Kembara Ke Andalusia

Assalamualikum w.b.t…
Kali ini saya ingin berkongsi catatan pengembaraan ke Selatan Spain iaitu tinggalan bersejarah Tamadun Islam Di Eropah. Pengembaraan ini dilalui oleh sekumpulan mahasiswa di Maghribi. Buat masa ini, saya ‘copy paste’ sahaja, insyaAllah, jika dilimpahkan rezekiNya, saya akan buat catatan saya sendiri. Saya tujukan artikel ini khas buat Cik Hanim dan rakannya yang akan ke sana sempena Kejohanan Olimpik di England. Semoga membantu.
Tanggal 24 Februari 2012 hingga 28 Februari 2012, Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi, PMMM telah mengadakan satu Rehlah Ilmiah ( Rombongan Sambil Belajar)  ke Sepanyol. Rehlah ini telah disertai oleh 19 orang peserta yang terdiri daripada 6 orang lelaki dan 13 orang perempuan. Tujuan rehlah ini diadakan untuk mengimbau kembali sejarah kegemilangan empayar  Islam yang gah pada suatu ketika dahulu. Di samping itu, rehlah ini juga dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli PMMM dan sekali gus dapat mengisi masa lapang para pelajar pada cuti musim sejuk ini.
                 Perjalanan kami bermula pada 24 Februari 2012. Seawal jam 9 pagi, kami telah bertolak dari wilayah Rabat ke wilayah Tanger dengan menaiki kereta api. Kami tiba di stesen kereta api Tanger pada jam 12.30 tengahari, kemudian kami berehat sebentar untuk menunaikan solat zohor dan makan tengahari di sana. Selepas itu, kami menaiki teksi menuju ke Port Tanger untuk membeli tiket feri.
Malangnya, kami dimaklumkan bahawa tiket feri dari Port Tanger ke Tariffa sangat mahal dan akhirnya kami membuat keputusan untuk menaiki feri dari Tanger Madina ke Algeciras. Kami bertolak pada jam 8.00 malam dan selamat tiba di Sepanyol jam 10.30 malam (waktu Sepanyol). Kedatangan kami telah disambut mesra oleh pemandu pelancong kami, Mr.Amar dan kami bergerak terus menuju ke Cordobadengan menaiki van. Setelah hampir 4 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di Cordoba pada pukul 3.00 pagi dan bermalam di hostel “La Fuente”.
CORDOBA, SPAIN  (25 FEBRUARI 2012) :
Perjalanan kami bermula sekitar jam 11.00 pagi. Tempat-tempat yang telah kami lewati ialah:
1)   Torre de La Calahorra, Museo Vivo de Al-Andalus ; merupakan sebuah menara pertahanan yang dibina pada akhir abad ke-12 oleh Dinasti Almohad. Menara ini merentasi sungai Guadalqavir atau dikenali sebagai “wadi kabir” dan kini dijadikan sebagai muzium. Muzium ini dilengkapi dengan sistem pendengar suara inframerah yang terdiri daripada 3 tingkat. Tingkat pertama, kami mendengar tentang kisah hidup Ibn Rushd, Maimonides, Ibn Arabi dan Alfonso X El Sabio. Mereka membaca petikan dari karya-karya mereka tentang kewujudan budaya. Kemudian di tingkat kedua dan ketiga kami dapat melihat pelbagai jenis replika bangunan-bangunan sejarah seperti masjid Cordoba, Madinat Al-Zahra dan Alcazar serta melihat cara kehidupan mereka pada masa dahulu.
 Interior de los Baños del Alcázar Califal
2)    Los Banos del Alcazar Califal de Cordoba ; merupakan sebuah ‘hammam’ atau tempat mandi yang dibina pada zaman pemerintahan Dinasti Umayyah. Di hadapan pintu masuk, terdapat carta organisasi zaman pemerintahan Dinasti Umayyah. Kami berpeluang melihat video tentang sejarah pembinaan ‘hammam’ ini dan juga peralatan mandi yang dipamerkan dalam ‘hammam’ tersebut.
3)     La Cathedral de Cordoba ; atau dikenali sebagai ‘The Great Mosque of  Cordoba’ merupakan salah sebuah masjid yang paling agung dalam sejarah Islam di bumi Andalusia. Masjid ini dibina secara berperingkat dan mula dibina oleh Abdul Rahman I pada tahun 785. Selepas kejatuhan Islam di Cordoba, masjid ini mula digunakan sebagai gereja oleh orang Kristian. Di dalam masjid ini, kami dapat melihat kesan-kesan tinggalan Islam yang masih lagi kekal pada mimbar dan dinding masjid yang dihiasi dengan ukiran-ukiran ayat suci Al-quran. Di luar masjid tersebut, terdapat sebuah taman yang dipenuhi dengan pokok-pokok limau yang mana pada asalnya dipenuhi dengan pohon kurma pada zaman pemerintahan Islam.
Selepas itu, kami menunaikan solat zohor di masjid Al-andalus berdekatan dengan Cathedral tersebut sebelum menuju ke Madinat Al-Zahra.
4)     Madinat Al-Zahra: perjalanan kami ke sana mengambil masa 20 minit dari masjid Cordoba dengan menaiki van. Madinat Al-Zahra telah diasaskan pada tahun 936 dan menjadi satu simbolik berkaitan dengan pengisytiharan Abdul Rahman III sebagai khalifah yang pertama di Andalus. Kami menuju ke muzium Madinat Al-Zahra dan melihat pelbagai jenis tinggalan artifak. Kami juga berpeluang melihat tayangan video berkaitan dengan cara kehidupan umat Islam pada zaman pemerintahan Abdul Rahman III. Selepas itu, kami bergerak menaiki bas menuju ke kawasan arkeologi atau kawasan tinggalan kota lama Madinat Al-Zahra.
Sekitar jam 6.30 petang, kami sampai di Plaza de las Tendillas. Di sana, kami mengambil kesempatan membeli cenderahati sebagai kenangan. Selepas itu, kami menikmati makan malam dan terus pulang ke hostel.
SEVILLA, SPAIN (26 FEBRUARI 2012) :

                Kami bertolak dari Cordoba seawal jam 8.00 pagi menuju ke Seville yang memakan masa hampir dua jam perjalanan. Dalam perjalanan, kami singgah di Plaza de Carmona untuk sarapan pagi dan di sana kami dapai melihat sebuah gereja yang pada asalnya adalah sebuah masjid tetapi telah diubah suai oleh orang Kristian. Antara tempat yang telah kami lawati di Sevilla ialah :
1)     Museo Maritimo Torre del Orro ; Menara ini dibina oleh orang Islam pada tahun 1220 sebagai menara kawalan dan pada waktu itu, Sevilla menjadi ibu negara maritim. Kini, dijadikan sebagai muzium maritim. Dalam muzium tersebut, kami berpeluang melihat replika-replika kapal yang dipamerkan dan dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang pelabuhan maritim ini.
2)     Real Alcazary ; kami berjalan kaki selama 10 minit dari Muzium Maritim menuju ke sana. Alcazar merupakan istana yang dibina semasa pemerintahan kerajaan Muwahiddin pada kurun ke-14. Perkataan Alcazar diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud Istana. Semasa ingin membeli tiket masuk, berlaku sedikit masalah kerana empat orang di antara kami tidak membawa kad pengenalan dan kad pelajar. Setelah hampir setengah jam menunggu, akhirnya kami berjaya memasuki istana ini. Antara tarikan utama di Real Alcazar ini ialah Palacio de Don Pedro yang kaya dengan ukiran-ukiran yang berunsurkan Islam. Suasana di dalamnya seperti Alhambra dan terdapat juga sebuah taman yang sangat cantik.
3)     Seville Cathedral/ Giralda ; merupakan sebuah masjid yang dibina pada zaman Muwahiddin dan telah diubahsuai menjadi gereja ketiga terbesar di dunia. Antara kesan peninggalan masjid yang masih lagi kekal ialah menara azan La Giralda yang kini berfungsi sebagai menara loceng Seville Cathedral. Pada pukul 4.00 petang, kami dibenarkan masuk ke dalam gereja tersebut dan berpeluang naik ke tingkat atas menara tersebut. Selepas satu jam berada di dalam gereja tersebut, kami meneruskan perjalanan ke Granada yang mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan. Walau bagaimanapun, kami tidak berkesempatan untuk pergi ke dua destinasi yang lain iaitu Plaza Espana dan Plaza des Toros atas kekangan waktu.
Kami  tiba di Granada sekitar jam 10.30 malam dan menikmati makan malam di sebuah restoran Maghribi, La Sultana sebelum check-in hostel. Kami berjalan kaki setengah jam menuju ke hostel Itinere dan bermalam di sana.
GRANADA, SPAIN (27 FEBRUARI 2012) :

                Granada merupakan destinasi terakhir kami di Sepanyol. Sekitar jam 10.30 pagi, kami memulakan ekspedisi menjelajah kota Granada. Kami menaiki bas menuju ke sebuah kawasan tinggi untuk melihat pemandangan kota Granada. Dari kawasan itu, kami dapat melihat kota Alhambra berlatarbelakangkan pergunungan Sierra Nevada yang diselaputi salji sepanjang tahun. Selepas itu, kami bergerak menuju ke Alhambra dan dalam perjalanan ke sana kami singgah di Masjid Cordoba yang pertama dibina selepas kejatuhan Islam di Andalus.  Masjid tersebut terletak berdekatan dengan gereja San Nicholas.
1)     Alhambra ; terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Alcazaba, Palacio Nazaries dan Generalife. Kami sampai di Alhambra sekitar jam 1.30 petang dan kami dimaklumkan oleh Mr. Zaruq tiket kami untuk masuk ke kawasan Palacio Nazaries dan Generalife adalah pada pukul 2.00 petang. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk pergi ke Alcazaba. Di Alcazaba, terdapat sebuah menara kawalan yang diberi nama Torre de la Vela yang mana seluruh kota Granada dan kawasan di sekitarnya dapat dilihat dari tingkat atas menara tersebut. Selepas itu kami masuk ke kawasan Palacio Nazaries dan Generalife. Palacio Nazaries merupakan sebuah istana pada zaman pemerintahan Dinasti Nasrid dan didalamnya kami dapat melihat kesan-kesan tinggalan Islam pada dinding istana yang diukir dengan ayat- ayat suci Al-quran sama seperti di kota Alcazar, Sevilla. Generalife pula merupakan sebuah taman yang sangat cantik pada dahulunya merupakan tempat raja-raja beristirehat.
Setelah hampir dua jam di kota Alhambra, kami berjalan kaki turun ke bawah untuk mengambil bas pulang ke hostel. Dalam perjalanan, kami singgah di beberapa buah kedai untuk membeli cenderahati. Sampai sahaja di hostel, kami mengemas barang untuk bergerak pulang ke Maghribi. Sekitar jam 6.30 petang, kami mula bergerak pulang ke Algeciras yang memakan masa hampir 3 jam perjalanan dan sampai di sana pada jam 9.30 malam. Selepas membeli tiket feri, kami bergerak pulang  ke Tanger Madina dan kami tiba di sana sekitar jam 11.00 malam (waktu Maghribi) seterusnya menuju ke stesen kereta api Tanger. Sampai sahaja di sana, stesen tersebut telah tutup dan kami terus menuju ke stesen bas Tanger. Akhirnya, kami membuat keputusan menaiki bas pulang ke wilayah masing-wasing pada jam 1.00 pagi. Alhamdulillah kami selamat tiba di destinasi kami pada pagi 28 Februari 2012.
Disediakan oleh :
Nur Adilah binti Ahmad Puzi
Rabat, 7 Mac 2012
Sekian sahaja buat kali ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s