasa Inggeris di sini dengan menggunakan pensyarah daripada rakyat tempatan. Apakah rahsianya? Saya akan utarakan berdasarkan pemerhatian saya.

1) Orang Arab Maghribi ni memang kurang rasa malu dlm bercakap sebagaimana kita orang-orang Melayu, walaupun mereka tak tahu ataupun slang mereka bercakap tu tak sama macam org lain tetapi mereka cuba bercakap jugak…Jadi kesimpulan saya, kalau nak belajar bahasa, jgn malu utk praktis dan munaqasyah dgn kawan-kawan. Dan antara medan terbaik adalah melalui perkongsian macam ni.

2) Mereka suka bercakap dan suka bertanya tentang bahasa yg mereka nak kuasai itu.Mereka kalau bercakap, memang tak tahu nak berhenti, tahu-tahu dah Maghrib, kira terlajak excited laa tu.. Jadi sukakanlah diri utk bertanya dan bercakap.

3) Mereka sangat berminat dan menceriakan sesi belajar itu dgn perilaku yg menyeronokkan dan melucukan kita. Kalau diorang nak belajar sesuatu, pasti diorang nak jadikan sesi belajar itu ceria dan saling bantu membantu kalau ada yang salah. Jadi kesimpulannya, pastikan suasana belajar itu dalam keadaan ceria dan penuh persediaan dengan alat-alat bantu belajar, macam kamus dan lain-lain.

Dan tips yg terakhir, tak ada pada mereka, tapi ada pada kami pelajar-pelajar Maghribi iaitu belajar di bumi mereka. Itulah resepi paling cepat untuk menguasai bahasa yang tepat dan betul. Jadi, sesiapa yang hendak menguasai Bahasa Arab, maka datanglah ke bumi-bumi Arab, sesiapa yang hendak menguasai B.Inggeris, datanglah ke London atau Amerika Syarikat (mengikut mazhab bahasa) dan lain-lain. Malah, ada sesetengah universiti atau pusat bahasa yang menawarkan kursus bahasa secara intensif selama 3 bulan dan lebih. Ini adalah peluang keemasan bagi kita untuk menguasai bahasa tersebut. Namun, nasihat saya bagi memilih kursus bahasa yang terbaik adalah kursus bahasa yang menawarkan sijil dan peringkat-peringkat serta dalam tempoh yang lama iaitu setahun atau lebih. Kenapa? Kerana bahasa memerlukan kepada masa untuk menguasainya. Maka pengorbanan masa yang lama juga perlu bagi memastikan kita betul-betul mahir.

Sekadar itu sahaja buat kali ini. Nantikan sambungannya!