Kembara Ke Kota Paris Bahagian 1

Assalamualaikum w.b.t…

Di sini, saya ingin menambah satu ruangan baru berkenaan dengan pengembaraan di bumi Allah ini. Rasanya tidak lengkap wordpress saya ini jika tidak dimasukkan tajuk ini kerana Allah s.w.t. juga telah memerintahkan kita bermusafir dan berkelana ke negeri-negeri yang boleh diambil pengajaran dan tauladan. Maka, saya akan berkongsi sedikit pengembaraan yang saya telah lalui dan juga rakan-rakan saya lalui. InsyaAllah, kali ini, saya akan bercerita tentang Kota Paris.

Kota Paris merupakan sebuah kota yang terkenal dengan tempat-tempat pelancongan, fesyen dan juga pusat-pusat perniagaan. Oleh itu, kota ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang terbaik di dunia bagi kemudahan pengungjung serta keselesaannya. Di kota ini, pengungjung boleh menggunakan Metro, RER (keretapi), Tramway dan basikal sewa yang disediakan di tempat-tempat tertentu. Di kesempatan ini, saya akan bercerita tentang pengalaman saya ke bandar yang mewah ini pada musim sejuk yang lepas dengan ringkas beserta panduan-panduan perjalanan ke sana.

Kembara ini, saya lalui bersama 2 orang rakan saya. Kami tiba di bandar Paris melalui Lapangan Terbang Paris Beauvais dari Lapangan Terbang, Fes. Kami sampai di lapangan terbang ini tepat jam 8 malam. Di lapangan terbang ini, kami melepasi bahagian imegresen. Kami diperiksa dengan rapi oleh pihak imegresen.

Setelah selesai urusan dengan pihak imegresen, kami perlu mengambil sebuah bas yang akan menghantar kami ke pusat bandar Paris. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 15€. Kami menempuhi perjalanan hampir satu jam untuk ke pusat bandar.

Bas ini berhenti di depan Hotel Concorde, Porte Maillot iaitu stesen bas ini. Kemudian, kami mencari hotel penginapan kami pada malam tersebut iaitu Hotel Formula 1; sebuah hotel yang menyediakan perkhimatan terbaik dengan harga yang sangat murah. Kami menginap seramai 3 orang dalam satu bilik yang berharga 45€. Bagi mencari hotel ini, saya menggunakan laluan metro 1 dari Porte Maillot ke Champs Elysees Clemenceau. Kemudian, kami bertukar ke laluan 13 ke Port de Saint-Ouen.

Keesokan harinya, kami memulakan kembara kami setelah bersarapan dengan bekalan makanan yang kami bawa dari Maghribi. Perjalanan pada musim sejuk merupakan perjalanan yang agak mencabar. Suasana yang dingin dan muatan yang lebih bagi persiapan menghadapi sebarang kemungkinan merupakan cabaran yang terpaksa kami tempuhi sepanjang kembara ini. Hari pertama ini, kami meletakkan beberapa tempat yang menarik sebagai sasaran. Bagi memenuhi tujuan tersebut, kami membeli tiket metro bagi perjalanan satu hari yang berharga 6€.

 

            Tempat yang pertama kami lawati ialah Sacred Heart. Bangunan ini merupakan gereja bagi Kristian Katolik. Walaupun begitu, gereja ini hanya digunakan sebagai tempat perlancongan dan ditutup daripada upacara keagamaan. Namun, persekitarannya cukup menggambarkan keindahan suasana Bandar Paris pada waktu pagi. Dari atas, anda akan melihat Bandar Paris secara keseluruhan. Gereja ini seolah-olah Bangunan Taj Mahal di India. Di persekitaran gereja ini terdapat taman-taman yang indah dan sesuai untuk mereka yang berminat mengambil gambar. Manakala, bagi mereka yang ingin mencari cenderahati, di sini terdapat kedai-kedai cenderamata yang banyak dan menawarkan dengan harga yang agak murah.

Untuk sampai ke Sacred Heart, kami terpaksa menggunakan metro ke stesen Anvers di laluan 2. Sampai sahaja di stesen ini, kami terpaksa berjalan keluar dan sedikit memanjat bukit ke gereja ini. Sepanjang perjalanan, kami banyak juga bertanya orang ramai kerana tempatnya agak jauh daripada stesen. Namun, layanan yang ramah kami terima daripada orang-orang Paris banyak membantu kami dalam kembara ini.

 La façade occidentale de la cathédrale

            Seterusnya, kami menuju ke destinasi yang kedua iaitu Notre Dame de Paris, sebuah lagi gereja lama. Namun, gereja ini masih digunakan sehingga sekarang. Lawatan ke sini telah memberikan kenangan yang indah buat kami. Di sini, kami disajikan dengan teater jalanan yang cukup menarik. Selain itu, tempat ini berhampiran dengan sungai dan juga kedai-kedai cenderamata yang banyak dan murah harganya. Untuk melawat tempat ini, boleh menggunakan metro laluan 4 yang berhenti di Saint-Michel.

Sebelum kami meneruskan lagi kembara ke destinas-destinasi lain, kami pulang semula ke hotel untuk membuat urusan check out. Kami mesti keluar sebelum pukul 12 tengahari.Setelah urusan check out, kami teruskan kembara kami dengan mengunjungi masjid terbesar di Paris dan salah satu masjid yang dibenar melaungkan azan oleh kerajaan Perancis. Kami tiba di masjid ini sebelum azan Zohor dan berkesempatan menjamu selera dengan Kous kous Maghribi. Pasti terkejut bukan. Tetapi, inilah kebiasaannya. Kous kous ini dibawa oleh masyarakat setempat yang berbangsa Maghribi bagi disedekahkan kepada orang ramai. Masjid ini juga dibina mengikut ukiran dan reka bentuk masjid-masjid di Maghribi. Setelah selesai solat, kami bergambar seketika di taman yang berada di dalam kawasan masjid. Tempat ini boleh dilawati menggunakan metro laluan 7 ke Place Monge atau Censier Daubenton. Untuk sampai ke masjid ini, kami terpaksa bertanya orang ramai kerana masjid ini terletak di sebalik deretan bangunan yang tinggi.

            Kemudian, destinasi yang dituju ialah Musée du Louvre. Muzium ini menyimpan hasil-hasil seni yang menarik seperti lukisan Mona Lisa. Muzium ini sangat besar dan bersambung dengan deretan kedai mewah yang menjual pelbagai alat-alat elektronik. Muzium ini berbentuk piramid di ruang legarnya dan memanjang di bahagian dalamnya. Bagi melawat semua hasil seni yang berada di dalam muzium ini memerlukan satu hari dan harga tiket bagi memasuki muzium ini sebanyak 10€. Muzium ini terletak di laluan metro 7 ke stesen Palais Royal Musee du Louvre.

            Setelah hari hampir senja, kami meneruskan kembara kami ke Menara Eiffel, menara yang dibina pada tahun 1889. Menara ini dinamakan bersempena nama perekanya yang bernama Gustave  Eiffel. Kami menghabiskan waktu senja di sana sehingga masuk waktu Isya’. Pemandangan pada waktu senja sungguh menarik di sini. Kereta yang lalu lalang beserta angin yang sepoi-sepoi bahasa sungguh menyegarkan. Selain itu, menara ini dikelilingi oleh taman-taman yang hijau. Setelah sampai di sini, kami terus mencari sudut-sudut yang tersembunyi bagi menunaikan solat Asar dan Zohor secara berjamaah. Kemudian, kami menghabiskan waktu yang berbaki dengan bergambar kenangan berdekatan menara ini sehingga ke malam. Di waktu malam, ada sesuatu menarik yang berlaku. Setiap satu jam, menara ini mengeluarkan cahaya yang cantik dan menarik dalam linkungan 5 minit. Bagi melihat Menara Eiffel dari jarak yang jauh, kami pergi ke Trocadero  yang terletak sejauh kira-kira 2 km dari menara tersebut. Di sini, ramai yang berkumpul sambil mengambil gambar menara ini dengan sebahagian Kota Paris yang penuh dengan kereta yang bersimpang siur.

(Menara Eiffel di Trocadero)

            Kami menaiki metro laluan 6 ke stesen Bir-Hakeim bagi melawat Menara Eiffel dari dekat dan menaiki metro laluan 9 ke stesen Trocadero. Di sinilah, pengakhiran kepada kembara kami di Kota Paris yang memakan masa sehari suntuk. Bagi menghilangkan penat dan lapar, kami mencari kedai-kedai makanan halal menggunakan metro laluan 4 ke stesen Chateu d’Eau. Di kawasan ini terdapat deretan kedai halal. Kami memilih kedai yang menjual makanan India dan Pakistan. Kami menempah nasi beriani yang berharga 6€ beserta roti capati yang berharga 2€  setiap seorang. Kami menjamah dengan penuh berselera kerana inilah makanan pertama yang dimasak yang kami jumpa sepanjang kembara ini.

Setelah selesai menjamu selera, kami pulang semula ke stesen bas yang kami ambil sebelum ini di Porte Maillot. Setibanya di sana, gerai jualan tiket sudah tutup. Kami termenung panjang memikirkan nasib kami yang akan bermalam di stesen bas yang sunyi sepi itu. Kami diberitahu oleh penjaga stesen tersebut bahawa kaunter tiket akan dibuka pada pukul 5.30 pagi keesokan harinya iaitu 3 jam sebelum pesawat kami berlepas. Tanpa berfikir panjang, kami mencari kawasan yang tertutup di stesen bas tersebut untuk berbaring. Berbekalkan sleeping bed yang dibawa, kami membalut badan kami. Tidak lama kemudian, hujan renyai-renyai mulai turun. Kami mulai gelisah mencari tempat berteduh. Setelah mencari, kami memutuskan untuk bermalam di kawasan Hotel Concorde. Pada malam itu, kami betul-betul dalam kesejukan yang amat sangat. Kami berjaga sehinggalah kaunter dibuka pada pukul 5 pagi.

Setelah membeli tiket, kami menaiki bas yang telah menunggu kami. Setelah selesai urusan di pejabat imegresen di Lapangan Terbang Paris Beauvais, barulah kami berasa lega kerana segalanya sudah selesai. Tepat jam 8.30 pagi, pesawat kami mula meninggalkan lapangan terbang ini. Begitulah berakhirnya pengembaraan kami di Kota Paris.

Ar-Razi,

Teratak Nasyatillah, Fes, Maghribi.

17 Februari 2012.

8 thoughts on “Kembara Ke Kota Paris Bahagian 1

  1. En Arrazial, cuma nak bertanya.. org France ni layan ke kita ckp Inggeris jekk … saya dan rakan akan ke London utk olimpik bulan Jul/Ogos nnti dan brcadang singgah ke Paris dan Spain …Niatnya selain tgk olimpik tiket free nak juga merasa berbuka di masjid2 dunia.

    • Saya hanya sempat berkunjung ke Paris dan Orleons sahaja. Setakat pengalaman saya, saya berkomunikasi dengan mereka dengan bahasa campur, Inggeris dan France. Mereka tidak ada masalah jika kita gunakan Bahasa Inggeris jika melawat Paris. Namun, saya difahamkan oleh kawan-kawan saya yang pernah ke sana, orang France di luar Paris tak akan layan jika bercakap Bahasa Inggeris.

      Manakala Spain pula, memang takleh guna bahasa Inggeris sebab mereka hanya guna bahasa Spain sahaja.

  2. Assalamualaikum,
    Tahniah dan terima kasih kerana post yang simple dan ringkas tapi banyak maklumat yang boleh saya guna untuk ke Paris pada akhir May ini. Saya memang tercari-cari tempat makanan Halal, harap post ini dapat membantu saya nanti.

    T.kasih.

  3. Assalamualaikum,
    insha Allah saya akan ke paris pada november nanti, dah la kena pergi seorg diri. takut juga. hehe. 1st time ke europe. ada kenalan2 tuan yang ada disana yang boleh membantu saya nnt? hehe.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s