Bab Ketiga Cerpen Cinta Syurga

Bab Ketiga

Azam Yang Membara

            Pengenalan singkat aku dengan Fatin Alawiyyah pada minggu lepas cukup membekas di hatiku. Segalanya elok dan sempurna. “Diakah pemaisuri hatiku?” soalku pada hati. “Ya” jawab hatiku lagi dalam nada pasti. “Ya Allah, andainya dialah pemaisuri hatiku yang Engkau telah tetapkan, maka permudahkanlah urusan hambaMu ini untuk menyuntingnya pada waktu sesuai nanti” rayuku dalam nada ketakutan. Aku takut untuk jatuh cinta kerana ianya berat bagiku seorang pelajar.

Aku cuba melupakan sejenak azamku itu. Cuba melihat langit yang cerah kebiruan. Indahnya langit pada pagi hujung minggu itu. Pada semester kali ini, kami diberi cuti dua hari iaitu Sabtu dan Ahad serta belajar hanya 15 subjek. Ringan sedikit bebanannya berbanding semester pertama. Tempoh belajar bagi setiap subjek juga dikurangkan daripada 4 – 6 jam kepada 2 jam sahaja bagi setiap subjek.

Sistem pembelajaran di Maghribi memang sentiasa berubah. Semuanya berpandukan pentadbiran yang ada. Andainya datang pentadbiran yang baru, sistem yang baru akan diaplikasikan. Berbeza jauh dengan yang lalu. Namun, aku mengharapkan diriku mampu mengutip sebanyak mungkin mutiara ilmu yang ada di bumi Maghribi.

Aku tidak mahu terjebak dengan pemikiran Salafiyyah sehingga mengenepikan semua ulama’ yang tidak sealiran dengannya. Semua orang tidak betul melainkan dia sahaja. Aku juga tidak akan terjebak dengan fahaman persatuan yang paling utama dan pelajaran adalah kedua. Ini juga boleh melemahkan semangat pelajar untuk terus belajar. Semuanya penting dan perlu diutamakan.

“Bagaimana kalau kedua-duanya bertembung?” soalku pada suatu ketika kepada diri sendiri. “Aku melihat kepada kebaikan dan keburukannya. Jika hanya baik kepadaku dan memberi keburukan kepada orang lain, maka aku akan hindarkan terjadi keburukan kepada orang lain. Jika buruk kepada diriku dan baik untuk orang lain maka aku akan elakkan keburukan itu berlaku terhadap diriku. Namun, jika kedua-duanya mendapat keburukan maka aku akan elakkan keburukan menimpa orang lain kerana itu kemaslahatan umum berbanding kemaslahatan diri sendiri” putusku setelah merujuk kepada perbincangan ulama berkaitan pertembungan antara maslahah dan mafsadah.

……………..

Ya sidi Muhammad, arini malwi ma’a athai” pintaku pada Pak Cik Muhammad. Ini memang menu kegemaranku kalau berkunjung ke gerainya. Malwinya yang rangup dan tehnya yang lembut dan manis rasanya seakan-akan sudah sebati dengan jiwaku sebagai orang Kelantan. Orang Kelantan sememangnya suka kepada manis. Segala-galanya mesti manis. Minuman perlu manis, masakan juga mesti manis dan makanan-makanan segera juga manis.

Aku pernah mendengar rungutan penjual kedai runcit yang mengadu tidak laku makanan segeranya   disebabkan kurang manis. Seakan-akan manis itu suatu kemestian dalam hidup orang Kelantan.

Namun, aku perlu mengawal mengambil makanan yang manis. Aku tidak mahu ianya memberi kemudaratan bagiku. Aku mahu hidup sihat walafiat. Aku tidak mahu hidup yang bergantung dengan ubat-ubatan serta herba-herba tradisional demi mengubati penyakit-penyakit kronik. Umurku masih muda dan aku perlu menggunakannya untuk berbakti kepada masyarakat.

…………….

Dalam keheningan malam, aku merangka dan merancang perjalanan hidupku dalam masa 3 tahun akan datang. Aku perlu merancang untuk membolehkan aku menyunting Fatin Alawiyyah Al-Fasi. Aku perlu serius dengan azamku pada pagi tadi. Andainya aku ikhlas dalam menyatakannya, maka aku perlu merancang untuk hidup bersamanya.

Segala-galanya sudah dirangka. Aku letakkan perancanganku pada 3 fasa. Fasa pertama adalah fasa persediaan. Fasa kedua adalah fasa bertindak dan fasa ketiga adalah fasa impian. Fasa pertama, aku letakkan selama 2 tahun bermula daripada sekarang. Hujung semester kelima, aku akan berpindah ke fasa yang kedua iaitu fasa bertindak. Tempoh masanya adalah 5 bulan iaitu satu semester dan fasa yang terakhir adalah fasa impian iaitu fasa aku bersamanya sehingga ke akhir hayatku.

Aku hanya merangka fasa pertama dan kedua pada malam itu. Manakala, fasa ketiga aku tinggalkan buat seketika. “Masa masih panjang” ujarku dalam hati. Seterusnya, aku biarkan diriku mengelamun seketika. Setelah lama mengelamun, aku akhirnya terlena sambil diulit mimpi yang indah.

…………….

Pada pagi ahad itu, aku bangun agak awal. Azan Subuh belum berkumandang lagi. Aku mengambil kesempatan itu untuk berqiamullail. Aku solat tahajjud dan solat hajat. Kemudiannya di akhiri dengan solat witir.

Dalam solat hajatku, aku berdoa dengan doa yang panjang. Sambil itu, aku tidak lupa dengan doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. : (( Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu daripada segala kebaikan yang aku ketahui dan tidak aku ketahui pada saat ini dan pada saat mendatang dan aku berlindung kepadaMu daripada segala keburukan daripada perkara yang aku ketahui dan tidak aku ketahui pada saat ini atau pada saat mendatang)). Kemudian, aku teruskan doa “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”.

Sambil menunggu azan subuh dari Masjid Mustaqim berkumandang, aku bermuhasabah diri buat sejenak. Sudah agak lama aku tidak berqiamullail. Ketika di bangku sekolah dulu, aku senantiasa bangun berqiamullail bersama rakan-rakan di asrama. Kehidupan di asrama memudahkan aku untuk bangun berqiamullail. Warden akan datang mengejutkan kami daripada tidur yang lena setengah jam sebelum Solat Subuh. Kebiasaannya, aku bersegera ke masjid dan berqiamullail. Keberkatan di dalam qiamullail tidak aku lepaskan. Ianya pemberi kekuatan kepada diriku yang dahagakan ketenteraman hidup.

“Aku mesti lebih kerap berqiamullail selepas ini” azamku sambil mengenggam tanganku menjadi penumbuk. Azam ini akan aku cuba laksanakan. Ianya suatu kepuasan buatku. Tidak ramai yang mampu melakukannya dan orang yang melakukannya adalah orang yang terbaik.

“Allahu akbar, Allahu akbar” laungan azan berkumandang di sana sini. Sememangnya, bumi Maghribi subur dengan masjid-masjid. Di tempat aku tinggal, terdapat 4 masjid berdekatan. Hampir kesemuanya pada jarak yang sama. Kesemuanya mempunyai makmum yang banyak walaupun pada waktu Subuh. Berbeza sungguh dengan Malaysia. Walaupun masjidnya hanya satu dalam satu kawasan, itupun tidak mampu menghimpunkan Jemaah yang ramai. Semuanya lebih suka solat di rumah.

Aku bergegas keluar rumah untuk solat secara berjemaah di masjid. Aku memilih Masjid Bilal sebagai tempat bersolat pada pagi ini. Imamnya yang bersuara lunak dengan tajwidnya yang agak baik telah memikat hatiku untuk berjemaah di sana. Kadang-kadang, aku sering juga solat di Masjid Mustaqim dan masjid yang berdekatan dengan pasar.

………………..

Cerpen Cinta Syurga Bab Kedua

Bab Kedua

Puteri Idaman

Kedengaran bunyi yang bising di hujung meja. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin dekat. ” Isy, menganggu betul la. Nak tidur pun susah” rungutku dalam hati. Aku bangkit daripada tidur. Cuba mencari sumber bunyi tersebut. Rupa-rupanya bunyi jam loceng yang aku selalu gunakan untuk ke kelas. Jam telah menunjukkan pukul 7 pagi. Aku ada setengah jam sahaja untuk bersiap-siap untuk ke kelas dan bersarapan.

Pada musim bunga, para pelajar sangat suka tidur selepas subuh. Waktunya yang agak panjang menjadikan tidur pada waktu ini sangat enak. Aku juga tidak melepaskan peluang menikmatinya. Oleh itu, aku selalu mengunci jam apabila tidur selepas Subuh. Khuatir akan terlajak dan terlepas kelas.

Setelah bersarapan dengan meminum segelas air kosong, aku terus menggapai beg sandangku dan bergegas ke kelas. “Fuh, awal juga aku hari ini” aku menarik nafas lega. Sebelum keluar tadi, Ali dan Aiman baru sahaja keluar dari bilik mereka. Barangkali, mereka tidak mengunci jam.

Aku mengambil tempat duduk yang agak ke depan sedikit. Aku suka berada di depan kerana mudah untuk mendengar butir kata guru-guruku yang laju dalam berbahasa ini. Orang Arab Maghribi terkenal dengan lantang bercakap serta laju. Hal ini diakui sendiri oleh orang-orang Arab di Timur.

………….

“Profesor, bolehkah anda terangkan kepada kami tempat yang terbaik mempelajari Fikr Islamiy di dunia” tanya seorang pelajar perempuan Arab kepada penceramah jemputan pada petang itu. Penceramah jemputan itu adalah Profesor Abdullah Al-Ghumari. Ahli dalam bidang pemikiran Islam dan berkhidmat di serata dunia.

Pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang yang sama. Sekarang, beliau sedang berkhidmat di Amerika Syarikat dengan sebuah universiti terkemuka di sana.

“Wahai saudari, cuba perlahankan soalan saudari. Saya berasal dari Timur dan kamu berada di Barat” tegur Profesor Abdullah pelajar tersebut. Kepetahan serta bercakap dengan cepat sudah menjadi budaya biasa orang Maghribi. Semuanya, seakan-akan ingin segera. Bercakapnya segera, belajarnya segera dan tindak tanduk juga segera. Serba serbi ingin cepat.

……………

“Man. Man”. Sayup kedengaran, suara seseorang memanggil aku dari kejauhan. Aku berpaling. Kelihatan kelibat Ali dan Aiman sedang melambai-lambai tangan ke arahku. “Apa lagi yang mereka nak ni?” soalku dalam keletihan. Kelas pada hari ini sangat memenatkan. Seawal jam 8 pagi sehingga pukul 4 petang.

Aku berpatah balik dan menuju ke arah mereka berdua. “Ada ape ni?” soalku setelah berada di hadapan mereka.  “Kau nak kenal Fatin kan ?” soal Ali dengan senyumannya yang dibuat-buat. “Kau yang lebih-lebih, bukan aku” balas aku. “Okeylah. Aku nak perkenalkan dia kat kau, Man. Cuba kau perhatikan perempuan yang berjubah labuh tu. Jubah warna hitam tu” terang Ali kepadaku sambil menunjuk-nunjuk dengan jari telunjuknya. Aku mencari-cari perempuan yang dimaksudkan, namun aku gagal menemuinya. “Mana Li ? Diorang semua pakai jubah hitam dan semuanya labuh-labuh” balasku sambil tidak berpuas hati kerana ciri-ciri yang diberikan agak mengelirukanku.

“Kau carilah yang muda, cantik dan putih, itulah dia Fatin. Yang cantik kat situ ada sorang je” balas Ali. “Oh, yang tu ke. Yang tengah duduk tu ke ? Eh, dia pandang kat kitalah” aku cepat-cepat menjauhkan pandangan darinya, takut-takut diketahui kami mengintipnya. Kami semuanya tergelak.

…………….

Kejadian semalam telah menjadikanku lebih tertarik untuk mengenali perempuan yang bernama Fatin Alawiyyah Al-Fasi. Seorang perempuan yang kelihatan taat kepada Allah s.w.t. dari sudut pemakaiannya dan ceria dari sudut pergaulannya dengan rakan-rakannya yang lain.

“Moga-moga seorang perempuan solehah” dugaku di dalam hati. “Amiin” jawab hatiku. Ia yang menduga dan ia jugalah yang mengaminkannya. Pada pagi itu, aku berazam untuk mengamati perempuan itu dengan lebih teliti. Niatnya hanyalah satu. Andainya dia perempuan solehah, maka aku boleh berkira-kira untuk meminangnya pada suatu hari nanti.

Sebelum ni, aku marah kat Ali. Sekarang aku pula yang menggatal dan pikir pasal kahwin” gusar hatiku. “Biarlah, bukankah kita disuruh untuk mencari-cari pasangan daripada awal. Senang nanti pada masa depan” balas suara hati yang lain. Hatiku seolah-olah berperang sesama sendiri. Semuanya ingin memenangkan pendapat masing. Semuanya tidak mahu mengalah.

Sedang hatiku berperang sesama sendiri, maka muncullah Fatin Alawiyyah. Dia sedang menaiki tangga dan berjalan ke kelas yang berada di tingkat dua. Aku memerhatinya dari jauh. “Sopan santun orangnya” puji hatiku. Aku berlalu juga ke kelas yang sama. Aku dan Fatin Alawiyyah merupakan pelajar di bidang yang sama dan juga pada tahun yang sama. Namun, kerana dia seorang pendiam dan kurang berkongsi pandangan di dalam kelas menyebabkan kami tidak mengenalinya. Pelajar Arab terkenal dengan suka berkongsi pandangan di dalam kelas, samada lelaki mahupun perempuan.

“Alhamdulillah, faham juga aku apa yang syeikh cakap” ujarku dalam hati sambil menarik nafas lega. Sememangnya itulah masalah kami, pelajar yang tidak bertutur dalam bahasa Arab. Memahami sesuatu isi yang disampaikan oleh masyayikh dan asatizah merupakan sesuatu kepuasan yang tersendiri buatku. Aku baru sahaja selesai mempelajari Fiqh Ibadah yang disampaikan oleh Syeikh Said Al-Kamali. Ayatnya mudah dan senang difahami, tetapi memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam al-quran dan hadis.

……………..

Semasa menuruni anak-anak tangga, aku sekali lagi terpandang Fatin Alawiyyah dengan beberapa akhowat Malaysia. Lemah lembut dan ceria orangnya. Dia melayan soalan akhowat Malaysia dengan penuh ceria. Memang tidak dapat dinafikan, setiap bangsa mempunyai keegoan mereka masing-masing. Begitu juga pada orang Arab. Mereka akan kelihatan ego apabila kita menegur mereka di hadapan kawan-kawan mereka. Kadang-kadang dilayannya dengan tidak bersungguh-sungguh. Segala soalan kita dijawab ringkas-ringkas sahaja.

Sebaliknya kalau kita bertanya orang Arab secara berdua sahaja, pasti panjang berjela syarahannya. Namun lain dengan Fatin Alawiyyah. Walaupun dia dikerumuni oleh kawan-kawannya yang lain, dia tetap melayan soalan akhowat Malaysia itu . Ini menunjukkan budi pekertinya yang mulia dan penghormatan yang tinggi terhadap orang lain.

Segalanya baik dan indah pada Fatin Alawiyyah. Itulah pandanganku terhadapnya. “Moga-moga dia terus istiqamah dengan sikapnya yang mulia ini” doaku dalam hati.

Cerpen Cinta Syurga Bab Pertama

Bab Pertama

Sesi Pengajian Yang Baru

5 bulan kemudian

“Assalamualaikum Man” sapa Aiman yang baru melihat kelibatku di kampus pada pagi itu. “Waalaikumussalam, eh engkau Aiman” jawabku sedikit terkejut dengan kehadirannya itu. Aiman merupakan rakan sepengajianku di Bidang Pengajian Islam. Seangkatan dengan kami beberapa pelajar yang lain yang jumlahnya 10 orang. Semuanya datang daripada negeri yang berbeza-beza. Aiman berasal dari Negeri Sembilan. Seorang yang ceria dan peramah. Aku suka dengan perangainya itu.

“Macam mana Man, sudah tasjil dah?” tanya Aiman kepadaku. “Belum lagi Aiman. Syarifah tu asyik takde je kat pejabat. Asyik aku datang je, mesti dia takde. Makan gaji buta » rungutku sambil mendengus. Syarifah merupakan pegawai yang menjaga kaunter di pejabat kampus. Segala urusan pelajar yang berkaitan dengan pendaftaran mesti melaluinya.

« Biasalah orang Arab » Aiman mengangkat kedua-dua belah tangannya sedikit. Aku tersenyum melihat reaksinya itu. Kami beredar ke dalam kampus. Sebentar lagi, pelajaran usul fiqh akan bermula. Pelajaran pertama pada semester kedua ini.

Sambil berjalan ke kelas, aku mengelamun seketika. Aku mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku di semester pertama. Semuanya pahit. Semuanya berliku-liku. 17 subjek dalam satu semester merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Seawal jam 7.30 pagi, aku sudah mula melangkah ke university dan pulang sebelum maghrib. Itulah rutinku setiap hari kecuali hari Ahad. Kepenatan dan kelelahan sudah menjadi asam garam dalam hidupku di semester pertama.

Pelajar-pelajar Arab, ramai yang memberontak dengan sistem baru ini. Semuanya tidak mampu. Ada di kalangan mereka yang tinggal jauh di pendalaman. Setiap hari menunggu seawall jam 6.30 pagi bagi mendapatkan bas untuk datang ke kampus. Apabila pulang. Mereka sekali lagi terpaksa menunggu hamper satu jam untuk mendapatkan bas. Aku kasihan melihat nasib mereka.

…………..

« Man, kau tak berkenan dengan perempuan Arab ? » duga Ahmad Ali. Ali juga sama denganku dalam bidang dan tahun pengajian. Dia berasal dari Negeri Perlis. Suka menyakat orang dan bergurau.

“Isyh, kau ni Li. Belum habis belajar lagi dah fikir pasal perempuan” jawabku dengan tegas. “Cuba kau piker, kalau kau mabuk cinta sekarang, apa nasib kau 2 tahun lagi? Boleh ke kau habis mengaji?” soalku kepada Ali. Ali kaget dengan soalanku. Aku tahu Ali suka bergurau tetapi aku tidak mahu dia meracuni diriku yang sedang berkobar-kobar untuk belajar. “Alah, kau ni man. Aku just tanye je. Mana tahu, kau dah mula jatuh hati kat aweks-aweks sini” Ali masih lagi cuba mengumpan aku.

“Sudahlah Ali, aku tak nak dengar la pasal perempuan sekarang ni. Yang penting, belajar dulu sampai habis. Lepas tu, ikut suka hati kaulah nak cakap pasal kawin dengan Arab ke, Minah Indon ke. Masa tu baru kena masanya” balasku dengan nada serius.

“Okeylah.Okeylah. Aku tahu” akhirnya Ali mengalah jua. Itulah perangai Ali. Suka menguji dan menyakat orang. Kadang-kadang, aku perlu tegas dengannya. Kadang-kadang, aku melayan juga gurauannya.

Masa rehat kami sudah habis. Kami melangkah menuju ke kelas sekali lagi. Subjek Bahasa Inggeris pula selepas ini. Subjek yang menjadi tumpuan kami pelajar Malaysia. Biasanya, kami boleh score tinggi untuk subjek ini.

……………

“Man, kau tak nak keluar minum ‘asir tak?” tanya Aiman. “Eh, boleh jugak tu” aku memberi persetujuan. « Kat mana tu ? » tanyaku untuk mendapat kepastian. « Kedai Pak Cik Salafi la » kata Aiman sambil mengenyitkan matanya yang bulat itu. « Setuju, Aiman » kataku sambil menunjukkan ibu jariku.

………….

Malam itu adalah malam yang penuh dengan sinar cahaya di langit. Segala-galanya bercahaya. Bulan bercahaya penuh, bintang-bintang bekerdipan dan kelihatan pancaran cahaya bersilang-silang di hujung sana. Barangkali datangnya dari pesta hiburan atau promosi jualan. Malam itu juga penuh dengan orang ramai berjalan menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang berjalabah dan berketayap, ada yang berpakaian kemeja serta bertali leher dan ada pula yang hanya berpada dengan seluar pendek paras lutut dan memakai singlet .

Kami telah sampai ke kedai Pak Cik Abdul Rahman. Pak Cik Salafi yang dimaksudkan oleh Aiman. Pak Cik Abdul Rahman digelar Salafi kerana ciri-ciri pemakaiannya serta jambangnya yang panjang. Selain itu, beliau selalu menasihati kami agar selalu berpegang dengan manhaj Salafussoleh. Aku tidaklah terlalu mengenalinya kerana diriku yang tidak suka makan di kedai. Aku lebih selesa makan makanan yang dimasak di rumah. Paling kurang, aku membeli roti di kedai dan makannya di rumah dengan secawan air teh panas.

“ Kau tahu tak, time balik tadi, aku terserempak dengan Fatin” Ali membuka cerita pada malam yang ceria itu. “Fatin mana ni?” tanya Aiman, inginkan kepastian. “Ala kau ni, buat-buat tak tahu pulak. Kan dia baik dengan akhowat kita tu” Ali cuba memberikan tanda sedikit agar kami mengetahui siapa gerangannya. “Fatin Alawiyyah ke?” teka Aiman. “That’s it” jawab Aiman. Mereka berdua berpaling kepadaku yang daripada tadi asyik mendengar perbualan mereka. Ali sudah tahu kedudukan aku dalam hal ini. Mungkin Aiman tidak tahu.

“Man, kau kenal tak?” tanya Aiman kepadaku. “Entah, aku takde pulak datang sini cari perempuan” balas aku sambil memerli mereka. “Apa la kau ni Man, tak open minded langsung la” tuduh Ali. “Sekali sekala kenalah cari pasangan. Asyik belajar je tiap masa. Mana nak berkembang » hasut Ali agar melayan ceritanya. « Okeylah, aku tak kenal » balas aku sambil mengalah.

Sebenarnya, aku tidak mahu terjebak dengan perasaan cinta ini. Walaupun tidak pernah jatuh cinta, namun aku tahu bahawa ianya berat untuk ditanggung jika berada di peringkat belajar. Mahu diuruskan perasaan cinta dan dalam masa yang sama perlu menguruskan diri untuk belajar. Aku tidak mampu sebenarnya untuk menghadapi dua situasi yang berbeza ini. Satu situasi menyebabkan kita alpa dan leka daripada dunia realiti. Asyik mengelamun mengingatkan si dia. Satu situasi lagi menyebabkan kita perlu berpenat lelah mengulangkaji pelajaran siang dan malam.

“Aku tadi sempat bercakap dengan dia” sambung Ali dengan ceritanya yang tergendala disebabkan sikap aku yang suka memprotesnya bila berbicara tentang perempuan. “Biar betul Li?” kami terkejut dengan ceritanya. Perempuan Arab Maghribi memang terkenal ramah dan sopan santun serta mudah diajak berbual. Apa yang peliknya ialah perempuan yang Ali maksudkan adalah golongan perempuan yang kurang melayan lelaki iaitu perempuan Salafiyyah. Mereka ini selalu tunduk ketika berjalan dan menjauhkan diri daripada lelaki.

« Betul la » tegas Ali. « Aku tanya dia tadi pasal latar belakang dia. Dia cerita semua kat aku. Dia sekolah kat mana, rumahnya kat mana » cerita Ali panjang lebar. “Pergh, powerlah kau Li, boleh cairkan hati seorang perempuan Salafiyyah Arab” puji Aiman. Kami ketawa terbahak-bahak.

Setelah agak lama berbual, Pak Cik Abdul Rahman datang membawa 3 cawan ‘asir. Aku menempah ‘asir mauz, Ali pula menempah ‘asir lavoca dan Aiman menempah ‘asir tuffah. “Bissihah” Pak Cik Abdul Rahman mempersilakan kami untuk minum. “ Allahu yu’tika sihhah” balas kami serentak.

“Aku akan tunjukkan Fatin kat kau Man, esok” janji Ali kepadaku. “Buat ape?” aku kehairanan melihat kesungguhan Ali untuk menunjukkan Fatin Alawiyyah kepadaku. “Nanti kau tahulah, siapa dia. Takdelah lepas ni, bila aku cerita tentang Fatin, kau jadi tukang dengar je. Paling kurang, kau boleh bagi pendapat ke » jelas Ali. « Terpulang kat kau la Li » aku mengalah sekali lagi. Semakin aku membantah semakin panjang celotehnya. Mengalah adalah jalan terbaik untuk tidak mendengar celotehnya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku berdiam diri. Aku tertanya-tanya, siapakah gerangannya Fatin Alawiyyah ini. Hebat sangatkah rupanya sampai memikat hati Ali untuk mendekatinya dan berbual dengannya. Aiman juga tertarik dengan cerita Ali. Pasti, Aiman juga menaruh minat yang sama seperti Ali.

“ Ya Allah, jauhkanlah aku daripada fitnah wanita dan dajjal” rayuku kepada Ilahi. Pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini berlaku disebabkan perempuan. Pertumpahan darah yang aku maksudkan adalah antara Qabil dan Habil. Allah s.w.t. telah merekodkan kisah ini di dalam al-quran. Baginda Rasulullah s.a.w. juga pernah memohon perlindungan daripada fitnah perempuan.

Pendahuluan Cerpen Cinta Syurga

Assalamualaikum w.b.t…

Sebagaimana saya janjikan semalam, saya akan memulakan penulisan cerpen secara berepisod atau berbab. Maka, inilah ceritanya…

“Subhanallah, cantiknya pemandangan di sini!” detik hatiku. Pemandangan bukit bukau yang dipenuhi dengan tanaman yang menghijau, menjadikan dataran di sebelahku sangat cantik. Kelihatan beberapa ekor kambing dan himar sedang leka memakan rumput dan makanan yang disediakan oleh tuannya. Di tengahnya terdapat sebuah rumah yang kelihatan ada kelibat seseorang di dalamnya. “Mungkin tuannya kot!” teka hatiku.

Kereta api terus meluncur laju di atas landasannya. Binaan dalaman kereta api ini sangat menakjubkan. Kekemasan, keselesaan dan kebersihan seolah-olah sudah menjadi tema rasmi bagi syarikat kereta api ini. Kereta api ini dikendalikan oleh syarikat Office National des Chemins de Fer du Maroc (ONCFM).

Syarikat ini ditubuhkan pada 1 Januari 1963 dan merupakan satu-satunya syarikat pengendali kereta api di Maghribi. Perjalanan selama satu jam setengah itu sangat menyeronokkan. Pengalaman mengembara di negeri orang merupakan salah satu impian seorang remaja seperti aku. Bumi Maghribi kaya dengan cinta terhadap Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Negara ini dibina di atas cinta rakyatnya terhadap baginda. Ia dimulakan dengan penerimaan masyarakat Barbar terhadap keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin mereka sehingga ke hari ini. Ulama-ulama Maghribi juga memainkan peranan besar dalam menjaga ‘wasiat’ dan ajaran Rasulullah s.a.w.

“Aku mesti kuasai ilmu hadis” azamku. Membaca sejarah Bumi Maghribi membuatkan cintaku terhadapnya terus berkobar-kobar. Tiada lagi perasaan menyesal atau bersalah kerana menolak tawaran sebuah universiti terkemuka di negaraku. Penolakanku kerana mencari yang lebih baik.

Masih ku ingat kata-kata ayahku. “Abang tolak mentah-mentah tawaran tu? Bukan senang nak dapat tawaran macam tu. Diorang bagi tempat tinggal, wang saku dan makan minum” rungut ayahku dalam nada yang tinggi. Perasaan marahnya membuak-buak kerana perbuatan aku, anaknya. Aku terkedu. Senyap sepi. “Abah, abang tak nak belajar di Malaysia. Abang nak belajar di oversea. Abang nak cari pengalaman” ujarku. Aku tahu abah seorang yang pemarah tetapi lembut hatinya jika kena dengan caranya. “Siapa yang nak tanggung abang nanti? Abah bukan bergaji besar pun” rungut ayahku lagi sambil mengusap-usap kepalanya yang semakin botak.

“Abang janji, abang akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Segala penat lelah abah, abang tak kan sia-siakan” azamku pada abah. Abah mula tersenyum dan percaya dengan kata-kataku. Perbincangan di petang hari itu membuatkan aku sentiasa ingat akan ikrarku pada abah. Insan yang telah banyak berjasa kepadaku. Aku bersyukur mempunyai ayah sepertinya. Tidak pernah jemu menasihati anak-anaknya. Seorang yang ceria dan lemah lembut tetapi mudah naik angin apabila perkara dikehendakinya tidak tercapai.

…………..

“Jom, Azman! Kita dah sampai.” Muizuddin menegurku yang masih mengelamun. Aku terpinga-pinga. Mula mengangkat beg yang besar dan memberikan satu beg yang agak kecil kepada Muizuddin. Orang ramai berebut-rebut keluar daripada kereta api. Di depan pintu kereta api, berpuluh-puluh orang sedang menunggu dengan tidak sabar untuk menaiki kereta api. Suasana menjadi hiruk pikuk. Suara jeritan kanak-kanak, salakan anjing dan teriakan pegawai yang menjaga landasan kereta api menambahkan suasana lebih riuh.

“Kat sini memang macam ni” jelas Muizuddin setelah melihat kehairananku dengan suasana yang riuh rendah itu. “Tapi kamu kena berhati-hati. Penyeluk saku ramai di sini. Abang pun pernah kena masa tahun satu” nasihat seniorku itu. Aku mula meraba-raba dompetku. Huh, selamat ! Masih di tempat asal.

“Teksi ? Teksi ? ” tanya pemandu-pemandu teksi kepada orang ramai yang keluar dari stesen kereta api. Semuanya berebut-rebut mencari pelanggan. Kami juga menjadi tumpuan mereka. Beg-beg yang banyak yang aku bawa lebih menarik minat mereka kerana cajnya lebih daripada orang biasa. Caj bagi barang-barang adalah 5 dirham. Ini adalah caj tambahan kepada pelanggan yang membawa beg-beg besar.

Kami cuba menghindari daripada dikerumuni oleh pemandu-pemandu teksi itu. Kami perlu berhati-hati dengan tipu daya mereka. Kadang-kadang mereka sudah meletakkan harga yang tetap walaupun mengikut undang-undang, mereka perlu menggunakan meter. Harga yang diletakkan jauh lebih tinggi daripada harga biasa.

Setelah berjalan seketika, keluar daripada stesen kereta api, Muizuddin mula berhenti bagi menahan teksi. Kelihatan sebuah teksi sedang meluncur laju ke arah kami dan berhenti tepat di hadapanku. “Assalamualaikum ya sidi. Mumkin ila Bouhlal?” soal Muizuddin dalam Bahasa Darijah Maghribi. “Marhaban bik!” balas pemandu teksi dengan tersenyum lebar.

Cerpen Cinta Syurga

Assalamualaikum w.b.t…

Pada hari ini, saya akan memulakan satu lagi langkah dalam bidang penulisan dengan berjinak-jinak dalam penulisan cerpen. Diharapkan cerpen ini dapat membantu serta memberi sedikit nasihat buat rakan-rakan pembaca dalam melayari dunia yang mencabar ini.

Cinta merupakan suatu perasaan yang datang melalui hati. Ianya kadang-kadang diungkapkan dengan bahasa yang indah dan kadang-kadang diungkapkan dengan bahasa yang keji dan duka. Tersimpan pada cinta kebaikan dan keburukan, kemuliaan dan kehinaan serta  kemanisan dan kepahitan.

Namun, panduan Ilahilah yang bakal menyelamatkan kita daripada arus cinta yang merosakkan akal daripada berfikir. Kalam Ilahi dapat memberikan kita panduan dalam menghadapai gejolak cinta buta di peringkat mabuk cinta.

Di sini, saya cuba ingin memberikan nasihat tentang bagaimana menguruskan cinta agar ianya selamat menjadi cinta yang hakiki yang membawa kita dan pasangan ke syurga Allah. Inilah sebabnya saya memilih tajuk, Cinta Syurga. Cinta yang dipandu dengan baik bakal dibalas dengan Syurga Allah s.w.t.

Sebelum saya memulakan cerita ini, saya ingin menegaskan bahawa cerita ini tidak bertujuan untuk membuka aib sesiapa atau mempromosikan cinta sebelum berkahwin sebaliknya ia bertujuan untuk membantu dan menasihatkan pembaca yang terperangkap dengan cinta atau kawan-kawan kalian agar menghadapinya dengan penuh rasional. Jangan biarkan diri anda dirosakkan dengan perasaan dan keinginan nafsu.

Sudah sekian lama, saya ingin menulis kisah ini bagi membantu rakan-rakan yang terperangkap dengan cinta agar waras menghadapinya. Cinta sebelum kahwin adalah suatu ujian daripada Allah s.w.t. kepada hambaNya untuk mengetahui ketahanan seorang Muslim dan cinta selepas kahwin adalah nikmat yang diberikan kepada pasangan yang melepasi tempoh perjuangan untuk membina rumah tangga.

Cerpen ini saya tidak merangkanya secara sempurna lagi maka saya belum dapat pastikan berapa pecahan yang akan saya ceritakan dalam cerpen ini. Saya ingin menulisnya mengikut imaginasi dan pengajaran yang saya ingin saya ketengahkan dalam sesuatu pecahan.

Akhirnya, pesanan saya kepada orang yang mabuk cinta atau sedang menuju kea rah itu: “pandanglah cinta dengan pandangan yang dipandu oleh akal yang waras serta panduan-panduan Allah s.w.t. dalam al-qurannya dan NabiNya dalam hadis-hadis”.

Ar-Razi,

Teratak Nasyatilla, Fes.

Tips Menulis Artikel Dengan Pantas

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar rakan-rakan pembaca? Moga-moga Allah s.w.t. memberikan kesihatan yang baik dan kekuatan dalam melakukan urusan kalian.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi Tips Menulis Artikel Dengan Pantas. Dalam banyak artikel yang dikongsi di blog ini, kebanyakannya saya menulis dengan sesegera yang mungkin. Malah, kadang-kadang saya dapat menyiapkan 3 artikel dalam masa satu jam. Ini bukan bermaksud saya ingin membesar-besarkan kelebihan yang Allah s.w.t. berikan ini sebaliknya, saya ingin berkongsi petua dan tips supaya kita dapat menulis dengan cepat dan pantas. Sebelum itu, saya ingin berkongsi beberapa mitos yang seringkali diungkapkan oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak layak menjadi penulis.

Apakah mitos yang menyebabkan kita tidak mampu menulis dengan cepat dan pantas?

1.Saya tidak mempunyai idea.

2.Saya perlu membaca banyak buku barulah saya boleh menulis.

3.Saya takut dimarahi oleh pembaca kalau saya salah.

4.Bahasa saya lemah dan tiada kemahiran dalam menulis artikel.

Dan banyak lagi mitos-mitos yang lain.

Jawapan saya kepada mitos-mitos ini.

1.Setiap orang mempunyai idea. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah lihat sesuatu peristiwa atau permasalahan dan mulakan menulis.

2.Tidak semua artikel memerlukan pembacaan yang banyak. Artikel bukan kajian semata-mata, malahan merangkumi pelbagai jenis seperti artikel berkenaan pandangan peribadi, kritikan terhadapa sesuatu tindakan dll. Anda boleh memilih untuk menulis artikel dalam apa bentuk yang dikehendaki.

3.Menulis artikel adalah suatu proses pembelajaran. Apabila anda belajar sesuatu perkara maka anda tidak perlu takut untuk dimarahi sebaliknya mengambilnya sebagai proses perkembangan diri. Semakin banyak anda dikritik semakin banyak anda belajar. Maka, bukalah ruang untuk diri anda dikritik.

4.Bahasa yang lemah dan tiadanya bakat menulis. Jika anda tidak pernah menulis maka kata-kata ini benar, tetapi jika anda seorang yang pernah melalui sistem persekolahan dan peperiksaan, maka kata-kata ini tidak benar. Setiap orang mempunyai kekuatan masing-masing dalam bahasa dan mempunyai bakat untuk menulis. Apa yang penting adalah mengasahnya agar menjadi satu kelebihan dan alat berkongsi ilmu. Dalam penulisan artikel tidak memerlukan bahasa sastera atau bahasa falsafah yang tinggi. Cukup dengan bahasa yang boleh menggambarkan idea kalian.

Tips Menulis Dengan Pantas

1.Cari masalah. Melalui masalah akan melahirkan banyak idea. Masalah yang saya maksudkan di sini ialah masalah yang dihadapi oleh masyarakat samada masalah dalam diri mereka atau masalah yang berada di sekitar mereka. Jadikan diri anda pendengar dan penyelesai kepada masalah orang ramai. Antara teknik saya mencari masalah adalah dengan selalu berkunjung ke laman-laman blogger terkenal serta surat-surat khabar tempatan. Selain itu, perbincangan dengan kawan-kawan juga dapat melahirkan idea yang banyak.

2.Buat sedikit rujukan. Membuat sedikit rujukan amat penting kerana artikel yang tiada rujukan hanyalah seperti usaha melepaskan batuk di tepi tangga. Ianya hanyalah usaha yang sia-sia. Kita perlu membuat rujukan bagi membolehkan kita mengetahui serba sedikit tentang pandangan orang lain tentang masalah tersebut. Rujukan terbaik adalah mengambil pandangan mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Kalau dalam masalah politik maka rujukan kita perlulah bersumberkan ahli politik bukan ahli agamawan.

3.Setiap perenggan, satu isi. Pastikan setiap perenggan ditulis dengan isi bukannya kata-kata yang kosong. Dan kaitkan setiap isi itu dengan fakta-fakta yang ada serta pencerahan-pencerahan yang perlu.

4.Biar ringkas dan padat. Ini juga merupakan elemen penting dalam penulisan. Ringkas perkataan tetapi menggambarkan makna yang jelas dan maksud yang tepat. Jangan anda menulis dengan berjela-jela tetapi maklumatnya hanyalah beberapa kerat sahaja. Satu artikel tidak memerlukan 2-3 muka surat barulah dipanggil artikel malah separuh muka surat sudah cukup untuk digelar artikel jika mampu memberi maklumat.

5.Biarkan pena yang berbicara. Pada hari ini, pena adalah pedang yang lebih tajam dan berkesan daripada kata-kata. Zahirkan pandangan anda dengan menulis. Tulislah di blog sendiri atau blog-blog yang rasmi agar anda dapat menyatakan pendirian anda serta jalan penyelesaian yang anda harapkan.

6.Letakkan had serta matlamat yang ingin dicapai. Tidak perlu terlalu idealistik dalam melakukan langkah ini. Ambilnya secara mudah sahaja. Berhenti sejenak dan fikirkan, apakah matlamat yang aku ingin capai dalam menulis ini? Berapa patah perkataan yang aku ingin tulis? Apa yang sebenarnya yang pembaca inginkan? Soalan-soalan seperti ini sebenarnya memberikan gambaran kepada kita tentang artikel yang bakal kita tulis nanti agar kita tidak berhenti setengah jalan kerana menganggapnya ia tidak cukup membantu dan kaya dengan maklumat.

7.Buat kesimpulan. Artikel yang tiada kesimpulan adalah seperti membuat rumah tanpa pintu. Pembaca mengetahui masalah tetapi mereka tidak mengetahui apakah kedudukan anda dalam masalah tersebut. Maka, simpulkanlah artikel anda di hujungnya dengan pendirian anda. Barangkali, artikel anda panjang dan menyukarkan pembaca untuk membacanya sehingga habis maka pembaca tetap mengetahui pendirian anda setelah membaca kesimpulan.

Setakat itu sahaja perkongsian saya, semoga para pembaca dapat menjadi seorang penulis yang baik. Zahirkan idea-idea anda, mungkin salah satu daripadanya dapat menyelesaikan masalah jutaan manusia di luar sana.

Ar-Razi,

Teratak Nasyatilla, Fes.

Filem Pendek Semanis Buah Tin

Assalamualaikum w.b.t.

Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini, saya akan menulis sedikit komentar tentang filem pendek ini.

Sebelum itu, jom kita layan cerita ini dahulu.

Filem pendek ini dihasilakn sempena program Sentap 2012. Saya selaku pengarah filem pendek ini cuba memikirkan idea yang simple demi menghasilkan satu kritikan sosial terutama yang berkaitan dengan pelajar. Masalah kewangan dan ukhuwwah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kamus seorang pelajar. Oleh itu, pihak kerajaan mahupun ibu bapa perlu memikirkan soal ini sebelum memasukkan anak-anak ke pusat pengajian.

Mengikut pengalaman saya, para pelajar yang kekurangan dari sudut kewangan agak sukar untuk berjaya daripada mereka yang mempunyai ekonomi yang kukuh. Para ulama juga berpesan kepada penuntut ilmu supaya menyediakan wang perbelanjaan yang cukup untuk belajar. Belajar sambil bekerja bukanlah pilihan yang terbaik bagi seorang pelajar.

Oleh itu, saya berharap institusi-institusi yang berkewajipan haruslah membantu para pelajar dan penuntut ilmu dalam kembara mereka bagi menuntut ilmu.

Selain itu, saya juga menekankan suasana realiti dan tradisional dalam filem pendek ini. Skrip yang diolah oleh para pelakon sendiri tanpa menghafalnya serta penggunaan pakaian tradisional serta bahasa Melayu yang pelbagai loghat memaparkan identiti kita sebagai Bangsa Melayu. Hal ini kerana saya ingin menarik orang Melayu untuk menonton filem pendek ini. Maka, saya perlulah menggunakan objek-objek yang ada kaitan dengan Bangsa Melayu.

Selain tujuan untuk memberikan kritikan sosial dan mesej kepada pihak yang berkenaan, saya juga bercadang untuk memperkayakan sumbangan orang Melayu kepada masyarakat dunia. Sebagaimana yang dimaklumi, medium you tube merupakan medium antarabangsa dan boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat dan bangsa.

Akhir sekali saya berharap dengan sedikit usaha ini dapat memberikan sedikit kesedaran buat kita demi kehidupan yang lebih bersinar di masa mendatang.

Teaser Semanis Buah Tin

Assalamualaikum w.b.t…

Apa khabar para pembaca blog saya? Moga-moga dalam keadan sihat sejahtera.

Pada hari ini, saya akan memulakan satu lagi langkah dalam berkarya. Karya dalam filem pendek. Tajuknya adalah “Semanis Buah Tin”.  Alhamdulillah, dengan segala penat lelah, akhirnya semalam saya telah siap membuat skrip dan membentangkannya di depan para pelakon.

Terima kasih, buat para pelakon yang memberikan komitmen yang besar dalam menjayakan filem yang ringkas ini dan diharapkan membawa mesej yang padat dan tepat dengan situasi seorang pelajar.

Point saya dalam filem pendek ini lebih berkisar kepada ikatan persahabatan dan kewangan yang stabil bagi pelajar.

Sebenarnya, saya mempunyai banyak benda yang ingin dikongsikan berkenaan cerita pendek ini. InsyaAllah, jika siap filem pendek ini, saya akan buat sedikit ulasan mengenainya beserta videonya sekali. Sabar ye.

Di sini, saya lampirkan barisan pelakon dan penggerak dalam filem pendek ini.

Jumpa lagi.