Perpustakaan Hadis 3

Assalamualaikum…

Syukur kepada Allah Rabbul Jalil yang menghidupkan kita buat sekian kalinya pada saat ini. Kehidupan yang sementara ini perlulah diisi dengan penuh cermat dan berhati-hati terhadap segala dugaan yang tidak terduga dalam kehidupan ini.

Hari ini, saya akan mulakan kelas Perpustakaan Hadis kita. Semoga kita semua diberi ilmu yang bermanfaat. Tajuk yang akan dibincangkan pada hari ini ialah Istilah-Istilah Dalam Ilmu Perpustakaan Hadis.

Istilah merupakan kata kunci untuk memahami apa-apa subjek yang kita pelajari. Oleh itu, dalam ilmu hadis, mereka yang tidak mengetahui istilah-istilah khusus untuk ilmu hadis adalah seperti orang yang berkhayal ketika belajar (kata guru saya, Syeikh Said Kamali kepada kami bila tidak ingat istilah-istilah hadis). Tiada hasilnya. Istilah ini akan saya gunakan dalam perbincangan yang seterusnya tanpa menerangkan dengan panjang lebar.

As-Sunnah – perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. samada perkataan atau perbuatan ataupun pengakuan baginda s.a.w.

At- Tadwin ( Pengumpulan ) – membentuk (idea), menulis serta membahagi-bahagikan (kepada bab) dan menyusunnya dengan tertib.

Suhuf – Bahan untuk ditulis di atasnya daripada daun atau seumpama dengannya seperti pelepah tamar, batang kayu dll.

Kitab Al- Maudhu’aat – ialah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang mempunyai tajuk-tajuk yang berlainan (tajuk kecil dalam kitab) tetapi berkaitan, serta dijadikan satu tajuk yang umum (nama kitab) bagi kitab tersebut.

Kitab Al- Jami’ jama’nya (bilangan banyak) Al- Jawami’ – ialah kitab hadis yang disusun kepada bab-bab yang padanya hadis-hadis yang mempunyai tajuk-tajuk agama (ada 8 tajuk : Akidah, Hukum, Sirah Rasulullah s.a.w., Adab, Tafsir, Fitnah, Tanda-Tanda Kiamat, dan Amalan-Amalan Mulia).

Kitab Sunan – Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis hukum yang sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang disusun dalam bab-bab fiqh.

Kitab Musannaf – Kitab yang disusun dalam bab-bab, tetapi hadisnya meliputi hadis yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w (marfu’), disandarkan kepada sahabat r.a.h (mauquf), dan disandarkan kepada tabiin r.h.m (maqthu’).

Kitab Musnad – iaitu kitab yang mengeluarkan hadis bermula dengan nama  sahabat r.a. seperti Kitab Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal.

Kitab Mustadrak- iaitu kitab yang mengeluarkan hadis yang tidak dikeluarkan lagi oleh kitab hadis tetapi hadis yang dikeluarkan itu merupakan hadis yang mengikuti syarat bagi pengarang asal.

Contoh: Al-Mustadrak ‘Ala Sohihain oleh Al-Hakim An-Naisaburi (405H). As-Sohihain merupakan kitab bagi Imam Al-Bukhari  dan Imam Muslim. Maka Al-Hakim menambah beberapa hadis yang syarat bagi hadis itu untuk menjadi sahih adalah sama dengan syarat Imam Bukhari atau Imam Muslim.

Kitab Mustakhraj- iaitu kitab yang meriwayatkan hadis daripada pengarang kitab yang asal dengan sanadnya yang tersendiri, tetapi bertemu perawinya dengan perawi kitab yang asal pada syeikhnya (guru pengarang yang asal) ataupun perawi sebelumnya.

Contoh: Mustakhraj Abu Bakar Al-Ismai’li ‘Ala Sahih Bukhari. Pengarang kitab ini membawakan hadis yang sama sebagaimana hadis Imam Bukhari tetapi dengan sanadnya (perawi hadis) yang tersendiri. Namun sanad ini bertemu dengan sanad Imam Bukhari samada pada guru Imam Bukhari ataupun perawi lain sebelumnya.

Kitab Athraf- iaitu kitab yang menyebut jumlah yang menunjukkan ke atas hadis dan kemudian menyebut sanad hadis itu dengan sanadnya yang tersendiri.

Contoh: ( حديث الأعمال بالنيات) kemudian pengarang menyebut sanad hadis ini dengan sanadnya yang tersendiri.

Kitab Mu’jam: iaitu kitab yang menyebutkan hadis dengan susunan nama syeikhnya (guru). Dan kebiasaanya disusun mengikut huruf hijaiyyah (kalimah bahasa Arab).

Kitab Jami’ jama’nya Majami’ : Kitab yang menghimpunkan hadis daripada pelbagai kitab hadis dalam satu kitab.

Kitab Az-Zawaid: Kitab yang menambahkan hadis daripada kitab yang asal samada menepati syarat penulis kitab asal ataupun tidak menepatinya.

Kitab Takhrij: iaitu kitab yang menunjukkan tempat asal hadis pada kitab asalnya dan menyebutkan martabat hadis (sahih,hasan, dhaif) jika perlu.

Kitab Ajza’: meriwayatkan hadis daripada seorang perawi samada dari kalangan sahabat ataupun perawi selepasnya.

Kitab Al-Mashyakhat- Kitab menghimpunkan nama-nama syeikh penulis dan hadis yang di ambil daripada syeikh tersebut.

Kitab ‘Ilal: Kitab yang menghimpunkan hadis yang cacat dengan menyebutkan kecacatan hadis tersebut.

Hadis Hari Ini:

عن أبي مسعود عقبة بن عمرو الأنصاري البدري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم : إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى : إذا لم تستح فاصنع ما شئت.

(رواه البخاري)

Maksudnya:

“ Sesungguhnya daripada perkara yang diwarisi manusia daripada kenabian yang terdahulu ( sebelum Baginda Nabi Muhammad s.a.w ): “ Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu mahu!”.                                                                                                                                                                           ( Riwayat Al-Bukhari )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s