Assalamualaikum w.b.t…
Apa khabar rakan-rakan alam maya? Sudah lama saya meninggalkan blog ini terperuk tanpa diisi dengan bahan-bahan penulisan.
Alhamdulillah, setelah menolong seorang rakan mengedit risalah berkenaan cebisan sejarah baginda Nabi Muhammad s.a.w. maka saya mendapat sedikit kekuatan untuk berkongsi dengan kalian.
Terasa diri ini lemah dalam mencintai Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu sedikit saya mengungkapkan cinta kepada baginda s.a.w. Ayuhlah kita muhasabah diri dengan sedikit buah fikiran yang tak sebarapa ini.
Izinkan saya berbicara tentang cinta ini dari sudut perspektif saya sendiri. Mungkin kalian ingin berkongsi pandangan kalian, maka saya mengalu-alukan di ruangan komen.
Cinta… Satu perkataan mulia dan indah buat manusia.
Kerana cinta manusia boleh menggapai cita-cita dan kerana cinta manusia boleh tersungkur di lembah kehinaan. Cinta adalah kuasa yang memacu manusia ke arah yang mereka tujui.
Tanpa cinta, manusia longlai dan tiada arah dalam kehidupan. Semuanya tidak kena dan selesa. Semuanya hambar dan muram.
Pernahkah kita rasa semua ini kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad s.a.w? Di pihak manakah kita berada?
Pihak yang mempunyai cinta sejati? Selalu berselawat kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad s.a.w.? Selalu meneladani dan mencontohi sifat-sifat dan budi pekertinya? Setiap hari berkobar-kobar untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t. yang disampaikan olehnya?
Atau pihak yang tiada cinta sebenarnya? Cinta hanya dibibir-bibir untuk diungkap semata-mata? Tanpa ada perasaan rindu ingin mendengar pesanan-pesanan serta kisah tauladan Rasulullah s.a.w. yang direkod di kitab-kitab sirah?
Di manakah kita? Tanyalah iman dan akal kita!
Ya Allah, masukkanlah aku dan saudara-saudaraku ke dalam golongan yang mencintai Rasul-Mu. Cinta dengan cinta hakiki dan murni. Berilah kekuatan kepada kami untuk mencontohinya, meneladaninya dan melaksanakan perintahnya sebagaimana perintahMu jua.
Sekadar itu buat kesempatan ini sebagai muhasabah diri kita demi menjalani kehidupan yang lebih baik pada esok hari daripada hari-hari sebelumnya.
Ikhlas,
ar-Razi