Pendahuluan Cerpen Cinta Syurga

Assalamualaikum w.b.t…

Sebagaimana saya janjikan semalam, saya akan memulakan penulisan cerpen secara berepisod atau berbab. Maka, inilah ceritanya…

“Subhanallah, cantiknya pemandangan di sini!” detik hatiku. Pemandangan bukit bukau yang dipenuhi dengan tanaman yang menghijau, menjadikan dataran di sebelahku sangat cantik. Kelihatan beberapa ekor kambing dan himar sedang leka memakan rumput dan makanan yang disediakan oleh tuannya. Di tengahnya terdapat sebuah rumah yang kelihatan ada kelibat seseorang di dalamnya. “Mungkin tuannya kot!” teka hatiku.

Kereta api terus meluncur laju di atas landasannya. Binaan dalaman kereta api ini sangat menakjubkan. Kekemasan, keselesaan dan kebersihan seolah-olah sudah menjadi tema rasmi bagi syarikat kereta api ini. Kereta api ini dikendalikan oleh syarikat Office National des Chemins de Fer du Maroc (ONCFM).

Syarikat ini ditubuhkan pada 1 Januari 1963 dan merupakan satu-satunya syarikat pengendali kereta api di Maghribi. Perjalanan selama satu jam setengah itu sangat menyeronokkan. Pengalaman mengembara di negeri orang merupakan salah satu impian seorang remaja seperti aku. Bumi Maghribi kaya dengan cinta terhadap Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Negara ini dibina di atas cinta rakyatnya terhadap baginda. Ia dimulakan dengan penerimaan masyarakat Barbar terhadap keluarga keturunan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin mereka sehingga ke hari ini. Ulama-ulama Maghribi juga memainkan peranan besar dalam menjaga ‘wasiat’ dan ajaran Rasulullah s.a.w.

“Aku mesti kuasai ilmu hadis” azamku. Membaca sejarah Bumi Maghribi membuatkan cintaku terhadapnya terus berkobar-kobar. Tiada lagi perasaan menyesal atau bersalah kerana menolak tawaran sebuah universiti terkemuka di negaraku. Penolakanku kerana mencari yang lebih baik.

Masih ku ingat kata-kata ayahku. “Abang tolak mentah-mentah tawaran tu? Bukan senang nak dapat tawaran macam tu. Diorang bagi tempat tinggal, wang saku dan makan minum” rungut ayahku dalam nada yang tinggi. Perasaan marahnya membuak-buak kerana perbuatan aku, anaknya. Aku terkedu. Senyap sepi. “Abah, abang tak nak belajar di Malaysia. Abang nak belajar di oversea. Abang nak cari pengalaman” ujarku. Aku tahu abah seorang yang pemarah tetapi lembut hatinya jika kena dengan caranya. “Siapa yang nak tanggung abang nanti? Abah bukan bergaji besar pun” rungut ayahku lagi sambil mengusap-usap kepalanya yang semakin botak.

“Abang janji, abang akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Segala penat lelah abah, abang tak kan sia-siakan” azamku pada abah. Abah mula tersenyum dan percaya dengan kata-kataku. Perbincangan di petang hari itu membuatkan aku sentiasa ingat akan ikrarku pada abah. Insan yang telah banyak berjasa kepadaku. Aku bersyukur mempunyai ayah sepertinya. Tidak pernah jemu menasihati anak-anaknya. Seorang yang ceria dan lemah lembut tetapi mudah naik angin apabila perkara dikehendakinya tidak tercapai.

…………..

“Jom, Azman! Kita dah sampai.” Muizuddin menegurku yang masih mengelamun. Aku terpinga-pinga. Mula mengangkat beg yang besar dan memberikan satu beg yang agak kecil kepada Muizuddin. Orang ramai berebut-rebut keluar daripada kereta api. Di depan pintu kereta api, berpuluh-puluh orang sedang menunggu dengan tidak sabar untuk menaiki kereta api. Suasana menjadi hiruk pikuk. Suara jeritan kanak-kanak, salakan anjing dan teriakan pegawai yang menjaga landasan kereta api menambahkan suasana lebih riuh.

“Kat sini memang macam ni” jelas Muizuddin setelah melihat kehairananku dengan suasana yang riuh rendah itu. “Tapi kamu kena berhati-hati. Penyeluk saku ramai di sini. Abang pun pernah kena masa tahun satu” nasihat seniorku itu. Aku mula meraba-raba dompetku. Huh, selamat ! Masih di tempat asal.

“Teksi ? Teksi ? ” tanya pemandu-pemandu teksi kepada orang ramai yang keluar dari stesen kereta api. Semuanya berebut-rebut mencari pelanggan. Kami juga menjadi tumpuan mereka. Beg-beg yang banyak yang aku bawa lebih menarik minat mereka kerana cajnya lebih daripada orang biasa. Caj bagi barang-barang adalah 5 dirham. Ini adalah caj tambahan kepada pelanggan yang membawa beg-beg besar.

Kami cuba menghindari daripada dikerumuni oleh pemandu-pemandu teksi itu. Kami perlu berhati-hati dengan tipu daya mereka. Kadang-kadang mereka sudah meletakkan harga yang tetap walaupun mengikut undang-undang, mereka perlu menggunakan meter. Harga yang diletakkan jauh lebih tinggi daripada harga biasa.

Setelah berjalan seketika, keluar daripada stesen kereta api, Muizuddin mula berhenti bagi menahan teksi. Kelihatan sebuah teksi sedang meluncur laju ke arah kami dan berhenti tepat di hadapanku. “Assalamualaikum ya sidi. Mumkin ila Bouhlal?” soal Muizuddin dalam Bahasa Darijah Maghribi. “Marhaban bik!” balas pemandu teksi dengan tersenyum lebar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s