Bab Ketiga Cerpen Cinta Syurga

Bab Ketiga

Azam Yang Membara

            Pengenalan singkat aku dengan Fatin Alawiyyah pada minggu lepas cukup membekas di hatiku. Segalanya elok dan sempurna. “Diakah pemaisuri hatiku?” soalku pada hati. “Ya” jawab hatiku lagi dalam nada pasti. “Ya Allah, andainya dialah pemaisuri hatiku yang Engkau telah tetapkan, maka permudahkanlah urusan hambaMu ini untuk menyuntingnya pada waktu sesuai nanti” rayuku dalam nada ketakutan. Aku takut untuk jatuh cinta kerana ianya berat bagiku seorang pelajar.

Aku cuba melupakan sejenak azamku itu. Cuba melihat langit yang cerah kebiruan. Indahnya langit pada pagi hujung minggu itu. Pada semester kali ini, kami diberi cuti dua hari iaitu Sabtu dan Ahad serta belajar hanya 15 subjek. Ringan sedikit bebanannya berbanding semester pertama. Tempoh belajar bagi setiap subjek juga dikurangkan daripada 4 – 6 jam kepada 2 jam sahaja bagi setiap subjek.

Sistem pembelajaran di Maghribi memang sentiasa berubah. Semuanya berpandukan pentadbiran yang ada. Andainya datang pentadbiran yang baru, sistem yang baru akan diaplikasikan. Berbeza jauh dengan yang lalu. Namun, aku mengharapkan diriku mampu mengutip sebanyak mungkin mutiara ilmu yang ada di bumi Maghribi.

Aku tidak mahu terjebak dengan pemikiran Salafiyyah sehingga mengenepikan semua ulama’ yang tidak sealiran dengannya. Semua orang tidak betul melainkan dia sahaja. Aku juga tidak akan terjebak dengan fahaman persatuan yang paling utama dan pelajaran adalah kedua. Ini juga boleh melemahkan semangat pelajar untuk terus belajar. Semuanya penting dan perlu diutamakan.

“Bagaimana kalau kedua-duanya bertembung?” soalku pada suatu ketika kepada diri sendiri. “Aku melihat kepada kebaikan dan keburukannya. Jika hanya baik kepadaku dan memberi keburukan kepada orang lain, maka aku akan hindarkan terjadi keburukan kepada orang lain. Jika buruk kepada diriku dan baik untuk orang lain maka aku akan elakkan keburukan itu berlaku terhadap diriku. Namun, jika kedua-duanya mendapat keburukan maka aku akan elakkan keburukan menimpa orang lain kerana itu kemaslahatan umum berbanding kemaslahatan diri sendiri” putusku setelah merujuk kepada perbincangan ulama berkaitan pertembungan antara maslahah dan mafsadah.

……………..

Ya sidi Muhammad, arini malwi ma’a athai” pintaku pada Pak Cik Muhammad. Ini memang menu kegemaranku kalau berkunjung ke gerainya. Malwinya yang rangup dan tehnya yang lembut dan manis rasanya seakan-akan sudah sebati dengan jiwaku sebagai orang Kelantan. Orang Kelantan sememangnya suka kepada manis. Segala-galanya mesti manis. Minuman perlu manis, masakan juga mesti manis dan makanan-makanan segera juga manis.

Aku pernah mendengar rungutan penjual kedai runcit yang mengadu tidak laku makanan segeranya   disebabkan kurang manis. Seakan-akan manis itu suatu kemestian dalam hidup orang Kelantan.

Namun, aku perlu mengawal mengambil makanan yang manis. Aku tidak mahu ianya memberi kemudaratan bagiku. Aku mahu hidup sihat walafiat. Aku tidak mahu hidup yang bergantung dengan ubat-ubatan serta herba-herba tradisional demi mengubati penyakit-penyakit kronik. Umurku masih muda dan aku perlu menggunakannya untuk berbakti kepada masyarakat.

…………….

Dalam keheningan malam, aku merangka dan merancang perjalanan hidupku dalam masa 3 tahun akan datang. Aku perlu merancang untuk membolehkan aku menyunting Fatin Alawiyyah Al-Fasi. Aku perlu serius dengan azamku pada pagi tadi. Andainya aku ikhlas dalam menyatakannya, maka aku perlu merancang untuk hidup bersamanya.

Segala-galanya sudah dirangka. Aku letakkan perancanganku pada 3 fasa. Fasa pertama adalah fasa persediaan. Fasa kedua adalah fasa bertindak dan fasa ketiga adalah fasa impian. Fasa pertama, aku letakkan selama 2 tahun bermula daripada sekarang. Hujung semester kelima, aku akan berpindah ke fasa yang kedua iaitu fasa bertindak. Tempoh masanya adalah 5 bulan iaitu satu semester dan fasa yang terakhir adalah fasa impian iaitu fasa aku bersamanya sehingga ke akhir hayatku.

Aku hanya merangka fasa pertama dan kedua pada malam itu. Manakala, fasa ketiga aku tinggalkan buat seketika. “Masa masih panjang” ujarku dalam hati. Seterusnya, aku biarkan diriku mengelamun seketika. Setelah lama mengelamun, aku akhirnya terlena sambil diulit mimpi yang indah.

…………….

Pada pagi ahad itu, aku bangun agak awal. Azan Subuh belum berkumandang lagi. Aku mengambil kesempatan itu untuk berqiamullail. Aku solat tahajjud dan solat hajat. Kemudiannya di akhiri dengan solat witir.

Dalam solat hajatku, aku berdoa dengan doa yang panjang. Sambil itu, aku tidak lupa dengan doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. : (( Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu daripada segala kebaikan yang aku ketahui dan tidak aku ketahui pada saat ini dan pada saat mendatang dan aku berlindung kepadaMu daripada segala keburukan daripada perkara yang aku ketahui dan tidak aku ketahui pada saat ini atau pada saat mendatang)). Kemudian, aku teruskan doa “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”.

Sambil menunggu azan subuh dari Masjid Mustaqim berkumandang, aku bermuhasabah diri buat sejenak. Sudah agak lama aku tidak berqiamullail. Ketika di bangku sekolah dulu, aku senantiasa bangun berqiamullail bersama rakan-rakan di asrama. Kehidupan di asrama memudahkan aku untuk bangun berqiamullail. Warden akan datang mengejutkan kami daripada tidur yang lena setengah jam sebelum Solat Subuh. Kebiasaannya, aku bersegera ke masjid dan berqiamullail. Keberkatan di dalam qiamullail tidak aku lepaskan. Ianya pemberi kekuatan kepada diriku yang dahagakan ketenteraman hidup.

“Aku mesti lebih kerap berqiamullail selepas ini” azamku sambil mengenggam tanganku menjadi penumbuk. Azam ini akan aku cuba laksanakan. Ianya suatu kepuasan buatku. Tidak ramai yang mampu melakukannya dan orang yang melakukannya adalah orang yang terbaik.

“Allahu akbar, Allahu akbar” laungan azan berkumandang di sana sini. Sememangnya, bumi Maghribi subur dengan masjid-masjid. Di tempat aku tinggal, terdapat 4 masjid berdekatan. Hampir kesemuanya pada jarak yang sama. Kesemuanya mempunyai makmum yang banyak walaupun pada waktu Subuh. Berbeza sungguh dengan Malaysia. Walaupun masjidnya hanya satu dalam satu kawasan, itupun tidak mampu menghimpunkan Jemaah yang ramai. Semuanya lebih suka solat di rumah.

Aku bergegas keluar rumah untuk solat secara berjemaah di masjid. Aku memilih Masjid Bilal sebagai tempat bersolat pada pagi ini. Imamnya yang bersuara lunak dengan tajwidnya yang agak baik telah memikat hatiku untuk berjemaah di sana. Kadang-kadang, aku sering juga solat di Masjid Mustaqim dan masjid yang berdekatan dengan pasar.

………………..

2 thoughts on “Bab Ketiga Cerpen Cinta Syurga

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s