Ulama Perlu Ada Jati Diri

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah diucapkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan ruang dan peluang berjumpa dan menuntut dengan ilmuwan-ilmuwan besar dalam bidang fiqh secara umum samada meliputi bidang qawaid fiqhiyyah, maqasid syariah dan bidang-bidang ilmu pelengkap kepada ilmu-ilmu ini.

Bukanlah darjat saya selaku pelajar untuk menegur dan jauh sekali untuk mengkritik para ulama samada pada sahsiah mahupun gerak kerja mereka. Namun, saya berpegang pada prinsip bahawa setiap ulama bukan ma’sum (terpelihara daripada dosa-dosa), maka saya memberanikan diri untuk mengutarakan pandangan yang kerdil ini.

Dalam pandangan ini, saya tidak akan menyebut nama-nama ulama sebaliknya saya menyebutnya secara umum bagi mengelakkan isu-isu berbangkit hasil daripada pemerhatian yang ‘kurang’ dan bukan pemerhatian yang sempurna. Pandangan ini juga hanyalah terpakai di seantero negara Islam.

Ulama perlu ada jati diri.

Memang benar, ulama terbahagi kepada banyak kelompok. Namun, secara umumnya, saya membahagikan kepada 2 kelompok besar dan jelas iaitu sekelompok ulama yang berada di pihak institusi samada kerajaan, institusi pengajian, ataupun institusi kewangan dan sekelompok ulama yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan bercakap berlandaskan fakta-fakta ilmiyah. Golongan pertama, jumlahnya banyak dan golongan kedua, jumlahnya sedikit.

Jika dilihat dengan teliti, kedua-dua kelompok ini memainkan peranan penting dalam mengorak sesebuah masyarakat. Kedua-duanya ada peranan dan tugas masing-masing. Dan kedua-duanya mengimbangkan keadaan masyarakat serta mententeramkan mereka. Saya bersetuju jika ulama tidak semuanya berada di dalam institusi dan mereka memainkan peranan masing-masing dalam lapangan mereka. Jika, ada mana-mana institusi terutamanya yang melibatkan hal urusan orang Islam tiada ilmuwan maka hancur berkecailah urusan tersebut diurus dengan tidak amanah dan tidak bijaksana. Oleh itu, kehadiran ilmuwan dalam mana-mana institusi yang berpotensi ke arah perkembangan yang baik adalah patut diberi sokongan. Namun, kehadiran ilmuwan ini perlu disertakan dengan jati diri dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyampai agama Allah s.w.t. kepada orang-orang yang jahil.

“Dan tidak sepatutnya semua orang mukmin pergi berperang, maka mengapa  tidak sebahagian golongan mereka pergi memperdalam agama mereka dan memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka pulang (daripada berperang) kepada mereka agar mereka dapat menjaga dirinya.”  (At-Taubah: 122)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa tugas orang berilmu adalah memberi peringatan kepada manusia agar manusia ini mengetahui hukum hakam dan sempadan kepada syariat Islam. Bukan ulama menjadi pembodek dan pengampu kerajaan ataupun institusi-institusi yang ada. Kita jelas dengan tegahan tegas oleh Allah s.w.t. terhadap ulama’ su’ atau ulama ‘dunia’ ini. Terdapat banyak hadis yang mengkisahkan tentang hal ini. Boleh rujuk kitab Kanzu Ummal oleh ‘Ala’u Din Ali Bin Hisamuddin.

Malah disebut dalam hadis Nabi s.a.w. oleh Abu Nu’aim dalam kitabnya Hilyah dan juga Al-Khatib yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“”تناصحوا في العلم، ولا يكتم بعضكم بعضا فإن خيانة في العلم أشد من خيانة في المال”

Maksudnya:

“Saling menasihatilah kamu dalam ilmu, dan janganlah berdiam diri sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain maka sesungguhnya khianat pada ilmu lebih berat daripada khianat pada harta”.

Di sini, Rasulullah s.a.w. telah membuat perbandingan antara orang yang mengkhianati harta orang awam samada dengan mengambilnya secara terang-terangan mahupun secara sembunyi dengan ulama yang berdiam diri maka ulama tersebut lebih besar pengkhianatannya di sisi Islam.

Oleh itu, saya berpesan kepada guru-guru dan ulama seantero dunia agar bersikap teguh dengan pendirian Islam dalam apa keadaan sekalipun. Bersifat adillah kepada kawan dan lawan agar ulama disanjung dan disebut-sebut dengan kebenarannya dan keberaniannya bukan dengan ketamakannya terhadap dunia, pangkat dan harta serta kecenderungannya kepada mana-mana pihak dalam mengeluarkan fatwa, pandangan dan hukum.

Di sini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada ulama yang berjaya berdiri dengan teguh tanpa berpihak kepada mana-mana institusi dan mampu menyuarakan pandangannya sama seperti mereka yang berada di institusi-institusi ini bagi mengimbangi ulama ‘dunia’ yang saya sebutkan tadi. Keberanian dan keteguhan ulama seperti ini banyak memberikan kebaikan kepada umat Islam. Lihatlah kepada sejarah! Siapakah yang banyak berjasa kepada Islam dalam menyumbangkan seluruh tenaga mereka untuk Islam? Kebanyakannya adalah pihak yang bebas tanpa terikat dengan mana-mana institusi. Pandangan mereka seringkali tajam tetapi ikhlas dan jujur dalam menasihati manusia.

Oleh itu, saya berpandangan umat Islam perlu membantu ulama-ulama sebegini dari sudut kewangan dan tenaga supaya mereka terus bertahan dengan ‘kemerdekaannya’ dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada manusia.

Akhirnya, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi yang telah mempertemukan saya dengan insan-insan yang baik akhlaknya dan amalannya dan mereka yang saya maksudkan adalah ulama dan penuntut ilmu yang ikhlas dalam kembara mereka yang panjang.

Wallahu a’lam bissowab.

Ar-Razi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s