Penyakit Diabetes Berbahaya

الوقاية خير من العلاج


Assalamualaikum w.b.t…

Di Malaysia, kebanyakan orang meninggal kerana terlebih makan dan di negara-negara Afrika orang mati kerana kekurangan makanan. Inilah satu hakikat yang tidak dapat kita nafikan. Manusia binasa kerana perbuatannya sendiri.

Antara kesan kepada lebihan berat badan ialah Penyakit Diabetes. Bukan sedikit manusia yang menghidapinya. Penyakit ini tak terlepas daripada dihidapi oleh para ilmuwan dan tokoh yang berpengaruh di Malaysia serta membawa maut seperti Ust Asri daripada kumpulan Rabbani, YB Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang serta Datuk Razali Ismail, Bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

Di sini, saya tidak ingin bercerita kesan buruk serta penyebab kepada penyakit ini. Biarlah para doktor bercakap tentang hal ini. Namun, matlamat saya menulis warkah ini untuk menasihati diri saya dan rakan-rakan pembaca agar mengambil iktibar sebelum terjadinya penyakit ini. Bak kata ilmuan “ Mencegah lebih baik daripada mengubati” atau dalam bahasa Arab “ الوقاية خير من العلاج”. Oleh itu, sebaik-baik keadaan adalah pencegahan kerana ia dapat mengelakkan banyak kerosakan dan kerugian.

Antara punca-punca yang menyebabkan tokoh-tokoh atau para ilmuan terkena penyakit ini adalah disebabkan gejala memberi makan makanan ‘berlebihan’ kepada mereka selepas ceramah atau majlis tertentu. Kadang-kadang hidangan yang disediakan, adanya ayam, daging beserta nasi beriani dll. Bak kata orang, memang nak bagi ustaz tu sendawa panjanglah dan tak perlu lagi, cari nasi dekat rumah.

Selain itu, kesibukan mereka berceramah dan bertugas menyebabkan mereka kesempitan waktu untuk beriadah. Sesetengah ustaz tu, sampai ke larut malam duduk di tempat program lagi. Kemudian, keluar makan dengan kawan di larut malam selepas program juga menjadi puncanya.

Sememangnya, kalau kita mahu mencari alasan, maka pelbagailah alasan yang akan kita temui. Semuanya, seakan-akan mustahil untuk berubah. Di sini, cuba tenangkan balik diri dan cuba amati ayat-ayat Allah s.w.t. dalam menangani masalah-masalah seperti ini.

  1. Jangan Berlebih-Lebihan  

Masalah utama dalam penyakit diabetes ini ialah berlebih-lebihan yang menatijahkan kepada pembaziran. Kita hanya perlu makan sekadar keperluan kita. Tidak lebih dan tidak kurang. Itu yang terbaik. Jika berlebihan, maka kita perlu mengawalnya dengan berpuasa atau bersenam. Itu ubatnya. Allah s.w.t. menggambarkan mereka yang membazir ini sebagai saudara syaitan, maka apakah kita mahu menjadi saudaranya?

  2. Ambil makanan yang berkhasiat

Kita perlu memakan makanan yang halal dan berkhasiat. Allah s.w.t. tidak mengarahkan kita makan makanan halal semata-mata sebaliknya mengarahkan kita makanan yang berkhasiat yang digambarkan dalam firmannya sebagai “حلالا طيبا”. Cuba kita tanyakan kepada diri kita, apakah tujuan utama kita makan makanan? Kerana untuk tenaga dan khasiat-khasiatnya yang lain. Oleh itu, pemilihan makanan perlulah sesuai dengan kerja dan aktiviti kita.

 3. Luangkan masa untuk beriadah

Luangkan sedikit masa kita untuk bersenam dan beriadah. Kalau tidak mampu banyak maka cukuplah dengan sedikit. Untuk beriadah tak semestinya kita pergi ke taman atau ke padang untuk berlari. Di depan laptop anda pun anda sudah boleh bersenam dan beriadah. Cuba berhenti membaca dan gerakkan tangan anda serta kepala dan buat sedikit tarikan dan hembusan nafas. Buat dalam masa 5 minit. Ia sudah mencukupi. Biarkan darah dan udara segar boleh mengalir dan meresap  ke seluruh badan dengan normal. Tidak perlu terlalu ideal sehingga akhirnya anda tidak mampu melaksanakannya. Biar mudah asalkan ada kesannya

.Cukup sahaja, 3 tips itu dahulu pada hari ini. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua

Leave a comment